Anis selesa berdiam diri


BAGI Anis, Sharnaaz merupakan seorang lelaki yang baik

HUBUNGAN istimewa antara aktor kontroversi, Sharnaaz Ahmad dengan model jelita, Anis Al-Idrus bukan lagi satu rahsia.

Bagaimanapun, pemilik nama penuh Sharifah Anis Syed Zainal Al-Idrus ini dilihat lebih selesa mengambil langkah untuk berdiam diri ketika diminta mengulas mengenai status hubungannya dengan hero drama Bukan Kerana Aku Tak Cinta itu.

Berkesempatan menemui Anis yang menemani Sharnaaz pada majlis pengumuman senarai lima finalis Anugerah Bintang Popular 2014 di Kuala Lumpur baru-baru ini, Anis ternyata mempunyai alasan tersendiri untuk berbuat demikian.

Kata Anis, sebagai wanita, kurang manis untuk dirinya memberikan komen terhadap status hubungannya dengan Sharnaaz.




“Apa sahaja kenyataan yang dikeluarkan oleh Sharnaaz, saya sokong. Ini kerana, tidak molek rasanya jika saya sebagai pihak perempuan bercerita mengenai fasa hubungan kami.

“Sebagai wanita, saya ikut sahaja setiap komen mengenai hubungan rapat kami,” jelas Anis yang enggan mengulas lanjut mengenai status hubungannya dengan Sharnaaz.

Tambah Anis, antara sebab utama dia mengambil langkah untuk tidak memberikan sebarang komen mengenai hubungan yang terjalin adalah demi menjaga nama baik keluarga.

“Sebagai anak tunggal, saya perlu menjaga nama baik keluarga. Jadi, apa sahaja cerita berkenaan hubungan ini, biarlah kami sahaja yang tahu dan setiap kenyataan biarlah daripada dia,” ujar Anis sambil memberitahu, dia dan Sharnaaz sudah lama berkawan, namun mula rapat awal tahun lalu.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai sikap Sharnaaz sepanjang perkenalannya dengan jejaka berbadan sasa itu, kata Anis, dia mengakui selesa berkawan dengan pelakon itu walaupun ramai pihak beranggapan dia merupakan lelaki yang panas baran dan psiko.

“Sharnaaz seorang lelaki yang baik. Sepanjang perkenalan kami, dia tidak pernah bersikap baran ataupun bertindak kasar. Bagi saya, dia seorang yang manja. Ini kerana, dia merupakan anak bongsu dalam keluarga.

“Bagaimanapun, apabila ada pihak yang sengaja membuat dia marah, sudah tentu dia bertindak sedemikian dan begitu juga dengan saya,” kata Anis yang merupakan model dan pelakon beberapa drama termasuk Gemersik Kalbu, Walit Walid, Selamat Malam Kekasih, Tangisan Bulan Madu 2, Dan Bila Esok serta Cuak.

Selain berlakon, pemegang Ijazah Perniagaan Antarabangsa pengkhususan Perbankan dan Kewangan dari Universiti Sains dan Pengurusan (MSU) itu pernah bekerja selama setahun sebagai pembaca berita dan wartawan penyiaran di sebuah stesen televisyen tempatan.

Terbaharu, anak kelahiran Kota Bharu, Kelantan itu memberitahu, dia bakal membuka sebuah butik yang bakal beroperasi di Alam Avenue 2, Shah Alam.

“Insya-Allah pada 6 Mac ini, saya bakal melancarkan vendor butik pertama saya iaitu Anis Al-Idrus Wardrope yang menghimpunkan 50 vendor daripada pelbagai jenama popular.

“Saya memilih konsep vendor butik kerana ini merupakan satu usaha untuk membantu usahawan mengembangkan perniagaan mereka,” kongsinya.

Tambah Anis, Sharnaaz banyak memberi semangat dan menasihatinya agar tidak berputus asa untuk merealisasikan vendor butik tersebut.

Dalam perkembangan lain, Anis kini sedang sibuk mengacara rancangan berjudul Safiyyah terbitan RTM yang bakal ditayangkan pada April depan.



Previous Post Next Post