Mila Kunis sentiasa positif



MELIHAT kepada kehidupannya kini, tiada siapa menyangka pelakon berbakat besar, Mila Kunis pernah melalui pengalaman hidup yang sangat menyedihkan.

Pasti tiada siapa menduga, Kunis dan keluarganya sebelum ini pernah hidup dalam keadaan serba daif di negara kelahirannya, Ukraine, selain pernah menjalani kehidupan sebagai pendatang di Amerika Syarikat.

Tidak berpatah semangat, teman wanita Ashton Kutcher ini sebaliknya menganggap kehidupan miskinnya itu sebagai pengajaran buat dirinya untuk lebih berjaya.

Bahkan, Kunis yang menceburkan diri dalam bidang seni sejak berusia 14 tahun lagi sudah menganggap situasi itu mengajarnya untuk berdepan dengan pelbagai cabaran.




"Sebelum mencapai kejayaan seperti hari ini, saya serta keluarga hidup dalam keadaan daif dan pengalaman masa lalu itu membuat saya sentiasa berusaha lebih gigih.

"Saya bersyukur dengan kejayaan kini dan jangan biarkan kekurangan menjadikan anda seorang yang lemah," katanya.

Aktres berusia 32 tahun itu mula dikenali ramai menerusi sitkom popular, That 70’s Show yang pernah ditayangkan satu ketika dulu dan juga menyumbangkan suaranya untuk siri televisyen, Family Guy.

Selain siri televisyen, Kunis juga membintangi beberapa filem termasuklah Max Payne (2008), Date Night (2010), Friends With Benefits (2011), Ted (2012) dan Oz The Great and Powerful (2013).

Bagaimanapun, selepas kejayaan filem Black Swan (2010), aktres bermata galak ini semakin yakin dengan langkah seninya sebagai seorang pelakon filem.

Trailer: Jupiter Ascending



Bahkan, jauh di sudut hati Kunis, dia menanam impian untuk berlakon bersama dua aktor ternama iaitu Brad Pitt dan George Clooney, biarpun sebelum ini, sering kali digandingkan dengan ramai pelakon lelaki kacak lain di Hollywood.

"Saya percaya jika saya dapat digandingkan dengan mereka selepas ini, ia akan menjadi kombinasi yang cukup menarik untuk saya," katanya dalam satu temu bual, baru-baru ini.

Walaupun meniti kejayaan demi kejayaan, Kunis bagaimanapun tetap melahirkan rasa bimbang mengenai masa depannya dalam bidang seni ini.

Jadi ratu

Bakal menjengah pawagam mulai 5 Februari ini, filem Jupiter Ascending pasti saja dinanti-nantikan oleh peminat Kunis.

Masakan tidak, sebelum ini, filem arahan Andy Wachowski dan Lana Wachowski itu terpaksa ditangguhkan beberapa kali penayangannya sehingga menimbulkan pelbagai spekulasi yang tidak enak.

Malah, ia turut diakui oleh seorang wartawan dari Majalah Variety, Stuart Oldham yang mengatakan pembikinan filem ini sememangnya bermasalah dari peringkat awal lagi.

"Selama berbulan-bulan, saya banyak mendengar banyak hal buruk tentang pembikinan filem ini," tulisnya di akaun Twitternya.

Begitu pun, ada juga spekulasi yang mengatakan penangguhan filem berkenaan bertujuan untuk memperkemaskan lagi kesan khas filem bergenre sains fiksyen ini.

Selain Kunis, filem ini turut menampilkan aktor kacak, Channing Tatum, Sean Bean, Eddie Redmayne, Douglas Booth, Tuppence Middleton, Doona Bae, James D’Arcy dan Tim Pigott-Smith.

Jupiter Ascending mengisahkan seorang pejuang masa depan, Caine (Channing Tatum), yang berusaha melindungi seorang wanita, Jupiter Jones (Mila Kunis) iaitu seorang wanita biasa yang ditakdirkan bakal menjadi Ratu untuk semua planet di angkasa lepas.

Bagaimanapun, ketika di Bumi, Jupiter hanyalah seorang pekerja pembersih tandas. Namun, kehidupannya berubah semenjak bertemu makhluk bernama Caine.

Apakah yang berlaku seterusnya? Nantikannya di pawagam mulai 5 Februari ini.



Previous Post Next Post