Pendirian Afdlin Shauki


SEKITAR September tahun lalu, pelakon dan pengarah filem ini berpeluang menunaikan rukun islam kelima bersama ibunya, Fadilah Jailani, 67.

Sekembalinya dari Tanah Suci Mekah, Afdlin Shauki memgakui banyak perkara yang perlu diambil kira sekiranya dia masih perlu berada dalam industri hiburan.

Tidak hanya bergelar haji pada zahirnya, dia turut mengelak dari melakukan perkara-perkara yang boleh menimbulkan persepsi negatif di kalangan masyarakat termasuk menjaga batas-batas agama.

"Saya membuat keputusan untuk ke sana adalah dengan niat untuk menyucikan hati dan jiwa dan ia perlulah selari serta berterusan walau di mana sahaja kita berada.

"Saya masih memilih industri sebagai salah satu punca rezeki untuk meneruskan kelangsungan hidup, namun ada perkara yang perlu diambil kira dan ada yang boleh atau tidak. Semestinya saya lebih selektif dan selesa berkarya dengan cara berdakwah," katanya lagi.




Bertanya mengenai pendirian pelakon popular, Adi Putra yang masih menerima tawaran berlakon babak panas atau ranjang meskipun kini sudah bergelar Haji, Afdlin mengambil pendekatan untuk tidak bersangka buruk.

"Kita tidak boleh menilai orang lain sewenang-wenangnya kerana itu antara dia dengan Allah SWT. Terpulang kepada individu itu sendiri untuk memilih jalan mereka.

"Namun, kalau saya, memang saya tak akan menerima sebarang tawaran sebegitu dan elak dari melakukan perkara yang boleh menimbulkan tanggapan negatif.

"Lagipun, kita ke sana untuk mendekatkan diri kepadaNya serta meminta ampun atas kesalahan lalu. Jadi, sekembalinya kita perlulah ada perubahan yang lebih baik," katanya lagi.

Dalam perkembangan lain, Afdlin memberitahu dia kini sibuk dalam bidang perniagaan dan bakal memperkenalkan produk minuman untuk tenaga, QAF Shauki serta meluaskan pasaran untuk kapsul kesihatan lelaki, Alpha Kapsul.

"Insya-ALLAH, bulan Februari nanti, saya akan memasarkan QAF Shauki di pasaran. Dalam bidang seni pula, saya sedang sibuk dengan program Super Spontan Singapura dan bakal memperkenalkan rancangan untuk kanak-kanak, Spontan Boboi & Gegirl.

"Selain itu, saya juga bakal terlibat dengan projek pementasan teater di Istana Budaya. Namun, masih terlalu awal untuk berkongsi mengenai perkara itu buat masa ini," katanya yang bakal tampil dengan filem antarabangsa, Sandakan Tears, tidak lama lagi.



Previous Post Next Post