Atikah Suhaime nafi berkawan dengan anak VIP


TEGAS Atikah, dirinya tidak pernah mempunyai sebarang kenalan dalam kalangan VIP apatah lagi menjalin hubungan istimewa dengan mereka.

UMUM sedia maklum, pelakon wanita baharu yang mula meningkat naik namanya dalam radar industri hiburan tanah air, Atikah Suhaime pernah mengaku rapat dengan seorang lelaki yang dilaporkan bekerja sebagai juruterbang. Sementelah gambar mesra mereka juga sempat tersebar di internet.

Namun, meskipun telahan tersebut mengandaikan Atikah, 24, sudah pun dimiliki, tiba-tiba nama pelakon kelahiran Singapura itu dikaitkan pula dengan berita kurang menyenangkan apabila didakwa sedang diintai seorang lelaki yang merupakan anak orang kenamaan (VIP).

Dalam ruangan pojok sebuah akhbar hujung minggu lalu, nama pelakon drama Bila Hati Berbicara itu menjadi bualan.

Antara isi laporan tersebut menyebut tentang isu kelibat anak VIP tersebut yang sanggup menemaninya sehingga ke lokasi penggambaran.

Tenang dan polos menepis segala dakwaan ‘nakal’ seumpama itu, Atikah menegaskan bahawa dirinya tidak pernah mempunyai kenalan dalam kalangan VIP apatah lagi mempunyai hubungan istimewa.

Ikuti temu bual daripada Kosmo! yang menghubungi pemilik nama Nurul Atikah Mohd. Suhaime baru-baru ini bagi mendapatkan penjelasan mengenai gosip tersebut.


Artis Meletop!: Baru-baru ini, nama Atikah dikaitkan dengan gosip kononnya anda sedang diintai seorang lelaki yang merupakan anak orang kenamaan (VIP). Boleh anda jelaskan mengenai cerita itu?

Atikah Suhaime: (Terdiam kemudian ketawa kecil) Maaf, tetapi saya tidak tahu apa-apa mengenai berita ini. Saya tidak tahu siapa yang dimaksudkan dalam berita tersebut namun apa yang pasti, bukan saya. Mungkin mereka tersilap orang atau tersalah pandang. Tiba-tiba sahaja saya dapat panggilan daripada anda yang bertanya tentang kesahihan cerita tersebut. Untuk pengetahuan semua, selama ini saya tidak pernah berkawan rapat dengan mana-mana lelaki atau anak orang berada seperti yang didakwa. Kebanyakan rakan-rakan saya dalam kalangan orang biasa.

Jadi anda menafikan dakwaan itu? Kalau anda menafikan, bagaimana pula boleh timbul kenyataan yang mengatakan lelaki tersebut sanggup menemani anda sehingga ke lokasi penggambaran?

Ya, memang saya menafikan sebab memang tidak pernah ada berkawan dengan mana-mana lelaki seperti itu apatah lagi mahu membawanya ke set penggambaran.

Saya juga tidak tahu siapa lelaki yang dikaitkan itu dan bagaimana cerita ini boleh tersebar, jadi bagaimana saya mahu komen dengan lebih lanjut. Sepanjang bergelar pelakon, saya tidak pernah membawa mana-mana rakan ke lokasi. Setiap kali mahu ke set penggambaran, saya akan menggunakan khidmat kru produksi yang mengambil dan menghantar saya pulang kerana tidak pandai memandu. Jadi, apabila isu ini timbul sedikit sebanyak membuatkan saya hairan sebab selama ini memang tidak pernah bawa orang luar untuk menemani sehingga ke lokasi penggambaran.


ATIKAH mengaku berkawan rapat dengan lelaki di sebelahnya ini. Bagaimanapun mereka belum memikirkan soal perkahwinan.

Gosip tersebut turut mendakwa ketika lelaki tersebut menemani anda di lokasi penggambaran, ia membuatkan kerja-kerja kru produksi sedikit terganggu. Komen?

Mana ada. Macam yang saya katakan tadi, semuanya tidak benar. Jangan mereka cerita yang tidak betul sekiranya tidak pasti orang yang dikatakan tersebut adalah saya atau orang lain.

Jadi, bagaimana pula dengan hubungan anda bersama teman istimewa apabila isu ini timbul?

Saya pun terkejut dengan berita tidak masuk akal begini. Jadi rasanya ia tidak akan memberi apa-apa impak kepada kami. Pada pandangan saya, isu kecil sebegini tidak perlu difikirkan sangat. Selagi ia tidak mengganggu kerja dan hidup saya, itu sudah cukup.

Mengenai hubungan dengan teman istimewa itu, biarlah saya terangkan bahawa hubungan kami masih lagi belum mencapai tahap yang serius. Kami berdua memang berkawan dan dalam masa yang sama masih mengenali hati budi masing-masing. Namun tidak ke arah seperti pasangan yang sedang bercinta. Saya juga tidak berani untuk bercakap banyak mengenai hal ini kerana ia melibatkan dua pihak. Masing-masing sedang fokus terhadap kerjaya. Soal cinta biarlah tolak ke tepi dahulu kerana saya masih muda. Masih banyak yang perlu dipelajari dalam hidup ini, lagi pula usia kerjaya saya juga masih hijau dalam industri.

Baiklah. Boleh kongsikan mengenai perkembangan terkini karier anda?

Sekarang saya sibuk menjalani sesi penggambaran drama berjudul Puteri Gunung Ledang sebanyak 30 episod untuk saluran online, HyppTV. Selain itu, tidak lama lagi saya juga bakal dilantik menjadi duta untuk produk kecantikan namun buat masa sekarang masih belum dapat dikongsikan mengenai pelantikan tersebut memandangkan ia masih pada peringkat awal.

Previous Post Next Post