Farah Quinn tak kisah dikritik


NAMA Farah Quinn, 34, mungkin agak janggal kedengaran berbanding rakan senegaranya, Luna Maya yang pernah memegang tampuk kerusi juri di program realiti TV, Maharaja Lawak Mega (MLM) sebelum ini.

Menggantikan tempat Luna untuk musim baharu MLM 2014, Farah atau nama sebenarnya Farah Farhanah Quinn dilihat makin selesa dengan tugasnya itu.

Biarpun di awal kemunculannya menerusi program itu sering kali dikritik peminat setia MLM, namun Farah tetap optimis dengan pendiriannya dan enggan mengambil pusing pandangan-pandangan negatif itu.

"Walaupun terpaksa berulang alik dari Kuala Lumpur ke Jakarta setiap minggu, namun ia satu kepuasan bagi saya.

"Ketika ditawarkan untuk menjadi juri, saya tidak ragu-ragu untuk menerima tawaran dari pihak Astro. Bahkan menyoal balik mereka, adakah keputusan Astro tepat dengan memilih saya sebagai juri," katanya dengan nada berseloroh.




Akui kurang fasih dengan bahasa Melayu, maka kerana itulah Farah dilihat lebih selesa menggunakan bahasa Inggeris untuk memberi komen kepada peserta.

Bagaimanapun selepas 11 minggu bersama MLM, Farah berkata, dia semakin menyedari kebolehan untuk bertutur dalam bahasa Melayu bertambah baik dengan bantuan juri lain, Datuk Jalaluddin Hassan, Taufik Batisah dan Nur Fazura.

Ditanya mengenai cabaran besarnya menerusi MLM, Farah memberitahu, persembahan mengikut tema paling sukar baginya untuk memahami sketsa para peserta.

"Semuanya mengenai filem atau perkara terkini di sini, agak sukar untuk saya fahami kerana masa berada di Malaysia agak singkat.

"Banyak perkara yang saya tidak tahu ada kalanya membuatkan saya terpinga-pinga. Namun saya bernasib baik, ada peserta yang memahami kekurangan saya dan melakukan sketsa yang mudah untuk difahami," ujarnya yang menyukai masakan Malaysia seperti asam sotong dan sambal ikan bilis.


Bukan mudah untuk 'survive'

Memegang status ibu tunggal bukanlah perkara mudah bagi Farah, apatah lagi jadual hariannya penuh dengan aktiviti seni termasuklah program masakan.

Walaupun bergelar chef selebriti, ia tidak bermakna Farah melupakan masanya bersama buah hati tercinta Armand Fauzan Quinn.

Malah menurut Farah, dia banyak menghabiskan masa bersama Armand selepas bercerai dengan bekas suaminya, Carson Quinn.

"Bukan mudah untuk ibu tunggal seperti saya untuk survive jika tiada pendapatan tetap.

"Namun saya bernasib baik kerana rezeki sentiasa ada selepas berpisah dengan bekas suami.

"Untuk itu, saya sentiasa sibukkan diri dengan kerja demi membesarkan Armand dengan sempurna," katanya.

Menurut Farah, selepas program MLM 2014 berakhir, segala aktiviti yang tergendala di negara asalnya kembali berjalan seperti biasa.

"Buat masa ini, tumpuan saya kepada pelbagai rancangan masakan kerana Armand sedang bercuti di Amerika Syarikat.

"Saya bersyukur dengan adanya team sendiri banyak membantu menguruskan hal kerjaya dan peribadi dalam masa yang sama," katanya.



Previous Post Next Post