Percutian Hari Krismas Henry Golding



PERAYAAN Hari Krismas tiba lagi. Seperti kebiasaan, perayaan yang disambut pada tanggal 25 Disember setiap tahun itu merupakan hari yang paling dinanti-nantikan oleh penganut beragama Kristian di seluruh dunia.

Selain kemeriahan memberi dan menerima hadiah, sambutan tersebut juga dijadikan sebagai hari istimewa untuk mengeratkan hubungan sesama keluarga dan sahabat handai yang telah lama tidak bersua muka.

Bagi pengacara, model dan pelakon, Henry Golding, sambutan Hari Krismasnya pada tahun ini boleh disifatkan sedikit berbeza berbanding tahun-tahun yang lepas.

Jika sebelum ini dia hanya menyambut kedatangan Hari Krismas secara berseorangan di Malaysia atau Singapura, tetapi, kali ini, jejaka berketinggian 183 sentimeter itu berpeluang menyambut kedatangan hari istimewa tersebut bersama keluarganya yang menetap di Surrey, England.




“Sepanjang enam tahun berkelana di negara orang atas urusan kerja, saya langsung tidak berkesempatan untuk pulang meraikan Hari Krismas bersama ibu dan bapa saya,” tutur Henry membuka bicara ketika ditemui pada sesi fotografi yang diaturkan bersama Kosmo! di Hotel One World, Damansara, Kuala Lumpur baru-baru ini.

“Bagi saya, tempoh selama enam tahun tidak pulang meraikan Krismas bersama keluarga merupakan satu tempoh yang sangat lama.

“Bukan niat di hati untuk terus melupakan kampung halaman. Namun, sejak sibuk mengacara beberapa rancangan kembara di Malaysia dan Singapura, perancangan untuk pulang ke England bagi merayakan Krismas pada setiap tahun pasti tergendala.

“Justeru, pada tahun ini, saya sanggup berbelanja lebih dan menempah tiket kapal terbang dengan lebih awal supaya kami dapat meraikan ketibaan Krismas bersama-sama,” jelasnya yang telah pun berada di England sejak awal minggu ini.

Bagi pengacara yang mula menempa nama di Malaysia menerusi rancangan hiburan Quckie itu, perkara paling penting apabila tibanya musim perayaan ialah meluangkan masa berkualiti bersama keluarga tersayang.

Katanya, walaupun dia boleh bertemu dengan mereka pada hari-hari lain, namun, Hari Krismas merupakan satu-satunya perayaan yang mampu untuk mengumpulkan setiap ahli keluarga terdekat dalam satu masa.


TERKENAL sebagai hos program travelog, Henry bakal muncul dengan sebuah lagi travelog baharu berjudul Welcome to the Railword Japan.

“Setiap individu mempunyai pengertian yang berbeza mengenai definisi sambutan Hari Krismas. Bagi saya, masa yang akan diluangkan ketika Hari Krismas bersama ibu-bapa dan adik-beradik yang lain adalah sangat penting.

“Pada hari tersebut, kita bukan sahaja akan bertanya khabar antara satu sama lain, malah setiap daripada ahli keluarga dapat bertukar-tukar cerita setelah lama tidak bersua muka,” jelasnya sambil tersenyum.

Krismas di perantauan

Mengimbas kembali ketika kali pertama merayakan sambutan Hari Krismas di negara orang, Henry berkata, pada waktu itu, dia yang baru sahaja menjejakkan kaki ke Malaysia belum dapat menyesuaikan diri untuk tinggal di Kuala Lumpur.

Tambah Henry, akibat tidak mengenali sesiapa, dia terpaksa menghabiskan masa dengan duduk di sebuah kafe pada Hari Krismas sambil menghubungi ahli keluarganya dengan menggunakan perkhidmatan panggilan video Skype.

“Masih segar dalam ingatan sewaktu saya mula-mula bergelar pengacara di Kuala Lumpur sekitar tahun 2008. Pada waktu itu, saya masih belum mempunyai ramai teman rapat di sini.

“Jadi, apabila tibanya Hari Krismas, saya hanya menghabiskan waktu duduk di sebuah kafe berseorangan sambil menghubungi keluarga menerusi aplikasi Skype.

“Memang agak menyedihkan, lebih-lebih lagi saya merupakan satu-satunya ahli keluarga yang bekerja di perantauan. Namun, ibu dan bapa sangat memahami kerjaya saya.

“Lama-kelamaan, saya sendiri sudah terbiasa dan menganggap ia sebagai salah satu pengorbanan untuk berjaya pada masa akan datang,” katanya yang kini menetap di Singapura dan mengendalikan rancangan The Travel Show bagi stesen televisyen BBC di sana.

Melanjutkan bicara mengenai sambutan Krismasnya selepas insiden tersebut, pelakon filem Pisau Cukur itu memberitahu, dia dan beberapa kenalan rapatnya akan berkumpul beramai-ramai pada malam Krismas sambil membawa hadiah untuk ditukarkan antara satu dengan yang lain.

“Setiap kali menjelang Krismas, rakan-rakan yang juga bergelar anak perantau akan datang ke rumah saya dengan membawa pelbagai jenis hadiah untuk ditukarkan sesama sendiri.


HENRY GOLDING memberitahu pada tahun pertama meraikan Krismas di Malaysia, dia hanya duduk di sebuah kafe dan menghubungi kaum keluarganya melalui Skype kerana belum punya banyak kenalan sewaktu mula bekerja sebagai hos pada tahun 2008.

“Kemudian, kami akan memesan pelbagai jenis makanan dan menjamu selera sambil menonton filem-filem yang bertemakan Krismas.

“Walaupun kedengaran agak ringkas, namun, ia sedikit sebanyak dapat mengingatkan saya pada sambutan Krismas di kampung halaman,” ujarnya yang menggelarkan perjumpaan pada malam Krismas itu sebagai parti Krismas untuk ‘anak-anak yatim.’

Makan angin

Pengacara yang cukup sinonim dengan rancangan berbentuk kembara dan travelog itu berkata, selepas selesai menyambut kedatangan Krismas bersama ahli keluarga, dia merancang melancong ke bahagian selatan negara England, terutamanya ke daerah yang masih mengekalkan ciri-ciri Inggeris pada struktur binaannya.

“Saya akan berada di sana sehingga tibanya tahun baharu 2015. Jadi, selepas Krismas, saya akan menghabiskan masa yang terluang untuk berjalan-jalan di beberapa buah lokasi di England.

“Banyak tempat-tempat menarik yang masih belum saya lawati. Antaranya ialah Cornwall. Saya berminat mahu ke sana kerana suasananya yang tenang dan persekitarannya yang sangat dekat dengan pantai.

“Selain itu, bangunan-bangunan serta kawasan perumahan yang ada di sana masih lagi mengekalkan ciri-ciri binaan Inggeris,” ujar Henry dengan nada teruja.

Menyentuh mengenai perkembangan terbaharunya, Henry bakal muncul dengan sebuah lagi rancangan berbentuk travelog berjudul Welcome to the Railword Japan pada 15 Januari depan.

Menjadikan negara Jepun sebagai lokasi, Henry meletakkan rancangan tersebut sebagai platform untuk peminat dan penonton menilai prestasinya sebagai seorang pengacara.

“Rancangan ini merupakan kesinambungan daripada program Welcome to the Railword musim pertama yang dirakamkan di Malaysia sekitar tahun 2010.

“Justeru, saya menjadikan ia kayu ukur untuk menilai sisi matang saya sebagai pengacara. Sejujurnya, saya berasa teruja kerana rancangan ini memang sesuatu yang begitu hebat untuk dipertontonkan!,” ungkap Henry yang begitu positif dengan kerjayanya sebagai pengacara.



Previous Post Next Post