Nad Zainal Sertai Teater Kerana Tidak Mahu Abai Kualiti Lakonan



Nad Zainal tidak mahu dikatakan sebagai pelakon berangan.

Pelakon Nad Zainal memberitahu dia menyertai persembahan teater sekurang-kurangnya dua kali setahun adalah bagi memantapkan mutu lakonannya di televisyen.

Nad atau Farah Nadia Zainal Abidin, 25, berkata, dia tidak mahu terlalu selesa dengan menilai kualiti lakonannya melalui pandangan penonton sesebuah drama yang dilakonkan semata-mata.

"Saya tidak mahu jadi pelakon berangan dalam industri yang rasa diri sudah hebat dan selesa dengan lakonan sendiri di dalam drama atau filem. Penonton pula sudah tentu beri komen yang sedapkan hati.

"Apabila kita masuk teater barulah kita tahu tahap kemampuan kita sebenar dan boleh perbaiki kelemahan kita," ujarnya kepada Artis Meletop.




Tambah Nad, bukan hanya tertumpu kepada tetaer berskala besar di pentas Istana Budaya, dia juga sering terlibat dengan teater di pentas-pentas kecil bagi mengasah bakat lakonannya.

Jelasnya, teater di pentas kecil seperti di Stor Teater Dewan Bahasa dan Pustaka lebih menguji kemampuannya sebagai pelakon.

"Kalau di pentas Istana Budaya selalunya watak ringan dan selalunya di pentas-pentas kecil membawa teater yang berat dan benar-benar menguji lakonan.

"Apa yang bagusnya, kita ditegur oleh tenaga pengajar yang tahu tentang teknik lakonan tanpa mengambil kira siapa kita," ujarnya.

Sementara itu, Nad berkata, dia bersyukur sejak menamatkan pelajaran dalam bidang teater di Aswara, dia masih berada dilandasan yang betul.

Jelasnya, apa yang dipelajari ketika di Aswara kini sudah membuahkan hasil.

"Alhamdulillah, matlamat saya dalam bidang lakonan lebih nampak dan apa yang saya pelajari di Aswara sudah menampakkan hasilnya.

"Saya bersyukur kerana berada pada tempat yang betul berbanding rakan-rakan lain yang kebanyakkannya beralih ke bidang yang tiada kena mengena dengan seni," ujarnya.



Previous Post Next Post