Prinsip tegas Aweera


AWEERA tampil mempertahankan diri selepas didakwa memberi masalah kepada band Mojo.

Penyanyi Aweera kecewa dan terkilan apabila komposer dan juga ketua band Mojo, Edry Abdul Halim mengeluarkan kenyataan yang bersifat menjatuhkan reputasinya sebagai seorang penyanyi. Menurut Edry dalam satu kenyataannya kepada sebuah akhbar, dia terpaksa menyingkirkan Aweera daripada pentas akhir Anugerah Juara Lagu ke-29 (AJL29) selepas penyanyi itu menimbulkan pelbagai masalah.

Kata Edry, Aweera yang telah membantu Mojo di pentas separuh akhir Muzik-Muzik 29 sehingga melayakkan band Mojo ke final AJL29 meletakkan syarat dia mahu menyanyikan lagu Romantika ciptaan Edry bersama bandnya sendiri bukannya bersama Mojo. Disebabkan itu Edry menggugurkan Aweera daripada Mojo dan tempatnya akan digantikan dengan penyanyi lain.




Bagaimanapun, Aweera atau nama sebenarnya Nasharul Aweera Norhissham, 23, berasakan dirinya dipergunakan oleh Edry. Oleh itu dia terpaksa tampil memberi kenyataan untuk mempertahankan dirinya. Bukan mahu mengeruhkan keadaan, sebaliknya niat Aweera hanyalah mahu menjelaskan keadaan yang sebenar selain melindungi reputasinya yang telah tercalar.

Sedar dirinya merupakan penyanyi baharu dan Edry merupakan orang lama serta berpengaruh dalam industri muzik tempatan, Aweera berharap kemelutnya bersama Mojo tidak perlu dipanjangkan lagi cuma dia ingin memperbetulkan fakta bahawa dirinya tidak disingkirkan oleh Edry. Sebaliknya dia terlebih dahulu menarik diri daripada meneruskan persembahan bersama Mojo di pentas akhir AJL29.


SELEPAS keluar daripada Mojo, Aweera bergerak sendiri dan bakal muncul dengan lagu terbaharu ciptaannya berjudul Terhakis di bawah Sony Music.

Kosmo!: Sudah lama Aweera tidak muncul tetapi kemunculan Aweera disambut dengan kontroversi bersama Mojo. Bagaimana anda melihat situasi?

Aweera: Saya anggap ini ujian untuk saya. Bukan saya sengaja cipta kontroversi apatah lagi isu itu menjatuhkan saya. Sebenarnya saya tidak ada sebarang masalah bersama Mojo. Walaupun saya bukan lagi ahli Mojo kerana sudah keluar secara rasmi pada Februari 2014, Edry memanggil saya untuk menyanyikan lagu Romantika pada separuh akhir Muzik-Muzik 29. Saya nyanyi dengan ikhlas dan Alhamdulilah lagu itu mara ke final AJL29.

Jadi, apakah masalah sebenar anda bersama Mojo?

Selepas lagu itu layak ke final, Edry sebagai pencipta lagu ingin penyanyi baru Mojo yang berasal dari Indonesia turut membuat persembahan bersama saya di final AJL29. Dia ingin menggunakan pentas AJL untuk memperkenalkan penyanyi baharu Mojo. Masalahnya, Edry minta saya nyanyi bahagian korus dan penyanyi baharu itu bahagian verse sahaja. Itu tidak adil. Perjanjian pula, andai kami menang sebarang kategori, kami akan berkongsi wang kemenangan dengan penyanyi itu sedangkan yang menyanyi bagai keluar anak tekak ialah saya.

Edry merupakan pencipta lagu dan dia mempunyai hak untuk memilih penyanyi lagu tersebut. Mengapakah anda tidak berpuas hati?

Saya tahu dia ada hak tetapi saya rasa diri dipergunakan untuk kepentingan Edry. Tidak salah menggunakan pentas AJL untuk memperkenalkan penyanyi baharu Mojo tetapi mengapa tidak menggunakan penyanyi baharu itu daripada peringkat separuh akhir lagi. Sebaliknya Edry menggunakan saya untuk melayakkan Mojo ke pentas final. Selepas lagu Romantika layak ke final barulah dia mahu guna penyanyi baharu. Dia mendakwa saya membawa masalah, andai benar saya bermasalah, Edry tidak akan panggil saya menyanyi di separuh akhir. Memang saya tidak setuju dengan keputusannya meminta saya menyanyi bersama penyanyi baharu, sebab itu saya tarik diri ketika mesyuarat bersama produksi AJL29, bukannya saya disingkirkan. Itu fakta yang ingin saya perbetulkan.

Adakah benar anda meletakkan syarat untuk menyanyikan lagu Romantika itu bersama band anda sendiri bukannya bersama Mojo?

Memang saya ada minta buat persembahan dengan band saya sendiri. Ini kerana dua ahli asal Mojo tidak dapat beri komitmen. Sewaktu pentas separuh akhir, mereka tidak mahu terlibat tetapi apabila ke final mereka ingin melakukan persembahan.

Adakah anda tidak gentar apabila bergaduh dengan Edry yang merupakan orang lama dalam industri muzik?

Saya tahu dia orang lama dan berpengalaman. Saya pula orang baharu. Namun, saya ada prinsip hidup. Saya rasa tidak adil untuk orang di luar sana hanya mendengar kenyataan daripada sebelah pihak sahaja. Apa yang berlaku menyebabkan saya rasa cukup terkilan dan kecewa. Orang yang tidak tahu cerita sebenar telah menghentam saya sebagai kacang lupakan kulit. Walaupun Edry lebih senior tetapi dia tidak berhak untuk mengeluarkan kenyataan yang bersifat menjatuhkan kerjaya saya sebagai penyanyi.

Selepas Edry mengeluarkan kenyataan tersebut adakah anda ada berhubung dengannya untuk mendapatkan penjelasan?

Tidak, saya tidak bertemu dengan dia lagi. Namun, saya harap kemelut yang berlaku tidak berpanjangan kerana industri muzik kita tidak besar mana. Walaupun apa yang berlaku sedikit sebanyak menjejaskan reputasi saya tetapi saya percaya rezeki terletak di tanggan Allah bukan di tangan manusia. Edry mahu penyanyi baharu menyanyikan lagu itu di final, itu hak dia dan saya tarik diri. Saya doakan yang terbaik untuk Mojo.



Previous Post Next Post