Indah Ruhaila Sangkal Kecil Hati Dengan Astro


Indah menyangkal dakwaan kononnya dia berkecil hati dengan pihak pengurusannya, Astro Entertainment Sdn Bhd.

Penyanyi Indah Ruhaila menyangkal dakwaan kononnya dia berkecil hati dengan pihak pengurusannya Astro Entertainment Sdn Bhd (AESB) kerana dipinggirkan semasa berlangsungnya Anugerah Juara Lagu ke-29 pada 18 Januari lalu.

Indah atau nama sebenarnya Siti Ruhailah Hussein, 27, berkata, namanya tidak disebut oleh pihak AESB yang mengucapkan tahniah dalam pertandingan berprestij itu di laman sosial bukan satu isu besar sebaliknya dia yakin perkara itu tidak disengajakan.




"Bagi saya isu itu perkara kecil malah saya sendiri tidak sedar nama saya tidak disebut kerana terlalu sibuk dan gementar untuk menghadapi pertandingan.

"Barangkali mereka (AESB) terlepas pandang dan tiada sebab kenapa saya perlu berkecil hati dengan perkara itu," katanya kepada mStar Online ketika dihubungi pada Ahad.

Indah mengulas laporan ruangan gosip sebuah akhbar mingguan yang melaporkan penyanyi lagu Percayalah itu berkecil hati apabila pihak AESB hanya mengucapkan kata-kata semangat kepada Hafiz, Stacy dan Hazama yang turut bertanding pada AJL 29.

Peminat penyanyi itu menganggap pihak AESB tidak sepatutnya meminggirkan Indah dan membeza-bezakan artis dibawah naungan syarikat tersebut.


Indah memberikan persembahan mantap pada Anugerah Juara Lagu 29 yang berlangsung pada 18 Januari lalu.

Dalam pada itu, Indah berkata, dia menyedari mengenai perkara itu selepas isu berkenaan dibangkitkan oleh pengikutnya di laman sosial Instagramnya beberapa hari lalu.

Jelas Indah, pengikut dan peminatnya yang sebenarnya meluahkan rasa kecil hati terhadap perkara itu namun dia tidak mengambil serius kerana acara tersebut sudah pun berlalu.

"Jujur saya memang tidak tahu mengenai perkara itu dan hanya mendapat tahu apabila ia kecoh diperkatakan peminat di Instagram.

"Saya dikatakan kecil hati hanyalah pandangan dan spekulasi mereka dan ia tidak menggambarkan perasaan sebenar saya. Saya tidak berkecil hati," katanya.

Bagaimanapun kata Indah, dia tidak menyalahkan pengikut dan peminatnya bertindak demikian kerana ia satu salah faham.

Sementara itu, Indah menjelaskan dia tidak mempunyai sebarang masalah dengan AESB dan berpuas hati dengan pihak pengurusannya menguruskan kerjayanya.

Malah kata Indah, sebagai artis dia juga perlu memainkan peranan dalam mengukuhkan namanya dalam industri dan tidak boleh mengharapkan pengurusan melakukan segala-galanya.

"Pengurusan saya ada cara tersendiri dalam menguruskan artis dan setakat ini saya berpuas hati dengan AESB malah mereka sangat menyokong.

"Bagaimanapun artis juga tidak boleh duduk goyang kaki sahaja dan menunggu semua perkara dilakukan oleh pengurusan kerana kita juga perlu memainkan peranan dalam memastikan kerjaya dapat maju kehadapan," ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Indah mengakui selepas AJL 29 berakhir karier nyanyiannya semakin berkembang dan menyifatkan gosip yang mengaitkan namanya sejak akhir-akhir ini adalah perkara biasa.

Jelas Indah, dia tidak bimbang menjadi sasaran kontroversi kerana baginya tumpuannya kini adalah untuk memperbaiki diri supaya dapat berdaya saing dengan bakat sedia ada.

"Alhamdulillah selepas AJL 29 berakhir banyak teguran membina yang saya terima biarpun tidak memenangi apa-apa trofi pada malam itu dan ia membuatkan saya lebih bersemangat untuk berjuang selepas ini.

"Sebagai anak seni, gosip dan kontroversi itu adalah perkara biasa dan sebagai artis saya perlu melaluinya dan menganggap ia perkara biasa kerana paling penting saya tidak terganggu dengan fokus terhadap kerjaya," jelasnya.



Previous Post Next Post