Sherry Ibrahim tinggalkan Lol Entertainment



SHERRY mengaku tidak akan berkahwin dalam masa terdekat untuk memberi peluang kepada kekasihnya, pelakon Fattah Amin mencipta nama terlebih dahulu.

Dua tahun berpayung di bawah syarikat pengurusan Laugh Out Loud Entertainment (Lol Entertainment), pelakon Sherry Ibrahim akhirnya mengambil keputusan untuk keluar daripada syarikat pengurusan yang dimiliki oleh penyanyi Dafi dan rakan kongsinya itu pada awal Januari lalu.

Kata Sherry, 32, yang ditemui pada majlis tayangan filem Suamiku Encik Perfect 10 di TGV KLCC, Kuala Lumpur baru-baru ini, keputusan untuk keluar daripada syarikat pengurusan berkenaan bukanlah disebabkan tidak berpuas hati dengan cara mereka menguruskan kerjaya seninya, sebaliknya kerana kontrak yang ditandatangani bersama Lol Entertainment telah tamat.

Meskipun telah merakamkan tiga buah lagu di bawah pengurusan Lol Entertainment termasuk Aku Yang Salah dan Floating, namun hasratnya untuk bergelar penyanyi tidak kesampaian kerana sehingga hari ini lagunya tidak pernah diperdengarkan kepada peminat.

Enggan menyalahkan sesiapa, Sherry menganggap pintu rezeki untuk kerjaya nyanyiannya masih belum terbuka.

Kini, selepas sembilan tahun menjadi anak seni, Sherry lebih selesa menguruskan kerjaya seninya sendiri tanpa bergantung kepada syarikat pengurusan mahupun pengurus peribadi.




Artis Meletop!: Apa khabar Sherry. Benarkah anda sudah keluar daripada syarikat pengurusan Lol Entertainment?

Sherry: Khabar baik. Ya, memang benar saya telah keluar daripada Lol Entertainment awal bulan ini. Kebetulan kontrak tamat dan saya mengambil keputusan untuk keluar daripada syarikat pengurusan.

Adakah berlaku sebarang salah faham yang menyebabkan anda mengambil keputusan untuk keluar daripada syarikat pengurusan tersebut?

Tidak timbul sebarang isu dan salah faham. Hubungan saya dan pengurusan Lol Entertainment masih baik sehingga hari ini.

Selama dua tahun diuruskan mereka, saya berpuas hati dengan khidmat yang diberikan. Cuma kali ini, saya rasa sudah sampai masanya untuk saya mencari angin baharu.

Mungkinkah anda kecewa apabila impian untuk bergelar penyanyi tidak menjadi kenyataan meskipun sudah merakam tiga buah lagu ketika bersama mereka?

Memang benar saya sudah merakam tiga buah lagu, malangnya impian untuk bergelar penyanyi tidak kesampaian. Saya tidak kecewa atau marahkan sesiapa kerana saya anggap belum rezeki saya untuk jadi penyanyi.

Lagu yang telah dirakam itu bukan hak milik saya, sebaliknya dimiliki oleh Lol Entertainment. Jadi, selepas keluar daripada syarikat pengurusan tersebut, saya tidak berhak untuk menuntut lagu itu daripada mereka.

Adakah anda masih menyimpan cita-cita untuk menjadi penyanyi?

Sebenarnya sejak berusia 16 tahun saya sudah menyimpan cita-cita untuk menjadi penyanyi. Bahkan, saya juga menyertai beberapa pertandingan nyanyian ketika remaja. Namun, impian itu tergendala sebentar apabila saya menjadi pramugari syarikat Penerbangan Malaysia (MAS) dan rezeki saya lebih berpihak kepada bidang lakonan terlebih dahulu.

Jika ikutkan hati, memang saya masih ingin jadi penyanyi tetapi banyak sangat halangannya. Jadi, buat masa sekarang saya fokus dengan kerjaya lakonan sahaja.

Selepas keluar daripada Lol Entertainment, adakah anda akan menguruskan sendiri kerjaya seni?

Saya sudah berkecimpung dalam bidang seni selama sembilan tahun. Berbekalkan pengalaman yang ada, saya yakin dan lebih selesa untuk menguruskan kerjaya seni sendiri. Buat masa ini, saya tidak mempunyai pengurus peribadi atau bergantung pada syarikat pengurusan.

Bagaimanakah hubungan cinta anda dengan pelakon Fattah Amin?

Alhamdulillah, semuanya baik sahaja. Masing-masing sibuk dengan kerjaya seni. Soal menamatkan zaman bujang, bagi saya belum lagi untuk masa terdekat. Fattah pun masih muda, berilah dia peluang untuk mencipta nama dan mencari wang terlebih dahulu sebelum membina keluarga.

Saya tidak pernah memaksa dalam soal perkahwinan kerana saya serahkan kepada takdir Allah. Jika ada jodoh tidak akan ke mana. Doakan yang terbaik sahaja buat kami berdua.



Previous Post Next Post