Ziana Zain rotan anak


ZIANA ZAIN masih ada perancangan untuk mengeluarkan single terbaharu dalam masa terdekat.

ZIANA Zain akan kembali mengubat rindu peminat menerusi dua persembahan Diva Malaysia Live, Queen Of The City sempena Minggu Setiausaha yang akan berlangsung pada April depan.

Ibu kepada empat cahaya mata yang dikenali ramai sebagai Ratu Pop Malaysia itu bakal bergandingan dengan Ning Baizura dan Noryn Aziz dalam dua persembahan, masing-masing di Hotel Shangri-La, Kuala Lumpur (9 April) dan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada, Johor Bahru pada 25 April.

Gabungan tiga pemilik vokal tersendiri yang julung-julung kalinya disatukan itu dijangka mencatat detik terindah buat para peminat yang mahu melihat mereka beraksi depan mata. Memeriahkan acara, persembahan tiga tersebut akan menampilkan kemunculan istimewa daripada Ifa Raziah, Sharifah Shahira dan Roslan Shah sebagai pengacara.

Ikuti temu bual Kosmo! bersama Ziana Zain yang ditemui semasa sidang akhbar Diva Malaysia Live, Queen Of The City di Hotel Shangri-La Kuala Lumpur baru-baru ini.



Artis Meletop!: Gabungan Ziana bersama Ning Baizura dan Noryn Aziz dalam persembahan Queen Of The City nanti sesuatu yang jarang dilakukan, bagaimana komen anda?

ZIANA ZAIN: Saya beranggapan konsep persembahan itu sesuatu yang menarik kerana masing-masing mempunyai kelebihan tersendiri contohnya Ning yang terkenal dengan Diva R&B, Noryn pula dengan irama jazz dan soul, manakala saya pula mempunyai kelebihan dalam genre pop.

Bagi saya, persembahan itu merupakan peluang keemasan kepada peminat kerana mereka boleh melihat aksi daripada tiga penyanyi yang mempunyai nama besar dalam tiga genre yang berbeza sekali gus.

Boleh anda ceritakan sedikit sebanyak mengenai bentuk persembahan sempena Minggu Setiausaha itu nanti?

Tidak banyak yang boleh saya perkatakan kerana menghormati pihak pengurusan. Namun, saya membayangkan persembahan itu mungkin banyak dibuat secara medley.

Saya juga ada membuat kaji selidik bagi mengetahui apakah yang peminat inginkan sewaktu majlis itu nanti melalui laman sosial. Banyak maklum balas diterima mengenai lagu yang dimahukan peminat. Mungkin saya akan selitkan beberapa lagu hit sepanjang persembahan nanti.

Bagaimana pula mengenai gelaran diva yang menjadi jolokan kepada anda?

Kalau di luar negara, maksud diva itu lebih membawa maksud negatif kerana kebanyakannya terkenal dengan perangai cerewet, besar kepala dan sebagainya.

Namun dalam konteks dunia hiburan negara ini, saya beranggapan gelaran diva itu merupakan suatu pengiktirafan, dan diberikan kepada mereka yang mempunyai nama besar serta mempunyai kelompok peminat yang ramai.


SELEBRITI yang terlibat dalam Minggu Setiausaha, Diva Malaysia Live, Queen Of The City, (dari kiri) Sharifah Shahira, Ning Baizura, Noryn Aziz, Ziana Zain, Roslan Shah dan Ifa Raziah.

Jadi, bagaimana perasaan dan penerimaan anda apabila menerima gelaran tersebut?

Alhamdulillah, saya bersyukur dengan gelaran yang diberikan. Ia memberi erti yang cukup besar kepada saya dan menunjukkan betapa khalayak menghormati, memahami dan mengiktiraf kerja kami.

Setiap apa yang berlaku ada kelebihan dan keburukannya. Status yang diberikan bukannya sesuatu yang biasa dan saya perlu menjaga gerak laku saya termasuk kata-kata kerana menjadi contoh yang baik kepada peminat.

Bolehkah anda berkongsi sedikit mengenai kehidupan anda ketika ini?

Kehidupan saya bersama keluarga biasa-biasa sahaja. Kalau dahulu, saya agak kelam-kabut menguruskan anak yang berada di Sabak Bernam, namun kini suasana sudah agak senang kerana anak sulung saya, Aiman sudah bersekolah asrama di Shah Alam.

Saya bersyukur melihat anak-anak membesar depan mata. Yang sulung kini sudah berumur 15 tahun, Ammar, 12, manakala anak kembar saya, Muhammad Ariel dan Siti Nour Kaseh juga sudah berusia enam tahun.

Bagaimana pula pendekatan yang digunakan untuk mendidik anak-anak yang kian membesar?

Saya menerapkan apa yang dilakukan oleh ibu bapa sewaktu mendidik kami adik-beradik semasa kecil. Anak-anak sekarang lain, mereka tidak mempunyai karakter yang sama dan pendekatan yang digunakan harus sesuai dengan tingkah laku dan perangai mereka.

Saya juga mengambil pendekatan merotan anak-anak bersesuaian dengan kesalahan mereka. Dalam Islam juga membenarkan ibu bapa merotan anak-anak, namun tindakan itu harus langkah terakhir. Jika memarahi mereka, saya selalu sulamkan dengan kata-kata nasihat. Kena berlembut dan selalu terapkan bahawa merekalah yang akan memohon doa ibu bapa apabila kami telah tiada nanti.

Berbalik kepada karier anda, apakah perkembangan terkini seperti melancarkan single terbaharu atau sebagainya?

Berkenaan single terbaharu, kalau boleh, saya tidak mahu perkara ini dihebohkan. Kalau ada single, saya mahu terus keluarkan sebab tidak mahu membiarkan peminat tertanya-tanya dan tertunggu-tunggu.

Sebenarnya, ada satu single sudah siap dan satu lagi dalam proses pembikinan, jadi kita tengoklah yang mana satu keluar dulu (ketawa).

Previous Post Next Post