Ada apa Juliana Evans-SonaOne?



FEBRUARI lalu, timbul khabar angin mendakwa aktres cantik Juliana Evans bercinta dengan penyanyi hip hop popular, SonaOne.

Tidak menganggap perkara itu sebagai sesuatu yang serius, gadis berdarah kacukan Melayu Inggeris ini mengakui hubungan mereka tidak lebih daripada berkawan semata-mata.

“Sebenarnya kalau diikutkan, saya kenal SonaOne sudah lama tapi kami hanya mengenali menerusi kawan-kawan lain.

“Baru-baru ini kami bertemu semula apabila saya menemani kawan baik saya, Kaka Azraff untuk perbincangan single kolaborasi mereka.

“Kami memang tidak ada hubungan istimewa selain berkawan biasa. Kali terakhir saya berbual dengannya ketika gosip kami keluar awal bulan lalu,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran single terbaharu Kaka Azraff, Bukan Hal Aku, kelmarin.


Menganggap gosip yang tersebar sebagai asam garam kehidupan buat seseorang artis, Juliana bagaimana pun tidak pandang serius mengenai hal itu.

“Bila berita ini keluar, saya dan SonaOne hanya ketawa kerana bagi kami ia sesuatu yang kelakar.

“Bagaimana orang boleh berkata kami bercinta sedangkan kalau keluar pun beramai-ramai dan semuanya melibatkan kerja,” katanya.

Menyedari kehidupan sebagai selebriti sentiasa diperhatikan, Juliana yang kini kembali aktif dalam bidang seni sentiasa beringat supaya tidak terkait dengan mana-mana kontroversi.

“Orang boleh berkata macam-macam walaupun ia tidak benar, jadi saya memang berhati-hati supaya tidak dikaitkan dengan kontroversi.

“Walaupun ketika saya dalam pengajian di Amerika Syarikat, saya selalu beringat untuk tidak melakukan perkara yang bukan-bukan kerana tidak mahu silap langkah.

“Sudah tentu sekembalinya saya dalam industri ini, saya perlu bersedia dan berhati-hati agar nama baik tidak akan terjejas dengan perkara-perkara yang tidak sepatutnya,” jelasnya yang kini lebih fokus menjalani kerjaya seninya.

Previous Post Next Post