Fadzil Zahari: Mungkin dia tak boleh terima kalau saya pergi dulu



YANA Samsudin bersama pasangannya Fadzil Zahari ketika bersanding pada majlis resepsi perkahwinannya di Dataran Gemilang, Yong Peng, Johor pada Ahad lalu.

Rakaman video perkahwinan Yana Samsudin dan Fadzil Zahari berdurasi lebih tujuh minit yang dimuat naik dan dikongsi ramai di laman sosial cukup menyentuh perasaan.

Lebih menyayat hati apabila Yana sendiri menuturkan mengenai sesuatu yang tak terduga.

Yana menuturkan secebis harapan semoga beliau dulu yang pergi bertemu Tuhan sebelum suaminya itu.




Fadzil yang dihubungi Artis Meletop sebentar tadi turut mengakui agak tersentuh dengan hal berkenaan kerana ia dituturkan Yana tanpa dirancang.

"Saya sendiri tak tahu yang soal ajal maut itu yang terluah dari bibirnya. Saya terdiam seketika namun jauh di sudut hati saya berharap semoga kami akan panjang umur. Insya-Allah," kata Fadzil memberi reaksi terhadap rakaman video terbitan CST Production dan Prokuya Studio itu.

Tambah adik kepada Farid Kamil itu lagi, beliau memahami apa yang cuba disampaikan isterinya itu dan percaya setiap wanita yang bergelar isteri mahu kebahagiaan itu terus berakhir hingga ke jannah.

"Mungkin dia tak boleh terima kalau kawan baik iaitu saya sendiri pergi dulu mengadap Ilahi. Tapi daripada sisi sendiri, saya pun tak sanggup kehilangan isteri yang dicintai. Ini soal semua ajal dan maut, ia di luar bidang kuasa kita sebagai manusia biasa," katanya.


Ditanya mengenai isteri yang dinikahinya pada 13 Februari lalu, Fadzil menjelaskan kali pertama bertemu dengan Yana pada 2008 ketika menjadi pembantu peribadi kepada Farid Kamil. Ketika itu, Yana terbabit dalam penggambaran filem V3: Samseng Jalanan.

"Kini selepas ibu saya, dialah wanita yang bertakhta di hati saya. Di sebalik kejayaan seorang lelaki itu ialah perempuan yang berada di belakangnya. Mereka berdualah yang berada di belakang kejayaan saya kini.

"Masa kami kenal ketika itu, saya dari tak punya apa-apa dan kini mengahwininya di saat sudah bergelar penerbit. Saya kini memiliki syarikat Prokuya Studio. Dia (Yana) memang banyak menyokong saya.

"Dia sendiri seorang yang bekerja kuat. Dia umpama guru saya. Sepanjang mengenalinya saya tahu dia bermula dari bawah dengan melakukan banyak kerja demi sebuah pengalaman berharga," katanya sambil memberitahu Prokuya Studio turut mengkhusus kepada pengurusan artis, pengiklanan dalam talian, produksi dan selain bakal meneruskan skop baru iaitu pengurusan acara.

Ketika ini Fadzil dan Yana belum berpeluang untuk berbulan madu kerana kesibukan masing-masing.

"Ada kerja yang tertangguh dari produksi Prokuya sendiri membabitkan Yana. Yana terbabit untuk penggambaran telefilem dan filem. Hanya selepas selesai dua agenda itu baru kami boleh memikirkan hal bulan madu.

"Ikut keinginan Yana, dia teringin berbulan madu di Itali. Saya sendiri pernah katakan kepada rakan media ingin berbulan madu di Kepulauan Maldives. Tengoklah bagaimana nanti," katanya.

Majlis bertandang pasangan ini dijadualkan pada 7 Mac depan di Jitra, Kedah.
Previous Post Next Post