Album, lakonan baharu Elyana



JIKA ditanya peminat fanatik Erneelya Elyana Emrizal atau lebih dikenali sebagai Elyana, tidak mustahil setiap lakaran yang ditinggalkan penyanyi itu sepanjang 15 tahun usia dalam kanvas seni masih diingati hingga kini. Tanya sahaja apakah warna rambutnya ketika persembahan Kalis Rindu pada Anugerah Juara Lagu ke-23 atau gelaran watak yang dijayakan ketika membintangi drama bersiri Dunia Baru, sudah pasti jawapan kepada soalan-soalan tersebut akan dijawab pantas.

Elyana, 27, pernah mencipta fenomena. Seawal kemunculannya menerusi single sulungnya, Niat, 15 tahun lalu, penyanyi itu mencipta kelompok peminat tersendiri menerusi persembahan tanpa sepatu yang paling diingati dalam sejarah industri hiburan. Belum lagi dinyatakan senarai lagu hit Tak Tercapai Akalmu, Diriku Tapak Sulaiman, Kalis Rindu dan single terakhirnya Sewaktu Dulu-Dulu empat tahun lalu.

Bahtera seni Elyana dibiarkan berlabuh sejenak di dermaga paling tenang dan urusan menabur cinta kepada dua insan paling disayanginya iaitu suaminya, Khairul Anuar Hussin dan cahaya mata mereka, Cinta Sumayyah diletakkan pada tahap optimum. Kini Elyana sudah bersedia untuk kembali berjuang di ruang yang pernah didiami seketika dahulu dan dia punyai alasan sendiri terhadap ‘kehilangannya’.




“Hilang? Mana ada, mungkin wajah saya kurang keluar di kaca televisyen. Maka peminat menyangkakan saya sudah bersara atau hilang daripada dunia seni. Selepas berkahwin pun, saya ada menerima tawaran berlakon dan menyanyi, cuma tidak serancak dahulu. Mungkin ramai yang tidak mengetahui perkembangan seni saya kerana lebih banyak perkongsian di laman sosial berkisarkan tentang kehidupan peribadi saya bersama keluarga, anak dan suami.

“Sekarang waktunya paling sesuai untuk saya kembali bertemu peminat dengan lebih kerap memandangkan anak saya, Cinta Sumayyah sudah berusia empat tahun dan memulakan sesi persekolahan. Suami pula bekerja sendiri, jadi kami mempunyai lebih masa untuk menyelaraskan jadual masing-masing sebab selepas saya bersalin, saya mahu melihat anak saya membesar di depan mata. Jadi keputusan untuk memperlahankan aktiviti seni itu merupakan pilihan saya sendiri.

“Dalam tempoh itu, saya dan suami berebut-rebut untuk menjaga anak sepanjang tempoh empat tahun ini. Pendek kata, sebuah album senang dibuat, tetapi seorang anak susah mahu dapat. Jadi apabila sudah memperoleh cahaya mata sendiri, saya mahu menjaganya dengan sebaik mungkin,” jelas Elyana yang ditemui pada majlis sidang akhbar pelancaran drama bersiri Keluarga Karaoke di Red Box Pavilion, Kuala Lumpur baru-baru ini.


SELEPAS anak sulung mereka Cinta Sumayyah berusia empat tahun, Elyana dengan dorongan suaminya, Khairul, mahu kembali aktif berlakon dan menyanyi.

Syarat kembali

Tambah Elyana, dia memasang impian untuk memiliki cahaya mata yang ramai dan tidak menolak seandainya dikurniakan rezeki dalam tempoh terdekat. Sepanjang tempoh membesarkan cinta hatinya nan satu itu, Elyana sudah mendapat rentak dan tahu menguruskan masa dengan lebih tersusun, termasuk pembahagian ruang untuk kerjaya dan keluarga.

Baik suami atau dirinya sendiri, tidak pernah diletakkan sebarang syarat untuk kembali aktif berlakon dan menyanyi. Kata Elyana lagi, suaminya sebenarnya pendorong dan sering memberikan galakan untuk keluar bekerja semula.

“Sebenarnya, suami saya tidak pernah menghalang atau meletakkan syarat tertentu sekiranya saya mahu kembali aktif berlakon dan menyanyi. Sejak dahulu, dia selalu memberikan sokongan kepada saya dan lebih gemar sekiranya saya keluar bekerja kerana risaukan keadaan saya jika sering terperap di rumah.

“Walaupun saya selesa dengan keputusan untuk berehat di rumah sambil membesarkan Cinta Sumayyah, dia (suami) sendiri khuatir akan perasaan saya yang jarang keluar rumah. Katanya, saya nampak lebih bersemangat apabila bersiap-siap untuk keluar rumah bekerja,” ujarnya.

Bercerita mengenai keseronokan membesarkan anak pertamanya, kata Elyana, anaknya kini sudah boleh menyanyikan lagu-lagu popularnya dan mudah menangkap setiap melodi yang didengar. Bagaimanapun, Elyana enggan Cinta Sumayyah mengikut jejak langkahnya bergelar penyanyi.

“Dia sudah mampu menghafal semua lagu saya dan berdasarkan pemerhatian, dia cepat menangkap melodi. Apapun, jika boleh saya mahu dia menjadi seorang individu normal bukan seperti saya dan tidak perlulah memilih jalan menjadi artis,” tambahnya.


BIARPUN seronok melihat anak pertamanya Cinta Sumayyah sudah pandai menyanyi dan mengenal melodi lagu-lagu popularnya dahulu, Elyana enggan puterinya itu menjadi penyanyi apabila besar nanti.

Album

Tidak lengkap kemunculan semula Elyana tanpa sebarang produk nyanyian. Demi mengubat kerinduan kemarau album selama tujuh tahun, penyanyi kelahiran Shah Alam, Selangor itu bakal muncul dengan sebuah album terbaharu yang akan memuatkan 10 buah lagu di bawah kendalian sahabat karibnya yang juga komposer terkenal, Aidit Alfian.

“Rindu peminat saya sudah pasti akan terubat dengan album terbaharu nanti. Setakat ini, saya sudah merakamkan tiga buah lagu. Menariknya, kebanyakan lagu yang dimuatkan sebenarnya sudah dicipta sejak tiga tahun lalu dan memang sudah lama terbiar. Insya-Allah saya akan masuk semula ke studio untuk melunaskan baki rakaman lagu-lagu lain dan sekiranya diizinkan, single pertama daripada album itu akan dilancarkan pada tahun ini juga.

“Saya masih mengekalkan genre pop rock dan melodinya masih sama kerana mahu dikenali dengan identiti saya seperti dahulu. Cuma selepas tiga tahun lagu-lagu itu ‘diperam’, mungkin akan ada penambahan daripada segi susunan muzik,” jelasnya yang masih bernaung di bawah label FMC.

Alasan Elyana, material itu tidak disempurnakan proses rakaman ekoran keadaan dirinya yang sedang hamil sewaktu album tersebut dibikin. Selepas bersalin dan berat badannya naik, dia mengaku hilang fokus dan sukar mendapatkan mood untuk seiring dengan lagu-lagunya.

Ditanya bagaimanakah persediaannya untuk kembali ke lapangan seni selepas tiga tahun membekukan lagu-lagu tersebut, jawab Elyana, dia lebih gemar mempelajari perkembangan muzik semasa menerusi lagu-lagu terkini yang didengar di radio.

Jelasnya: “Cara saya bersedia mungkin berbeza daripada penyanyi lain. Pertama, saya tidak gemar terlalu bersedia dan akan meletakkan diri saya sambil lewa kerana tidak mahu terlalu cuak sekali gus mengundang rasa takut terhadap perasaan sendiri.

“Selain itu, saya gemar mendengar lagu-lagu penyanyi lain dan menilai elemen muzik yang sukar diperoleh pada masa sekarang. Selalunya saya suka meneroka lagu-lagu baharu yang diputarkan di stesen radio secara rawak. Tidak kiralah, stesen radio itu memainkan lagu berbahasa Tamil atau Mandarin, muzik itu bersifat universal dan bukanlah jenayah sekiranya saya menjadikan lagu-lagu bukan bahasa Melayu sebagai panduan.”


ELYANA paling diingati dengan ‘tanda dagang’ menyanyi tanpa sepatu di atas pentas dan watak Opie dalam drama Dunia Baru.

Keluarga Karaoke

Peminat Elyana juga bakal terubat dengan kemunculannya menerusi naskhah komedi Keluarga Karaoke terbitan KL Motion Pictures Sdn. Bhd. bermula 9 Februari depan. Drama 60 episod arahan Wan Hasliza Wan Zainuddin itu akan menemui penonton pada setiap hari Isnin hingga Rabu pukul 10 malam di saluran Mustika HD (134 Astro) dan Astro Bella (133 Astro).

“Saya mendukung peranan anak kedua dalam keluarga Maria bernama Baizura yang sudah berkahwin, namun masih belum dikurniakan cahaya mata. Harapan besar diletakkan untuk drama bersiri ini kerana setelah sekian lama berehat, saya kembali bekerja di bawah syarikat KL Motion Pictures Sdn. Bhd. yang sebelum ini pernah mempopularkan drama Dunia Baru dan Renjis. Saya seronok untuk kembali ke layar kaca menerusi naskhah menarik ini dan tidak berfikir panjang apabila mendapat tawaran tahun lalu,” tambahnya.

Keluarga Karaoke mengisahkan kehidupan keluarga Maria (lakonan Raja Ema) yang baru kematian suami. Satu demi satu rahsia terbongkar bermula dengan masalah hutang arwah suaminya yang berjumlah RM10 juta, ditambah pula dengan peninggalan perniagaan pusat hiburan karaoke, D’Maria. Segala yang berlaku bukan sahaja mengejutkan Maria sendiri, bahkan memberikan kesan kepada kehidupan tiga orang anak perempuannya, Azura, Baizura dan Fazura.

Drama bersiri Keluarga Karaoke itu dibarisi pelakon hebat lain antaranya Sherry Ibrahim, El Faeza Ul-Haq, Beego, Aidil Aziz, Zarina Zainuddin, Haeriyanto Hassan dan Dazrin Kamarudddin.



Previous Post Next Post