Rezeki kontroversi Sara Ali


Sara Ali menganggap setiap kontroversi yang datang perlu diterima seadanya tanpa perlu melatah.

SIAPA sangka selepas terpalit kontroversi demi kontroversi, nama aktres popular, Sara Ali, 25, semakin dikenali khalayak dan mendapat tempat di hati peminat industri seni tanah air.

Buktinya, selepas satu berita mendedahkan kisah hubungannya renggang dengan seorang pelakon wanita tempatan mula tersebar, namanya semakin menjadi sebutan, sekali gus memberikan publisiti kepada dirinya menghiasi dada-dada akhbar tempatan.

Ketika berpeluang bertemu dengannya pada majlis pengumuman senarai lima finalis Anugerah Bintang Popular 2014 baru-baru ini, Sara memberitahu, kontroversi tersebut telah memberinya publisiti dan promosi tanpa diminta.

Lebih menarik lagi, mungkin kerana kontroversi tersebut namanya menjadi perhatian sehingga tercalon dalam senarai lima finalis menerusi kategori Pelakon Filem Wanita Popular.

Sensasi Bintang sempat menemu ramah Sara mengenai kontroversi yang mengaitkan dirinya hingga menjadi perhatian dan kisah cinta baharunya bersama seorang ahli perniagaan muda.




Sensasi Bintang: Adakah Sara berasakan kontroversi yang mengaitkan diri anda baru-baru ini membantu menaikkan nama hingga tercalon dalam kategori Pelakon Filem Wanita Popular?

Sejujurnya, saya tidak pasti mengenai perkara tersebut tetapi baik atau buruk sesuatu publisiti itu, ia tetap publisiti. Oleh itu, prinsip hidup saya mudah, setiap publisiti yang diberikan diterima seadanya kerana untuk membeli ruangan dalam akhbar atau mana-mana penerbitan menelan kos yang tinggi.

Bagaimana anda berhadapan dengan setiap kontroversi. Adakah ia menganggu perjalanan karier seni anda?

Alhamdulillah, kontroversi yang melanda sekarang tidak langsung mengganggu perjalanan karier lakonan saya. Rezeki lakonan masih ada dan paling penting, peminat masih setia bersama saya. Apa yang boleh dikatakan, terima kasih kerana menaikkan nama saya sehingga semakin dikenali ramai.

Tutup cerita mengenai impak kontroversi yang mengaitkan diri anda. Bagaimana pula dengan kehidupan peribadi anda sekarang?

Sejujurnya, saya sedang mengenali hati budi seseorang. Kami baru sahaja berkenalan dan belum merancang untuk melangkah ke fasa seterusnya kerana perlu memikirkan masa depan karier terlebih dulu. Apa yang boleh saya kongsikan, dia seorang ahli perniagaan bernama John Shaqeel dan dia baru berusia 22 tahun.

Adakah anda meminati lelaki yang lebih muda daripada usia anda?

Bagi saya, umur bukan lagi menjadi isu pada zaman sekarang. Perkara paling utama dalam sebuah perhubungan adalah keserasian antara pasangan itu. Alhamdulillah, saya dipertemukan dengan seseorang yang lebih muda dan kami selesa bersama buat masa ini.

Apakah projek terbaharu anda?

Jika tiada aral melintang, pada Mac ini, drama terbaharu saya berjudul Rubberband arahan Sabri Yunus bakal ditayangkan di stesen TV3. Kali ini, saya digandingkan dengan aktor Beto Kusyairy selepas drama saya bersama Fahrin Ahmad dan Remy Ishak disiarkan di televisyen.

Jika dilihat senarai pelakon lelaki yang bergandingan dengan anda, semuanya merupakan nama-nama besar. Adakah anda memilih setiap tawaran lakonan yang diberikan?

Sebenarnya, saya tidak sangka dan tidak merancang untuk digandingkan dengan pelakon popular tanah air. Bagaimanapun, tahun lepas, saya hanya berdoa untuk mengumpul portfolio agar diberikan peluang berlakon dengan nama-nama besar.

Sejujurnya, tahun ini banyak memberi saya tempat untuk bernafas dalam industri.



Previous Post Next Post