Uqasha Senrose nafi diintai anak hartawan



Digosipkan sedang bercinta, Syafiq Kyle dan Uqasha Senrose sebaliknya bertegas, mereka masih dalam proses mengenali hati budi masing-masing.

SELEPAS isu gambar selfie yang mengaitkan kembali pelakon Uqasha Senrose dengan bekas tunangnya, Pekin Ibrahim hangat diperkatakan, kini timbul pula kisah baharu yang mendakwa, pelakon yang berasal dari negeri Cik Siti Wan Kembang itu diintai oleh seorang anak hartawan.

Menerusi sebuah ruangan gosip yang diterbitkan oleh sebuah akhbar mingguan tempatan Ahad lalu, Uqasha atau nama sebenarnya Nik Zaris Uqasha Nik Sen, 23, juga dikatakan pernah keluar bersama lelaki terbabit.

Memanaskan bahang sensasi, lelaki itu juga merupakan tunang kepada seorang pelakon baharu dan pernah dikaitkan dengan beberapa artis wanita lain sebelum ini.

Bertemu Uqasha pada majlis Anugerah MeleTOP Era yang berlangsung di Stadium Putra Bukit Jalil, Kuala Lumpur, Ahad lalu, pelakon filem Paku Pontianak yang turut digosipkan bercinta dengan pelakon Syafiq Kyle itu nyata terkejut mengenai dakwaan yang dilemparkan ke mukanya.

Kata Uqasha, dia tidak faham, mengapa namanya dikaitkan dengan lelaki tersebut, sedangkan dia langsung tidak pernah didekati mana-mana anak hartawan.



Artis Meletop!: Adakah Uqasha sedar tentang gosip yang mengatakan anda kini diintai oleh seorang anak hartawan?

UQASHA: Sejujurnya, saya sungguh terkejut apabila mendapat tahu tentang perkara itu. Saya langsung tidak kenal individu yang dimaksudkan. Saya juga pelik, kenapa saya sering dikaitkan atau digosipkan dengan lelaki.

Baru-baru ini, anda ada memuat naik gambar selfie bersama Pekin di akaun Instagram. Gambar tersebut turut menjadi isu apabila kisah cinta antara anda dan Pekin diungkit kembali. Komen?

Saya anggap kisah putus tunang dengan Pekin sebagai kisah lama. Sebagai kawan, tidak salah rasanya untuk kami bertegur sapa. Lagipun, tujuan asal saya memuat naik selfie itu bagi mempromosikan filem terbaharu Pekin berjudul Coverina. Tidak lebih daripada itu.

Apabila cerita sebegitu timbul, adakah ia memberi kesan negatif terhadap kerjaya lakonan anda?

Saya berasa sedikit kurang selesa apabila sering dikaitkan dengan perkara yang tidak benar. Sebenarnya saya lebih bersifat terbuka jika mereka mahu berbicara tentang hal kerjaya saya sebagai pelakon berbanding gosip seperti ini.

Anda juga memuat naik gambar bersama pelakon Syafiq Kyle ketika hadir ke Anugerah MeleTOP Era. Gambar itu dikritik peminat ekoran baju yang dipakai dikatakan terlalu ketat dan tangan yang seolah-olah memeluk belakang Syafiq. Komen?

Tentang isu baju ketat, saya kira pakaian itu sudah cukup tertutup. Saya juga meminta pereka baju berkenaan untuk menutup bahagian leher saya. Baju itu turut dilengkapi dengan cape (kain di bahagian bahu) untuk menutup dada. Mengenai isu memeluk Syafiq pula, saya minta maaf jika gambar tersebut menyinggung peminat. Kami bergambar sebagai kawan dan secara tidak sengaja, saya meletakkan tangan di bahagian belakang badannya. Saya berjanji perkara tersebut tidak akan berulang lagi.

Seperkara lagi, anda telah menjawab kritikan kurang manis peminat dengan meletakkan hashtag meminta supaya mereka berhenti daripada menjadi pengikut anda (unfollow) di Instagram. Mengapakah anda bertindak demikian?

Saya lihat ramai yang memberi komen mahu unfollow saya. Jadi, saya terus meletakkan hashtag sedemikian. Bukan mudah untuk puaskan hati semua orang. Jika tidak suka apa yang dilihat, lebih baik unfollow.

SYAFIQ KYLE yang merupakan kawan lelaki paling rapat kepada Uqasha turut menyelar sekeras-kerasnya tindakan penulis gosip berhubung isu anak hartawan yang diterbit dalam sebuah akhbar, baru-baru ini.

Menganggap tulisan itu sebagai biadab, Syafiq berkata, dia tidak menyangka, masih ada media yang sanggup menulis perkara tidak benar tentang Uqasha.

KOSMO!: Sebagai seorang yang rapat dengan Uqasha, apakah pendapat Syafiq mengenai gosip tersebut?

SYAFIQ: Bagi saya, ada sesetengah isu yang tidak perlu dikeluarkan. Sejujurnya, saya benar-benar merasakan ia sebagai sesuatu yang sangat biadab.

Apakah reaksi anda apabila ada sesetengah orang sering mengaitkan Uqasha dengan kontroversi?

Saya jenis yang suka berdiam diri. Jadi, khalayak akan terus menghakimi saya dan Uqasha. Sehinggakan ada penulis gosip sanggup mengaitkan ibu saya dalam hal ini. Menurut gosip itu, ibu saya tidak menyukai Uqasha. Itu tidak benar.

Apakah yang ingin anda katakan kepada penulis ruangan gosip tersebut?

Sebagai seorang selebriti, kami akan sentiasa dihakimi. Jadi, jika ada yang masih ingin berkata buruk tentang kami, teruskan. Asalkan saya tahu apa yang saya buat.

Bagaimanakah pula dengan status hubungan anda dan Uqasha?

Kami masih dalam proses mengenali antara satu dengan lain. Kami tidak merancang apa-apa kerana kami sendiri tidak boleh meneka apa yang akan berlaku pada masa akan datang. Buat masa ini, kami masih berkawan.

Previous Post Next Post