Termometer hiburan dunia



DI SELURUH dunia, sepanjang 365 hari berlari meninggalkan 2014, pelbagai ragam dan peristiwa telah memberi warna-warni dalam dunia hiburan. Namakan sahaja ‘berita gila’ atau menakjubkan yang dibikin para selebriti, ia tidak hanya terjadi di Hollywood, tetapi merentas dunia Bollywood, K-Pop serta Indonesia. Siapa sahaja yang menjadi ‘juara’ mewakili dunia masing-masing dengan kejutan mereka.

Lagu Rude didengar sebanyak 13 juta kali

LAGU Rude nyanyian kumpulan MAGIC! diangkat sebagai lagu paling popular 2014 oleh Official Charts Company selepas karya ciptaan Adam Messinger itu dimainkan secara online sebanyak 13 juta kali oleh pendengar.

Selain itu, lagu tersebut juga berjaya menduduki tangga pertama di 10 buah negara di seluruh dunia.

Rude mengisahkan tentang kisah putus cinta vokalis mereka, Nasri Atweh dengan bekas kekasihnya.




Mallikha diugut

SEKITAR bulan Mei lalu, nama pelakon Mallikha Sherawat menjadi panas selepas poster untuk filem terbaharunya, Dirty Politics menerima kecaman hebat daripada parti-parti politik di India. Menurut mereka, aksi Mallikha dianggap keterlaluan dan tidak sensitif terhadap negara sendiri. Menerusi poster tersebut, Mallikha membalut tubuhnya dengan kain yang mempunyai warna sama seperti bendera negara tersebut sambil sebelah tangannya memegang sekeping cakera padat.

Bagaimanapun, penerbit filem berkenaan, KC Bokadia enggan mengubah poster tersebut. Katanya, kain yang membaluti tubuh Mallikha tidak menampakkan corak Ashoka Chakra yang melambangkan ia bendera India.

Kisah punggung Kim Kardashian

BINTANG realiti Kim Kardashian sememangnya terkenal dengan kecenderungannya untuk beraksi seksi di hadapan kamera.

Justeru, tidak hairanlah jika bintang rancangan Keeping Up With The Kardashians itu bertindak berani mendedahkan bahagian belakang punggung serta alat sulitnya menerusi gambar-gambar editorial majalah Paper yang diterbitkan sekitar bulan November lalu.

Gambar yang disifatkan sebagai hasil seni oleh jurugambar Jean-Paule Goude itu telah menjadi fenomena alam maya dan menimbulkan pelbagai reaksi.

Dalam pada banyak golongan lelaki ‘teruja’ dan hangat memperkatakan tentang keaslian aset Kim, golongan wanita pula menyelar tindakan selebriti itu sebagai kerja kotor yang memalukan status seorang ibu beranak satu.

Robin William

bunuh diri

DUNIA hiburan di Hollywood dikejutkan apabila pelakon komedi terkenal, Robin Williams dijumpai mati dalam keadaan tergantung di dalam bilik di rumahnya di Tiburon, California, Amerika Syarikat pada 11 Ogos tahun ini.

Robin, 64, dijumpai dalam keadaan tidak sedarkan diri oleh pembantunya, setelah isterinya, Susan Schneider keluar dari rumah pada awal pagi ketika Robin sedang nyenyak tidur.

Menurut hasil bedah siasat, Robin dikatakan bertindak membunuh dirinya selepas mengalami halunisasi akibat pengambilan ubat untuk mengatasi masalah penyakit Parkinson yang dideritainya selama ini.

Ia merupakan satu ironi kerana Robin dikenali seluruh dunia sebagai pemain humor terbaik, tetapi menutup kesedihan dirinya sehingga membunuh diri.

Drama Julia Perez

PENYANYI dan pelakon dari Indonesia, Julia Perez tidak pernah lekang daripada dikaitkan dengan kisah-kisah kontroversi.

Oktober lalu, pelakon itu nekad mahu mendapatkan anak melalui prosedur tabung uji walaupun belum berkahwin. Menerima tentangan daripada Majlis Ulama Indonesia, Julia berkeras mahu menjalani proses berkenaan dan telah memilih sebuah hospital di Pulau Pinang untuk proses tersebut.

Namun, pada 9 Oktober, iaitu tarikh yang sepatutnya dia tiba di Malaysia untuk menjalani prosedur itu, Julia mengubah arah menuju ke Pusat Rawatan Wanita Thompson yang terletak di Singapura bagi mendapatkan rawatan penyakit kanser pangkal rahim peringkat dua yang telah lama dideritainya.

Hilang terus kisah bayi tabung ujinya.

Kemalangan tragis Ladies Code

KUMPULAN K-Pop popular, Ladies Code kehilangan dua ahlinya, Eunbi dan Rise dalam satu kemalangan jalan raya yang berlaku ketika mereka sedang dalam perjalanan pulang dari Daegu ke Seoul, Korea pada 3 September lalu.

Kemalangan ngeri itu berlaku apabila tayar bahagian belakang van yang dipandu oleh pengurus mereka, Park tertanggal lalu menyebabkan van tersebut terbalik dan berputar beberapa kali sebelum melanggar pembahagi jalan.

Eunbi meninggal dunia di tempat kejadian manakala Rise menghembuskan nafas yang terakhir lima hari kemudian. Tiga ahli Ladies Code yang lain, Ashley, Sojung dan Zuny hanya mengalami kecederaan ringan.

Lanjutan daripada kemalangan itu, Park dihadapkan ke mahkamah atas kesalahan memandu dalam keadaan berbahaya.



Previous Post Next Post