Saksikan Pengembaraan Aznil Bersama Bintang Hollywood Esok


Aznil bersama bintang realiti Kim Kardashian

Pengacara terkenal Datuk Aznil Nawawi hanya bergantung kepada telefon pintarnya untuk merakamkan pengembaraannya bertemu dengan selebriti terkenal seperti Kim Kardashian, Guliana Rancic, Ryan Seacrest ketika berkunjung ke Los Angeles, Amerika Syarikat pada awal Januari lalu.

Aznil berkata, dia terpaksa berbuat demikian kerana pemergiaannya atas jemputan NBC Universal itu tidak ditemani oleh rakan media lain dari Malaysia.




"Saya ditugaskan ke sana berseorangan dan saya mendapat ilham untuk merakamkan pengembaraan hanya menggunakan telefon bimbit.

"Saya mahu kongsikan pengalaman bertemu nama-nama besar itu dengan penonton di negara ini dan sudah membayangkan ia bakal menjadi satu program santai dan berlainan," katanya kepada Artis Meletop.


Aznil turut diberi peluang untuk menjadi hos di set E! News.

Sebuah program khas dengan dua episod yang berjudul Selfie Paknil di LA bakal ditayangkan Ahad ini, pada pukul 8.30 malam di Astro Ria dan Maya HD.

Program berkenaan diterbitkan oleh Syazwan Zakariah.

Dalam pada itu, Aznil mengakui berasa bangga apabila hos saluran E! iaitu Giuliana Rancic memberitahu dia obses dengan Malaysia.

Giuliana berkata demikian kerana dia teruja apabila sering mendapat Tweet daripada peminat-peminat di negara ini biarpun belum pernah berkunjung kemari.


Aznil bersama penyanyi Christina Milian.

"Giuliana cukup teruja apabila bercakap mengenai Malaysia kerana dia memberitahu sering mendapat komen daripada peminat dari negara ini.

"Dia belum pernah ke sini tetapi merancang untuk datang ke negara ini suatu hari nanti," katanya.

Sementara itu, Aznil turut memberitahu teruja dapat menembual dua bintang terkenal iaitu Kim Kardashian yang pada mulanya menyangka isteri kepada Kanye West itu sukar didekati.

"Selain Guliana saya diberi peluang untuk menemuramah secara eksklusif dengan Christina Milian dan Kim Kardashian.


Aznil bersama Guliana Rancic.

"Saya tidak sangka Kim seorang yang mudah tersenyum. Selama ini saya ingat dia seorang yang sombong berdasarkan gambar-gambarnya di majalah dan Instagram," ujarnya.

Selain itu, Aznil turut berkesempatan berinteraksi dengan hos dari program Fashion Police seperti Kelly Osbourne, Brad Goreski dan Ryan Seacrest.

Katanya, Guliana memperkenalkannya kepada tetamu lain sebagai 'Ryan Seacrest Malaysia' dan diberi peluang menjadi hos di set program E! News.

Kunjungan pengacara program Apa Kata Malaysia itu atas jemputan NBC Universal untuk sidang media bagi memperkenalkan musim terbaharu program seperti Live From the Red Carpet, Keeping Up With the Kardashian, Fashion Police dan Christina Milian Turned Up.



Previous Post Next Post