Aliran muzik pop Votez



SELAIN single pertama, Mana Dulu, Votez bakal muncul dengan single kedua dan merancang untuk mengeluarkan lagu raya dalam masa terdekat.

Bertunjangkan misi mahu mengulangi era kegemilangan kumpulan vokal harmoni atau boyband, tiga anak muda berbakat muncul mempertaruhkan kehandalan dalam bidang nyanyian menerusi kumpulan baharu yang diberi tanda nama Votez.

Votez yang membawa definisi tiga suara atau sokongan dalam bahasa Perancis hadir memeriahkan kancah dunia glamor dengan membawa inspirasi daripada trio popular, KRU sebagai idola mereka.

“Pada awalnya kami tidak mengenali antara satu sama lain. Namun, selepas terpilih sebagai sebuah kumpulan, kami mula memahami apa itu erti bekerjasama. Dalam industri seni, kami jadikan kumpulan KRU sebagai inspirasi sama ada daripada segi nyanyian ataupun formula mereka kekal berjaya sehingga ke hari ini.

“Sebab itu kami bertiga berani mengambil risiko untuk berdiri sebagai sebuah kumpulan. Meskipun radar industri seni tempatan ada pasang surutnya, tetapi jika kami berdiri dengan strategi yang betul pasti semuanya akan berjalan lancar,” ujar Meeyo selaku ketua kumpulan ceria membuka bicara.

Meeyo, 22, atau nama sebenarnya Amirul Shafiq Sukor, Meer Nash (Muhamad Shahmeer Mohd. Nashrul), 20, dan Joe Bazli (Muhammad Bazli Zakaria), 22, mula dicungkil potensi mereka dalam sebuah sesi uji bakat oleh Pop Art Media Sdn. Bhd. yang dijalankan pada pertengahan tahun lalu. Pop Art kini bertindak sebagai syarikat pengurusan kerjaya mereka.


“Pada asalnya, kumpulan Votez bermula dengan tiga orang iaitu saya, Joe dan seorang lagi rakan kami, Muhd. Yusri Zainal. Mula-mula, kami menggunakan nama VOT (Voice of Three). Namun disebabkan Yusri menghadapi sedikit masalah peribadi, dia terpaksa menarik diri daripada Votez.

“Pihak pengurusan memberi kata dua untuk mencari pengganti. Selama dua hari kami menilai bakat-bakat terbaik dalam saluran YouTube dan akhirnya antara calon yang tersenarai itu, Meer Nash yang paling menyerlah,” cerita Meeyo mengenai sejarah awal penubuhan kumpulannya.

Hadir dengan mempertaruhkan single pertama mereka berjudul Mana Dulu, Votez menampilkan sisi kelainan dalam berkarya apabila mengembalikan era genre berentak retro dan pop. Lagu tersebut mendapat sentuhan daripada komposer Sheeran Paul dan lirik ditulis oleh Intan.

Single tersebut sudah mula dilancarkan di saluran Youtube sejak hujung tahun lalu dan kini sedang rancak diputarkan di beberapa corong-corong radio tempatan. Terbaharu, Votez dalam rangka pelan untuk tampil dengan single kedua mereka berjudul Propa sebelum merancang mengeluarkan lagu raya dalam masa terdekat.

Mengakui terkadang gusar jika kemunculan mereka dibayangi boyband yang ada pada masa kini, Votez tegas menjelaskan, bahawa mereka berpijak atas pendirian dan misi sendiri dalam memperjuangkan karya.

“Bukan mahu mendabik dada, tetapi bagi kami, waktu awal kemunculan merupakan masa yang terbaik untuk meletakkan saingan yang tinggi dalam pasaran dunia hiburan. Sebab itulah, kami mulakan langkah dengan banyak belajar daripada pengalaman artis-artis terdahulu.

“Sebelum melangkah ke dunia hiburan, kami sudah memotivasikan diri sendiri supaya tidak mengambil kira segala perspektif negatif orang ramai terhadap kemunculan kami. Kami tidak tiru sesiapa kerana kami ialah Votez. Konsep, genre lagu dan jalan cerita yang kami bawakan memang berbeza dengan kumpulan-kumpulan lain.

“Lagi pula, semua ahli kumpulan kami boleh menyanyi dan tidak berharap kepada lontaran suara daripada vokalis semata-mata. Untuk menambahkan kelainan dalam kumpulan, badan kami yang keras ini dipaksa untuk berlatih menari kerana mahu menyajikan satu persembahan yang unik kepada peminat di luar sana,” ujar Meeyo ceria.

Meskipun masih hijau dalam dunia hiburan, namun ketiga-tiga anak muda itu sebenarnya punya pengalaman berharga dengan mengaktifkan adrenalin bakat mereka menerusi laman YouTube.

“Sebelum ini kami semua memang aktif dalam saluran YouTube. Meskipun bukan bertaraf profesional, tetapi sedikit sebanyak lagu-lagu nyanyian semula yang dimuat naik dalam Youtube telah memberikan kami sedikit pengalaman berharga untuk dijadikan bekalan ketika menceburkan diri dalam dunia hiburan sebenar.

“Ditambah pula dengan ledakan kelahiran artis baharu pada masa kini membuatkan kami terfikir untuk mencuba sesuatu yang berbeza ketika berkarya. Biar orang kenal jenama Votez yang tidak hanya bersandarkan nyanyian tetapi elemen tarian,” seloroh Meeyo.

Gigih mempromosikan jenama kumpulan dan single Mana Dulu, Votez kini giat menjalankan pelbagai persembahan dalam setiap jelajah yang mereka sertai bermula dengan beberapa buah negeri di Semenanjung Malaysia demi meraih publisiti, antaranya Johor, Negeri Sembilan dan Perak.

Previous Post Next Post