Nazrief si nerda mencuba nasib



KELIBATNYA kini mula menjadi perhatian. Barometer pendatang baharu bernama Nazrief Nazri itu tambah menggelegak apabila namanya terjalin rapat dengan pelakon yang rumah tangganya baru berderai penghujung tahun lalu, Izreen Azminda.

Tidak mengalah, melarikan diri atau bungkam dengan isu tersebut, Nazrief atau nama sebenarnya, Mohamad Nazrief Mohamad Nazri itu telah tampil meleraikan kekeliruan.

Cerita tersebut tetap akan diperkatakan umum. Tambah pula, Izreen, ibu kepada seorang cahaya mata itu sedang berada dalam fasa yang menarik perhatian kelompok masyarakat.

Apatah lagi, kisah perceraian Izreen dengan bekas suami, Muhamad Riza Baharuddin antara yang paling sensasi tahun lalu. Walaupun pertalian yang wujud di antara Nazrief dan Izreen itu terukir sebagai sahabat, namun kemesraan mereka telah menimbulkan persepsi tertentu.

Seperkara yang dipelajari Nazrief, tiada sedikit pun kekesalan yang terbit dalam hati dek tercetusnya isu ‘bercinta’ dengan Izreen. Namun yang pasti, dia perlu lebih berhati-hati sebelum bergambar dengan mana-mana wanita selepas ini.




“Saya tidak pernah terfikir untuk ‘diserang’ sebegini rupa apabila bergambar dengan Izreen. Sekarang baru saya faham bahagian mana yang perlu atau tidak saya kawal. Di pihak saya, asalnya gambar itu di luar kesedaran kerana selama ini tiada siapa pun kisah dengan siapa saya bergambar atau bagaimana saya bergambar.

“Saya tidak menyesal dan saya sudah bersedia. Sebagai individu yang berada dalam bidang seni, saya harus memberikan penjelasan tentang sebarang kekeliruan seperti isu di antara saya dan Izreen. Jauh di sudut hati, saya sudah bersedia untuk menjadi artis sejak hari pertama saya bergelar pelakon,” jelasnya yang lebih selesa disapa Naz.


TIDAK gemar bersukan dan berperwatakan seperti remaja ‘ulat buku’, Nazrief kini berubah penampilan menjadi jejaka yang segak dan bertubuh sasa.

Tumpang populariti

Bercerita kembali mengenai situasi foto-fotonya bersama Izreen, Naz menjelaskan, sama ada dia mahupun Izreen, mereka tidak pernah merancang untuk menjadikan persahabatan itu satu perjudian.

Kata Naz, 24, dia hanya menyifatkan Izreen sebagai senior yang banyak membantunya dalam bidang lakonan selain sahabat yang baru dikenali.

“Dia seorang yang peramah, mesra, baik dan tidak lokek berkongsi ilmu mengenai dunia lakonan. Mengenai hal peribadinya, setakat yang saya tahu dia dan Amar Baharim sudah pun putus. Setiap kali kami keluar bersama, kami ditemani kawan-kawan yang lain dan tidak pernah berjumpa secara berdua.

“Ketika bergambar bersama, saya tidak pernah meletakkan diri saya sebagai seorang artis yang perlu mengawal setiap gerak-geri. Lebih tepat, kami bergambar atas dasar kawan,” katanya yang baru usai penggambaran telefilem bersama Izreen berjudul Lima Kali Cinta.

Diusik kononnya dia antara pendatang baharu yang sedang cuba menumpang populariti artis lain, misalnya Izreen, begini komen Naz:

“Saya tiada niat untuk menumpang populariti sesiapa dan sebelum Izreen pun, saya sendiri pernah memuat naik foto bersama artis wanita lain tetapi tiada sesiapa pun yang ambil peduli. Kenapa baru sekarang?”


NAZ menegaskan, dia dan Izreen sekadar berkawan rapat.

Bina badan

Anak muda yang berasal dari Seremban, Negeri Sembilan itu sebenarnya bukan baru hari pertama dalam lapangan seni. Menyelak kembali halaman memorinya tiga tahun lalu ketika kali pertama berlakon dalam telefilem Anak Ikan arahan Rashid Sibir, bakatnya terus diterokai dan berjaya menghiasi beberapa buah drama rantaian di kaca televisyen, antaranya Maskara, Tanah Kubur dan Pengancam Perkahwinan.

Kini, drama 13 episod berjudul Cinta Ilahi lakonannya sedang disiarkan di sebuah saluran televisyen setiap hari Jumaat pukul 9 malam.

Menerusi drama rantaian terbitan JS Pictures itu, Naz digandingkan bersama Diana Amir dan Johan As’ari buat pertama kalinya. Menyusul selepas naskhah tersebut, Naz bakal muncul menerusi drama rantaian 20 episod berjudul Suami Sebelah Rumah.

“Saya tidak pernah terduga untuk menjadi artis apabila dewasa kerana saya seorang yang nerda (berperwatakan seperti ‘ulat buku’). Sejak kecil, saya sebenarnya ‘ulat buku’, malah tidak pernah sukakan dunia glamor. Saya tidak minat bersukan hingga saya mula berjinak-jinak ke gimnasium untuk membina badan pada tahun 2012.

“Ketika itu, saya memasuki pertandingan bina badan remaja bawah 21 tahun, Mr. Gim Rakyat Junior Negeri Sembilan dan menduduki tangga ketiga. Pada 2012 juga, saya mencuba nasib dalam pertandingan pencarian bakat Hero Remaja yang turut disertai oleh Syafiq Kyle dan Fattah Amin. Dari situlah, saya disunting Rashid Sibir untuk membintangi telefilem arahannya, Anak Ikan.

“Komitmen lakonan saya terhad ketika itu kerana saya masih belajar di Perak. Saya harus berulang-alik ke Kuala Lumpur untuk penggambaran, jadi saya terpaksa mengehadkan tawaran dan hanya memilih berlakon hanya ketika cuti semester.

“Selepas konvokesyen pada penghujung tahun lalu, sekarang masa untuk saya mencuba peluang di depan mata,” katanya yang memiliki ijazah berkembar Sarjana Muda Operasi Maritim dari Malaysian Institute Of Maritime Engineering Technology (UniKL Mimet) dan Chartered Institute Of Logistics And Transport (CILT).

Naz merumuskan, perjalanan tiga tahun banyak membentuknya menjadi pemikir yang bukan bekerja semata-mata untuk mengumpul kesenangan, sebaliknya matang terhadap persekitaran.

Kata Naz, dia mengambil peduli setiap kritikan daripada peminat terhadap kualiti lakonan sebagai pedoman membentuk aturan baharu dalam hidupnya.

“Memang tiga tahun lalu penonton cakap lakonan saya kaku, namun dari semasa ke semasa, saya cuba memperbaiki dan berusaha memberikan lakonan yang terbaik. Walaupun saya langsung tiada asas dalam dunia lakonan, sedikit sebanyak ia berhasil,” jelas Naz.


MENGAKUI tidak pernah terfikir untuk menjadi pelakon, Nazrief mula berjinak-jinak dengan lakonan selepas menyertai pertandingan Hero Remaja pada tahun 2012.

Maritim atau artis

Ditanya lagi, tidakkah dia merasakan satu kerugian untuk menggadaikan segulung ijazah dalam bidang pengurusan maritim semata-mata demi bidang seni yang sukar diramal ini, Naz ada jawapan dan ketetapan tersendiri.

“Saya tidak didesak oleh keluarga untuk memilih hala tuju hidup atau kerjaya. Mereka juga tidak mengongkong minat saya.

“Mulanya saya menjadi pelakon sekadar mahu mengisi duit poket tetapi pada masa sama saya juga masih memerlukan ijazah dalam bidang pengurusan operasi maritim seperti yang saya impikan sejak kecil.

“Saya tidak pernah berasa rugi menjadi pelakon, bekerja bukan dalam bidang akademik juga bukan lagi perkara asing pada masa sekarang. Janji kita ikhlas,” tambah Naz yang kini bernaung di bawah syarikat Uprising Entertainment.

Diberikan juga dua pilihan terbesar dalam hidupnya, jika dibiarkan bermimpi untuk 10 tahun mendatang. siapa Nazrief Nazri ketika itu?

“Matlamat saya untuk menjadi seorang hartawan! (ketawa). Tidak kisah sebagai seorang artis atau bertugas dalam bidang maritim kerana niat saya mahu membantu keluarga. Janji saya, bahagiakan keluarga terlebih dahulu, kemudian baru fikir soal kahwin,” simpulnya.



Previous Post Next Post