Sharifah Zarina tidak serik! #GegarVaganza


Sharifah Zarina berduet dengan penyanyi Rem menyampaikan lagu popular gandingan Hafiz Suip dan Datuk Siti Nurhaliza berjudul Muara Hati di konsert suku akhir Gegar Vaganza.

PELANTUN lagu Langit Ketujuh, Sharifah Zarina terpaksa akur dengan keputusan juri apabila tersingkir di konsert suku akhir Gegar Vaganza, kelmarin.

Minggu keenam konsert bertemakan ‘Berdua Lebih Baik’ sekali gus memberi peluang kepada semua peserta untuk berduet dengan penyanyi pilihan mereka.

Dalam konsert itu, Sharifah Zarina berduet dengan penyanyi Rem menyampaikan lagu popular gandingan Hafiz Suip dan Datuk Siti Nurhaliza berjudul Muara Hati.

Begitu pun, pertaruhan penyanyi berusia 33 tahun itu ternyata tidak tepat apabila juri kurang bersetuju dengan pilihan lagunya itu.




“Mungkin bukan tuah saya, kerana kesilapan yang sekali itu terus menyebabkan saya tersingkir.

“Sedari awal konsert, saya memang memilih lagu yang kebanyakannya agak susah untuk dibawa supaya dapat menunjukkan kebolehan sekali gus berupaya mengeluarkan suara saya.

“Apabila ada peluang sebegini, saya memang akan mencubanya dengan bersungguh-sungguh,” katanya kepada Zass.

Ketika ditanya adakah dia serik untuk menyertai mana-mana pertandingan nyanyian selepas ini, pelantun lagu Memandang Awan ini memberitahu:

“Mana boleh serik. Saya lagi sukakannya.

“Bagaimanapun, saya berharap agar semua pihak menghormati kebolehan saya.

“Saya bukan minta untuk disanjung cuma saya ada cara saya yang tersendiri,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Sharifah Zarina kini sedang mengikuti pengajian Diploma Eksekutif Pendidikan Awal Kanak-kanak di Universiti Malaysia (UM) dan dijangka tamat pada Disember 2015.

“Buat masa ini, saya perlu memperlahankan seketika aktiviti seni tetapi pada masa sama saya juga sedang mencari single baharu,” katanya yang baharu saja pulang bercuti dari Kanada dan New York.

Malam itu turut memperlihatkan kehebatan peserta lain seperti Fazli Zainal yang berduet dengan Adira menyanyikan lagu Ombak Rindu, Mamat Exist & Ikka Razman (Sandarkan Pada Kenangan), Ayai Ilusi & Indah Ruhaila (Kita Insan Biasa), Haleeda & Awie Rafael (Cuba), Ifa Raizah & Black (Senja Nan Merah), Rahmad Mega & Mawi (Terharu) dan Shima & Sam Innuendo (I’ll Be There).

Selepas Sharifah Zarina tersingkir, kini tinggal tujuh lagi peserta yang akan bersaing untuk merebut gelaran juara.

Siapa peserta yang bakal mengikut jejak Sharifah Zarina? Saksikan Gegar Vaganza setiap Ahad, 9 malam di Astro Ria (saluran 104), Astro Prima (saluran 105) dan Astro Mustika HD (saluran 134).



Previous Post Next Post