Tarikan listrik Bunga Citra Lestari


MUNCUL dengan single terbaharu berjudul Wanita Terbahagia, lagu tersebut didedikasikan khusus buat suaminya, Ashraf Sinclair.

Bunga Citra Lestari, nama yang cukup mekar di negara kelahirannya, Indonesia serta Malaysia. Sepanjang 13 tahun bergelar anak seni, Bunga yang merupakan seorang pelakon dan penyanyi dilihat mempunyai kerjaya yang cukup cemerlang.

Bagaimanapun, kata wanita berusia 32 tahun yang ditemui pada majlis pelancaran single terbaharunya berjudul Wanita Terbahagia di Hotel Royale Chulan, Kuala Lumpur baru-baru ini, meskipun perjalanan kerjayanya dilihat mudah dan pantas, dia tetap merasai pahit sebelum dirinya benar-benar diterima oleh khalayak.



“Saya bermula sebagai seorang pelakon pada tahun 2002 dan hanya bergelar penyanyi pada tahun 2005 selepas menerima tawaran Pas Band berduet bersama mereka untuk lagu Ku Merindu. Ketika itu, banyak pihak yang memandang saya sebelah mata.

“Mereka menganggap saya tidak ada bakat dan hanya mengambil kesempatan atas populariti sebagai pelakon untuk bergelar penyanyi. Walhal, ramai yang tidak tahu minat saya sejak di bangku sekolah adalah bidang nyanyian. Cuma rezeki lakonan datang dulu daripada nyanyian,” tutur Bunga membuka bicara.

Isteri kepada pelakon Ashraf Sinclair itu terjun ke bidang lakonan selepas mendapat tawaran untuk menghadiri uji bakat ketika berjalan di pusat beli-belah. Dia kemudian ditawar menjadi penyanyi oleh Pas Band apabila kumpulan itu terbaca tentang hasratnya untuk bergelar penyanyi dalam sebuah majalah.

“Ya, perjalanan saya agak mudah tetapi yang paling sukar adalah mengekalkan momentum kerja dan kepercayaan orang kepada saya. Bayangkan, ketika saya sedang popular sebagai pelakon sinetron (drama), saya mengambil risiko meninggalkan dunia lakonan yang merupakan sumber rezeki buat sementara waktu untuk memberi fokus kepada bidang nyanyian.

“Saya fikir ketika itu apa salahnya mencuba dan mempercayai gerak hati sendiri walaupun dalam pada masa yang sama diselubungi perasaan bimbang. Alhamdulillah, duet bersama Pas Band dan album pertama yang berjudul Cinta Pertama mendapat sambutan di luar jangkaan,” ujarnya.

Selepas itu, Bunga tidak lagi menoleh ke belakang. Dia cukup berjaya dengan dua album seterusnya iaitu Tentang Kamu dan The Best Of BCL yang memuatkan lagu tema filem lakonannya, Habibie & Ainun iaitu Cinta Sejati.

Kecemerlangannya membawa watak Ainun dalam filem tersebut juga mengangkat nama Bunga sebagai pelakon ke tahap yang lebih tinggi. Menerusi filem itu, dia menerima anugerah sebagai Penyanyi Lagu Runut Bunyi Paling Popular di Indonesia Movie Awards 2013 dan Lagu Runut Bunyi Terbaik serta Penyanyi Solo Wanita Terbaik di Anugerah Muzik Indonesia 2013.

“Filem itu meninggalkan kesan mendalam kepada saya sehingga sekarang. Jika sebelum itu saya banyak mengeluh kerana penat bekerja atau suami yang terlalu sibuk, tetapi selepas melakonkan watak Ainun, ia banyak menyedarkan betapa bertuahnya saya mempunyai sebuah keluarga yang bahagia,” kata Bunga.

Beralih topik kepada soal kontroversi dan privasi dirinya sebagai seorang selebriti terkenal, Bunga mengakui, pada awal penglibatannya sebagai anak seni, dia sukar untuk membiasakan diri apabila sentiasa dikelilingi paparazi.

Namun, seiring dengan peningkatan usia dan kematangannya, Bunga menganggap perkara itu merupakan sebahagian daripada tugasnya sebagai seorang selebriti.

“Saya akui, pada mulanya memang sukar membiasakan diri, diikuti orang ke mana sahaja. Kadangkala gambar yang dirakam disalah erti dan mengundang spekulasi yang tidak benar apabila dinilai oleh orang ramai.

“Lama-kelamaan saya belajar bahawa sukar untuk memuaskan hati semua orang. Tidak kisahlah orang mahu cakap apa sekali pun tentang diri saya, apa yang penting keluarga, rakan dan saya tahu perkara yang sebenarnya,” ulas Bunga.

Rahsia kebahagiaan

Bercakap tentang kehidupan peribadinya, Bunga tersenyum lebar dan mengakui berada dalam fasa paling bahagia sebagai seorang wanita. Kehidupannya lengkap di sisi suami, Ashraf dan anak mereka, Noah Sinclair yang berusia lima tahun.

“Kehidupan saya cukup lengkap dan kehadiran mereka mengajar saya menjadi orang yang lebih baik. Saya bersyukur kerana dikurniakan suami yang penyayang, kacak dan cukup romantik serta anak yang sering menghiburkan hati,” tuturnya.

Disoal apakah rahsia kebahagian rumah tangga mereka, jelas Bunga dan Ashraf, kepercayaan, komunikasi dan bersikap terbuka antara prinsip yang diterapkan dalam perkahwinan yang dibina sejak 8 November 2008.

“Saya tidak meletakkan syarat atau peraturan untuk isteri. Hubungan kami bermula dengan cinta jarak jauh antara Malaysia dan Indonesia, jadi asasnya ialah harus saling percaya antara satu sama lain.

“Selain itu, kami akan kongsikan apa sahaja masalah atau berita gembira bersama. Tiada rahsia antara kami,” kata Ashraf yang turut hadir dalam majlis tersebut.

Bunga yang berada di sebelahnya juga mengakui perkara tersebut dan memberitahu, suaminya seorang yang sangat romantik.

“Ashraf suka meletakkan nota kecil di sekeliling rumah. Jika saya berada dalam keadaan sedih atau marah, saya akan hubunginya dan dia berkata, lihat belakang pintu atau belakang televisyen, pasti diselitkan nota untuk menenangkan hati saya.

“Jika dia terpaksa keluar awal pagi dan saya masih tidur, dia pasti tulis nota di cermin bilik air seperti love you. Dia suami yang terbaik untuk saya,” ungkap Bunga.

Walaupun sibuk dengan kerjaya seni, Bunga memastikan tugasnya sebagai ibu dan isteri tetap dilaksanakan dengan baik.

“Selalunya jika Ashraf sibuk di lokasi penggambaran, saya akan membawa anak melawat ayahnya di tempat kerja. Kami juga tidak pernah berlakon bersama kerana jika kedua -dua ibu bapa sibuk berlakon siapa pula yang mahu jaga Noah?

“Sebab itu jika Ashraf berlakon sinetron yang mengambil masa selama setahun lebih untuk penggambaran, saya akan memastikan diri saya mempunyai waktu untuk Noah,” tutur Bunga.

Lagu buat suami

Menariknya, single terbaharu Bunga yang berjudul Wanita Terbahagia ditujukan khas buat suami tercinta. Beritahu Bunga, kebanyakan lagu nyanyiannya mempunyai kaitan dengan kehidupan peribadinya.

“Sebenarnya lagu Wanita Terbahagia ditujukan khas untuk suami. Walaupun lagu ini tidak boleh menjadi ukuran betapa besar cinta saya buat suami, tetapi ia menggambarkan perasaan sebenar saya kepadanya,” kata Bunga.

Lagu ciptaan oleh Pay dan lirik oleh Dewiq itu agak berbeza daripada lagu yang pernah dinyanyikan sebelum ini kerana diulit oleh elemen gendang dam seruling.

“Saat saya mendengar lagu ini, saya sudah mula tertarik kerana ia amat berbeza dengan lagu yang sering saya nyanyikan sebelum ini. Namun, disebabkan tidak tahu bagaimana penerimaan peminat, saya mengambil risiko dan memilih lagu tersebut,” ujarnya.

Menariknya lagu dan klip video Wanita Terbahagia dipasarkan di Malaysia terlebih dulu berbanding Indonesia sebagai penghormatan buat peminatnya di sini.

“Lagu ini sudah mula dipasarkan sejak Disember lalu dan peminat di Malaysia yang dapat mendengarnya terlebih dulu. Saya sering menganggap Malaysia sebagai rumah kedua, jadi apa salahnya membuat sesuatu yang berbeza untuk lagu baharu,” terangnya.

Previous Post Next Post