Dragon Blade sarat aksi pertarungan


NAMA Datuk Jackie Chan, tidak keterlaluan untuk penulis katakan cukup terkenal di seantero dunia.

Bakat besarnya dalam ilmu seni mempertahankan diri dan banyak berlakon dalam filem bergenre aksi sejak awal penglibatannya lagi menyebabkan namanya berdiri sebaris dengan Bruce Lee dan beberapa pakar seni mempertahankan diri lain.

Bahkan setiap filem lakonannya sering dinanti-nantikan oleh para peminat, termasuklah filem terbaru lakonannya, Dragon Blade.

Selain Jackie, filem arahan Daniel Lee ini turut dijayakan oleh John Cusack, Adrien Brody, Choi Si-Won, Lin Peng dan Mika Wang.

Menerusi filem berdurasi dua jam, enam minit ini, Jackie membawakan watak Huo An, seorang komander Skuad Penyelamat yang bertugas memelihara Laluan Sutera pada era Dinasti Han.

Konflik mula berlaku apabila Huo An memberi tempat perlindungan kepada seorang general berbangsa Rom bernama Lucius (John Cusack) yang melarikan diri daripada Tiberius (Adrien Brody) kerana berebut takhta daripada adik bongsunya, Publius.

Akibat rasa amarah, dendam dan pembelotan, 36 buah negara di Laluan Sutera bergabung, menentang Tiberius dan angkatan tenteranya.

Meskipun mengangkat sebuah kisah epik, seperti biasa, filem yang memperlihatkan Jackie sebagai pengarah aksi ini melibatkan banyak babak pertarungan.




Tentu sekali aksi pertarungan adalah babak yang paling dinantikan oleh para penonton dan seperti biasa, ia tidak sedikit pun mengecewakan apatah lagi dengan kehadiran para pelakon hebat di dalam filem ini.

Dengan koreografi pertarungan yang mantap di tambah dengan sudut kamera yang membantu mencantikkan lagi setiap sudut pertarungan di dalam filem ini.

Tidak hanya memaparkan aksi pertarungan membabitkan para pelakon dan pelakon tambahan, Jackie dalam temu bual pada sidang media bersama media Malaysia baru-baru ini turut mengakui menggunakan 1,000 ekor burung helang dan kuda, pada babak perang dan perlawanan.

Penglibatan banyak pelakon tambahan dengan kostum pada zaman itu yang cukup bersesuaian, serta sinematografi yang cantik menjadi antara sebab mengapa anda perlu menonton filem ini.

Bagaimanapun satu perkara yang sedikit mengecewakan penulis adalah pergerakan filem yang agak perlahan pada sejam permulaan, di mana lebih banyak plot penceritaan membabitkan suara latar mengenai sejarah Dinasti ini.

Dengan banyak lontaran dialog dan pengenalan kepada watak-watak yang terlibat, menimbulkan sedikit rasa bosan dan hampir 'membunuh' keterujaan menyaksikan filem ini.

Mujur ia perlahan-lahan berubah kepada sebuah cerita yang menarik sehinggalah melibatkan babak perlawanan.



Lakonan mantap

Selain itu, antara faktor penarik lain (seperti yang penulis katakan sebelum ini) adalah penglibatan para pelakon yang hebat di layar perak.

Kehadiran Cusask, Brody, tentu sekali menjadi antara salah satu sebab mengapa anda perlu menonton filem ini.

Manakala kehadiran bintang terkenal Korea, Siwon barangkali akan menarik peminat K-Pop untuk menyaksikan filem Dragon Blade di pawagam.

Secara keseluruhannya, kesemua pelakon memberi komitmen dan penghayatan watak yang cukup baik di dalam filem ini.

Termasuklah kehadiran beberapa pelakon terkenal sebagai pelakon undangan di dalam filem ini seperti Vanness Wu, Karena Lam dan William Feng, yang turut mencantikkan lagi filem ini.

Oleh itu, bagi anda yang ingin mengetahui kesudahan kisah dendam menuntut bela ini, jangan lupa menyaksikan Dragon Blade di pawagam berdekatan anda.



Previous Post Next Post