Produksi Terpaksa Bina Set Pusat Karaoke Untuk Sebuah Drama


Barisan pelakon drama Keluarga Karaoke

Pihak produksi drama bersiri 'Keluarga Karaoke' terpaksa membina set menyamai sebuah pusat karaoke memandangkan hampir 70 peratus jalan cerita perlu menyamai suasana pusat hiburan berkenaan.

Pengarahnya, Wan Hasliza Wan Zainuddin berkata, pada awalnya mereka ingin menggunakan pusat karaoke sedia ada namun ia akan menggangu perjalanan perniagaan kerana akan mengambil masa penggambaran yang lama.




"Kami ingin guna pusat karaoke sedia ada sahaja tetapi memandangkan akan mengambil masa lama kami akhirnya memutuskan untuk membina set khas bagi tujuan tersebut.

"Biarpun menelan kos agak tinggi namun ia memudah dan melancarkan proses penggambaran yang memakan masa hampir empat bulan," katanya kepada Artis Meletop.

Wan Hasliza ditemui pada majlis pelancaran drama bersiri itu di Red Box Pavillion di sini, Selasa.

Drama 60 episod itu turut dibintangi oleh Raja Ema, Elyana, Sherry Ibrahim, Elfaeza Ul-Haq, Zarina Zainuddin, Beego dan Dazrin Kamarudin.


Sherry Ibrahim turut membintangi Keluarga Karaoke.

Ia bakal disiarkan pada setiap hari Isnin hingga Rabu pada pukul 10 malam bermula 9 Februari di saluran Mustika HD (134).

Dalam pada itu, Pengurus Saluran Mustika HD, Natasha Hashim berkata, pihaknya turut menampilkan sebuah lagu tema untuk drama bersiri itu berjudul Aku Keliru yang dinyanyikan oleh Raja Ema dan Lawa Nie Geng.

Jelas Natasha, seperti mana kebiasaan karya di saluran tersebut peranan lagu tema amat penting kepada sesebuah drama dalam memberikan impak kepada penonton sekaligus promosi kepada karya itu.

"Lagu itu ciptaan DJ Fuzz dan Lawa Nie Geng dan sekaligus menjadi single terbaharu Raja Ema yang sudah lama tidak muncul dengan lagi baharu.

"Pihak kami juga turut melancarkan klip video lagu itu sebagai promosi dan memberi impak kepada penonton," ujarnya.

Sementara itu, Natasha berkata, Keluarga Karaoke adalah sebuah naskah bertunjangkan komedi namun sarat dengan nilai kekeluargaan yang dapat dijadikan iktibar oleh penonton.

"Pihak kami yakin Keluarga Karaoke mampu menjadi fenomena seperti mana projek terdahulu sebelum ini," katanya.

Drama berkenaan mengisahkan tentang kehidupan keluarga Maria (Raja Ema) yang kematian suami.

Bagaimanapun dia bersama tiga anak perempuannya terkejut apabila mendapati arwah suaminya meninggalkan hutang sebanyak RM10 juta dan sebuah pusat karaoke.



Previous Post Next Post