Sisi bahagia Garner & Affleck


Jennifer Garner dan Ben Affleck

WALAUPUN jarang mempamerkan kemesraan di khalayak ramai seperti kebanyakan pasangan selebriti lain, namun rasa cinta antara pasangan ini tidak perlu diduga lagi.

Hampir 10 tahun melayari mahligai bahagia bersama, Jennifer Garner dan Ben Affleck, mempunyai ikatan perkahwinan yang kuat dengan kehadiran tiga cahaya mata.

Malah, kekangan masa yang dihadapi pasangan ini bukanlah satu halangan untuk mereka mengabaikan keluarga yang saling memerlukan antara satu sama lain.

Garner misalnya, meskipun sibuk dengan kerjaya, menguruskan karier dan bergelar ibu, namun dia tetap memastikan keluarga adalah prioritinya.




"Walau sesibuk mana pun saya, keluarga adalah nombor satu dan kami tidak akan membiarkan anak-anak membesar tanpa kami bersama.

"Sekiranya ada kelapangan, masa yang ada akan digunakan untuk berhibur dan membawa anak-anak bersiar-siar di sekitar taman permainan," katanya.

Begitu juga dengan Affleck, peluang menghabiskan masa bersama tiga anaknya, Violet, 8, dan Seraphina, 5 dan Samuel, 2, akan digunakan sebaik-baiknya.

"Sayang itu tidak perlu diungkap secara umum, biarlah sekadar kami mengetahui dan merasainya," jelas Affleck.

Meskipun masa yang ada banyak dihabiskan bersama keluarga, namun Garner, 42, bukanlah individu yang terlalu mementingkan sambutan Hari Natal.

Malah, sempena Krismas yang disambut setiap tahun, akui Garner, keluarganya hanya menyambut perayaan itu sekadar dalam suasana yang sederhana sahaja.

"Sehari sebelum perayaan, saya akan keluar mencari kelengkapan untuk memasak dan makanan yang ingin dihidangkan.

"Namun, ia bukanlah satu perayaan besar-besaran. Yang penting, anak-anak gembira dan ianya disambut dengan gelak tawa mereka," katanya lagi.

Hamil lagi?

Baru-baru ini, khabar angin mengenai pasangan ini mula bertebaran apabila Garner dikatakan hamil dan bakal menimang anak keempat.

Ini kerana, kemunculan Garner dengan penampilan yang berbeza serta bentuk badan terutamanya di bahagian perut mula terlihat.

Tidak membiarkan khabar angin itu terus bertebaran, bintang Dallas Buyers Club ini tampil memberikan penjelasan mengenai kehamilan itu.

Garner memberitahu, 'baby bump' yang diperkatakan itu sememangnya betul, namun bukanlah kerana mengandung.

"Memang ada 'baby bump', tapi ianya hanyalah kerana perut saya yang buncit. Khabar mengenai kehamilan itu sememangnya tidak benar.

"Saya menerima ucapan selamat daripada semua orang yang dikenali. Malah, wanita yang selama ini membantu saya menguruskan anak-anak memberitahu, 'saya tidak sabar untuk menunggu anak keempat kamu'.

"Selepas itu, saya terfikir, apa dah jadi? Rupa-rupanya kerana perut saya yang buncit dan saya akui, sejak kebelakangan ini, perut saya memang 'membukit'. Tapi, bukan bayi, hanya buncit seperti keldai," katanya sambil ketawa.

Tambah Garner, pun begitu, dia tidak menolak sekiranya dikurniakan cahaya mata dalam masa terdekat ini.

"Saya sukakan kanak-kanak dan melihat mereka membesar dengan baik, itu sudah cukup membuatkan saya gembira," jelasnya lagi.



Previous Post Next Post