Ozlyn sumber kekuatan Johan



SEBAIK sahaja nama pelawak dan penyampai radio, Johan diumumkan sebagai pemenang kategori utama Anugerah MeleTOP Era 2015 (AME 2015) iaitu Top Top MeleTOP (Lelaki), lelaki dengan imej ranbut kerinting kembang dan berkaca mata itu kaku tergamam di atas pentas. Dia terkejut dan sama sekali tidak menyangka, trofi utama dan tiga kategori lain iaitu Penyampai Radio MeleTOP, Program Radio MeleTOP (Johara) dan Pelawak MeleTOP menjadi miliknya.

Emosi ceria pelawak yang gemar ketawa itu bercampur terharu. Sewaktu ditemui pada majlis sidang akhbar usai AME 2015, Johan atau nama sebenarnya Muhammad Yazid Lim, 31, menyifatkan kemenangan itu bukan sekadar menjulang trofi dan wang tunai hadiah kemenangan, bahkan terlalu istimewa buatnya.

“Selepas lapan tahun bekerja dalam bidang seni, ini anugerah besar pertama yang saya dapat. Sebelum ini, saya pernah dapat anugerah tetapi untuk pelawak sahaja bukan mewakili keseluruhan industri hiburan. Saya terkejut dan tidak terkata apabila nama diumumkan sebagai pemenang. Orang lain tidak dapat rasa saat istimewa yang saya rasai ketika menerima anugerah itu. Saat itu yang akan menjadi kenangan paling manis dalam hidup saya.

“Trofi yang saya menang pula akan menjadi kenangan apabila saya tua kelak. Waktu itu, trofi tersebut menjadi saksi kejayaan saya hari ini untuk diceritakan kepada anak cucu nanti,” kata Johan.



Bukan itu sahaja, Johan juga mengusik naluri setiap tubuh yang berada di bilik sidang akhbar apabila dia tidak berhenti menyebut nama isterinya, Ozlyn Wati dan anak-anak yang merupakan tulang belakang kepada kejayaannya hari ini.

“Saya sebenarnya menumpang rezeki isteri dan anak-anak termasuk kemenangan hari ini. Jujur saya katakan, isteri saya merupakan tulang belakang kejayaan saya. Sejak zaman Jozan sehinggalah hari ini, dia merupakan pengkritik utama dalam setiap persembahan saya. Biasalah kita hanya nampak perkara yang hebat tentang diri sendiri, sebaliknya orang lain akan nampak kelemahan kita.

“Hanya isteri saya yang akan menegur kesilapan saya. Jika tanpa dia, saya tidak akan berada pada tahap sekarang. Saya bekerja pun semuanya untuk keluarga dan percaya, rezeki yang datang hari ini bukan untuk saya, sebaliknya untuk mereka,” ujar Johan serius.

Akui Johan lagi, dia tidak meletakkan harapan yang tinggi untuk memenangi sebarang anugerah pada malam berkenaan kerana fokusnya hanya kepada persembahan selaku pengacara majlis bersama Zizan, Nabil, Datuk AC Mizal dan Neelofa.

“Sebenarnya saya tidak tahu siapa yang menang pada malam itu termasuk diri sendiri kerana terlalu fokus dengan persembahan dan kerja sebagai pengacara. Sebab itulah, ketika nama disebut sebagai pemenang, saya terlalu terkejut sehingga menjadi kaku di atas pentas.

“Apa pun, terima kasih kepada peminat yang mengundi. Kemenangan ini secara tidak langsung menaikkan semangat saya untuk terus menghiburkan peminat,” tutur bapa kepada empat orang anak itu.

Ayda Jebat tidak sangka menang

Pelakon baharu Ayda Jebat yang popular hanya menerusi sebuah drama bersiri iaitu Rindu Awak 200% juga terkejut apabila diumumkan sebagai pemenang kategori utama Top Top MeleTOP (Wanita). Sebelum itu, Ayda terlebih dulu memenangi kategori Artis Baharu MeleTOP.

“Saya cukup terkejut apabila memenangi dua trofi sedangkan saya hanya dikenali menerusi sebuah drama sahaja. Bagi saya ini rezeki yang tidak dijangka kerana yang pesaing semuanya lebih popular daripada saya,” kata Ayda.

Meskipun telah memenangi anugerah besar, Ayda menegaskan dia masih orang yang sama cuma yang berubah ialah dia harus meningkatkan kualiti lakonan demi memenuhi harapan besar peminatnya.

“Apabila menang anugerah, orang mudah menjangka saya akan berubah atau letak harga yang tinggi. Sebenarnya tidak, saya masih Ayda yang sama, cuma anugerah ini beri sedikit tekanan untuk saya meningkatkan mutu lakonan dan terlibat dalam karya yang lebih baik.

“Saya akui, perjalanan seni masih baharu tetapi saya tidak kata ia mudah. Saya tetap berusaha untuk dapat apa yang saya ada pada hari ini. Paling penting ialah mengekalkan momentum kerja supaya konsisten,” tuturnya yang juga berbakat dalam bidang nyanyian.

Pengaruh drama bersiri Rindu Awak 200% tidak sekadar membawa tuah kepada Ayda. Pelakon gandingannya dalam drama bersiri tersebut, Zul Ariffin turut memenangi kategori Pelakon TV MeleTOP. Kata Zul, selepas enam tahun terlibat dalam dunia lakonan, baru hari ini, dia berasa dihargai oleh peminat.

“Tahun 2014 merupakan tahun yang tidak boleh saya lupakan. Walaupun sudah lama berlakon, baru sekarang saya merasai tempias dunia glamor dan diterima oleh peminat. Kemenangan ini sebenarnya menyuntik semangat untuk menjadi pelakon yang lebih baik pada masa akan datang ,” luah Zul.

Persembahan terbaik

Selain Johan, Ayda dan Zul, penyanyi Akim & The Magistrate serta Datuk Siti Nurhaliza pula menjadi selebriti yang paling kerap turun naik pentas untuk menerima anugerah. Meskipun tidak memenangi kategori utama, tetapi kemenangan berganda itu membuktikan aura dan pengaruh Siti dan Akim masih kuat.

Bercakap mengenai persembahan, AME 2015 yang berlangsung di Stadium Putra Bukit Jalil, Kuala Lumpur boleh dirujuk sebagai antara majlis anugerah terbaik yang pernah disaksikan peminat dunia seni. Dilihat padu dengan gabungan penyanyi legenda dan penyanyi baharu, paling tidak boleh dilupakan sudah pasti persembahan penutup oleh Siti Nurhaliza yang mendendangkan lagu Mahligai Permata dan Ya Maulai. Pesona Siti Nurhaliza tidak pernah luntur setiap kali beliau membuat persembahan dalam mana-mana majlis anugerah.

Bukan itu sahaja, kehadiran kesemua anggota asal kumpulan rap 4U2C, Nico, kumpulan Wings, Datuk Jamal Abdillah dan Datuk Ramli Sarip turut menggamit memori.

Persembahan selingan oleh Erra Fazira dan Awie yang mengimbas semula babak filem Sembilu juga mengundang tepukan gemuruh daripada penonton. Selain itu, persembahan oleh band 5 Bara yang dianggotai oleh Jep Sepah, Shuib, Tauke, Mie Raja Lawak dan Yus Jambu membuktikan mereka lebih daripada pelawak kerana mampu menyanyi dan bermain alat muzik persis band profesional yang lain.

Secara keseluruhannya, AME 2015 yang disiarkan di Astro Ria (saluran 104) dan Maya HD (135) menutup tirai dengan susunan persembahan yang menghiburkan. Begitu juga dengan barisan pengacara, walaupun kelihatan terlalu padat di atas pentas namun, masing-masing memainkan peranan untuk menghidupkan lagi majlis anugerah tersebut.

Previous Post Next Post