Isyarat amal Isyarat Cinta


Adi PUTRA, Liyana Jasmay dan Fizo Omar menyahut cabaran Rosyam untuk memberikan lakonan terbaik dalam Isyarat Cinta.

SERING KALI cinta itu ditakrifkan buta, namun di sebalik pelbagai definisi, istilah yang ditunjangi lima aksara iaitu c, i, n, t dan a itu terlalu agung untuk diungkapkan dengan kata-kata.

Cinta juga anugerah daripada Pencipta untuk seluruh umat manusia, ia tidak boleh dihalang walau dalam keadaan buta, pekak ataupun bisu.

Gambaran kemuliaan cinta itulah yang cuba diungkapkan oleh Isyarat Cinta, sebuah filem terbaharu terbitan Datuk Rosyam Nor menerusi syarikat RK Screen.

Memperhebatkan percintaan yang jarang difilemkan itu, pengarah yang selama ini banyak menghasilkan filem aksi, Bade Haji Azmi diberi kepercayaan untuk menjadikan filem berkenaan sebuah naskhah penuh melankolik.




“Saya percaya Bade seorang pencerita yang hebat. Sinematografi dalam karya-karya Bade sudah kuat untuk bercerita, apatah lagi berkisarkan percintaan. Walaupun jarang menghasilkan filem cinta, saya yakin Bade ada kelebihan itu.

“Lihatlah drama Mawar Putih Tanda Perpisahan arahan beliau yang dijulang sebagai drama terbaik dalam sebuah majlis anugerah pada tahun lepas,” jelas Rosyam yang cukup yakin filem terbitan terbaharunya itu mampu menarik minat penonton ke panggung.

Sepintas lalu, Isyarat Cinta mengisahkan Iskandar, seorang jejaka pekak dan bisu yang jatuh cinta kepada Dhia, seorang wanita cantik dan berbudi pekerti. Seperti Iskandar yang tidak boleh merasai seluruh nikmat pancaindera, Dhia pula hidup dalam kegelapan akibat cacat penglihatan.

Lantas bagaimana percintaan dua insan yang hanya mampu merasa itu mahu memulakan sebuah perhubungan? Bahasa apakah yang mampu menterjemah dan menyalurkan naluri mereka apabila Dhia hanya mampu mendengar, menghidu dan merasa, sedangkan Iskandar pula bisu dan hanya bertutur menggunakan bahasa isyarat. Mustahil bagi mereka berhubung tanpa orang tengah.

Kemunculan watak Ariel yang pada mulanya sebagai perantaraan, tidak seperti yang diharapkan. Kesantunan Dhia mudah menambat hatinya. Lumrah sebuah kisah cinta, konflik dan klimaksnya pasti menemukan pengakhiran yang berbilang rasa. Kecewa atau bahagia, jawapannya menanti apabila tirai Isyarat Cinta mula dibuka tidak lama lagi.

Sesuai dengan mesej kemanusiaan dan cinta insan istimewa yang dipersembahkan, gelanggang panggung Isyarat Cinta yang bakal dibuka kepada umum pada 19 Mac depan dimulakan dengan sebuah majlis tayangan amal perdana anjuran Persatuan Wartawan Hiburan Malaysia (Wham). Wham kini digerakkan semula dengan ahli jawatankuasa yang baharu selepas lebih 10 tahun tidak aktif.

Di bawah pucuk pimpinan Tengku Khalidah Tengku Bidin, Tayangan Amal Perdana Isyarat Cinta akan berlangsung pada 4 Mac nanti, kira-kira dua minggu awal berbanding tayangan umum. Hasil kutipan tayangan amal itu akan disumbangkan kepada mangsa banjir di beberapa buah negeri dan rumah anak-anak yatim terpilih.

“Sebelum ini, Wham berjaya mengumpul kira-kira RM50,000 hasil kutipan Tabung Hati Ke Hati yang dilancarkan pada Disember lalu untuk membantu mangsa banjir. Kami berharap dengan penganjuran tayangan amal filem ini akan mendapat sambutan daripada pihak yang prihatin,” ujar Tengku Khalidah yang juga Pengarang Hiburan akhbar Utusan Malaysia.

Pada masa yang sama, Rosyam Nor sendiri berbesar hati apabila Wham sudi bekerjasama dengan pihaknya untuk melakukan aktiviti murni bagi membantu mangsa banjir dan golongan kurang bernasib baik.

“Sekiranya tayangan amal filem Isyarat Cinta mencapai tahap kutipan yang diinginkan, itulah kejayaan sebenar buat kami di barisan produksi. Saya berjanji, Wham tidak akan malu dengan hasil persembahan filem ini kerana saya menaruh keyakinan yang besar terhadap kemampuan Bade dan barisan pelakon utama filem ini iaitu Liyana Jasmay, Adi Putra dan Fizo Omar,” jelas Rosyam yang sanggup turun padang walaupun tidak berlakon dalam filem terbitannya itu.

Liyana Jasmay teruja kelainan karakter

Hampir setahun menyepi daripada layar kaca mahupun filem, Liyana Jasmay atau LJ pula menganggap percaturan Wham dan RK Sreen yang terlibat dengan tayangan amal itu merupakan satu bentuk promosi yang bermanfaat untuk kedua-dua pihak.

“Sudah lama saya tidak mendengar tentang tayangan amal filem. Apabila filem lakonan saya dijadikan sebuah filem untuk mengutip dana membantu insan yang kurang bernasib baik, apa lagi yang boleh saya katakan selain bersyukur dan memberikan sokongan padu,” katanya.


PRESIDEN Wham, Tengku Khalidah (dua dari kiri) bersama karyawan dan pelakon filem Isyarat Cinta (dari kanan), Bade, Fizo Omar, Adi Putra, Rosyam Nor dan Liyana Jasmay (kiri sekali).

Sibuk mempromosikan filem yang menampilkan lakonannya sebagai wanita buta itu, Liyana yang mesra membahasakan diri sebagai Nana berkata, kemunculannya dalam filem berkenaan menampilkan suatu kelainan yang tidak pernah dilakukan sebelum ini. Dia yang memegang watak bernama Dhia itu diberi tanggungjawab untuk bercinta dengan jejaka pekak dan bisu lakonan Adi Putra

“Semasa mendapat tawaran memegang watak wanita buta daripada Uncle Bade (panggilan Liyana terhadap Bade), saya terus terima tawaran itu tanpa perlu berfikir panjang. Ini kali pertama saya diberi kepercayaan membawa watak wanita buta. Saya menerimanya kerana kelainan dalam watak dan penceritaan.

“Saya juga tidak terfikir tentang bajet atau bayaran sewaktu menerima tawaran tersebut. Saya lakukan demi Uncle Bade. Tambahan pula, sudah lama saya tidak mendapat watak yang menarik dalam filem. Apatah lagi apabila mendapat tahu bahawa saya digandingkan dengan Adi dan Fizo, lagilah saya seronok,” kata aktres yang menerima anugerah Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia ke-22 menerusi filem Papadom.

Adi Putra masuk kelas bahasa isyarat

Jika LJ menjadi buta, pelakon yang terkenal dengan watak Jai dalam filem KL Gangster, Adi Putra pula berdepan tanggungjawab besar apabila diberi kepercayaan memikul watak jejaka bisu dan pekak. Tiada dialog yang perlu dilontarkan, namun lakonannya menjadi lebih sukar apabila corak komunikasi Adi bergantung sepenuhnya kepada bahasa isyarat.

“Untuk menjayakan watak Iskandar, saya perlu mendalami bahasa isyarat selama setahun. Saya kena merujuk kepada persatuan orang pekak dan belajar bahasa isyarat yang betul daripada mereka. Seorang penterjemah bahasa isyarat juga berada di lokasi penggambaran bagi memantau bahasa isyarat yang saya gunakan,” jelas Adi yang kini sibuk menguruskan pakej umrah dan haji di bawah syarikatnya, Menara Hadid Holiday.

Bagi Adi, 34, lakonannya sebagai orang pekak dan bisu juga suatu kelainan yang tidak pernah dijayakan dalam mana-mana naskhah sebelum ini.

“Filem ini mungkin akan mengubah pandangan khalayak terhadap saya. Harap lakonan saya juga tidak menyinggung perasaan orang-orang pekak dan bisu,” jelas Adi yang sedikit low profile sejak berdepan berdepan kontroversi gambar lucah sekitar setahun lalu.

Mengakui hidupnya tenang dan tidak terkesan gara-gara kisah yang menggemparkan itu, Adi sebaliknya menegaskan, karier lakonannya juga masih berjalan seperti biasa, namun fokusnya teralih terhadap bidang perniagaan.

“Sejak setahun lepas saya banyak memenuhi permintaan untuk turut serta dalam pakej umrah yang syarikat saya sediakan. Saya juga terlibat dengan perniagaan syarikat pembinaan, Menara Rezeki Sdn. Bhd. yang diusahakan bersama rakan kongsi. Tahun lepas, saya hanya berlakon sebuah drama rantaian iaitu Zafira,” jelas Adi.

Fizo dijangka menyerlah

Satu-satunya karakter yang ‘cukup sifat’ dalam filem Isyarat Cinta ialah Fizo Omar. Tidak dibebankan dengan karakter pekak, bisu atau buta, Fizo yang memegang peranan sebagai Ariel bagaimanapun tidak boleh lari daripada mempelajari bahasa isyarat.

“Untungnya, saya tidak perlu menggunakan bahasa isyarat yang betul-betul sempurna seperti Adi. Tuntutan saya lebih kepada lip-sync (segerak bibir) dan bahasa isyarat sebagai sokongan sahaja,” jelas Fizo yang mendapat pujian daripada Rosyam menerusi lakonannya dalam filem berkenaan.

Kata Fizo merendah diri: “Saya memang berharap filem ini akan mengingatkan semula khalayak terhadap kewujudan saya dalam industri perfileman, maklumlah, saya bukannya bintang filem yang hebat macam pelakon lain.”

Sibuk dengan perniagaan Hot Burger yang membuka francais kepada peniaga-peniaga di seluruh Malaysia, pelakon yang juga pengacara Pencetus Ummah itu berharap tahun 2015 akan membuka lebih banyak peluang kepadanya untuk aktif semula dalam bidang lakonan.



Previous Post Next Post