Cantik & sihat cara Reen Rahim



KECANTIKAN dan kesihatan adalah satu perkara yang subjektif untuk diulas. Ada sesetengah pihak berpendapat, kecantikan sangat berkait rapat dengan kesihatan dalam seseorang itu.

Ada sesetengah wanita amat mementingkan penjagaan kecantikan dan kesihatan dari usia muda lagi dan ada pula yang mula mengetepikan penjagaan tatkala usia meningkat.

Namun bagi Juara Pilih Kasih musim ketiga, Reen Rahim atau nama sebenarnya nama sebenar Noreen Ashikin Abdul Rahim, 27, penjagaan kecantikan dan kesihatan setiap wanita harus bermula dari usia muda dan perlu kekal biarpun usia semakin meningkat.

Justeru bagi mengekalkan kecantikan dan kesihatan, ujar Reen, dia sentiasa memastikan berat badannya tidak melebihi 50 kilogram (kg).

Mari kita ikuti rahsia Reen mengawal berat badan dan menjaga kecantikan kulit.


Apa pendapat anda mengenai kecantikan dan kesihatan?

Bagi Reen, sihat dan cantik adalah bagaimana kita menjaga kesihatan dalaman kita. Apabila kita sihat dan cergas, secara tidak langsung, kulit kita akan nampak cantik dan kita juga akan nampak cantik.

Bagaimana pula cara anda menjaga kecergasan badan?

Reen jarang ada masa untuk ke gimnasium kerana lebih suka menghabiskan masa bersama keluarga. Jadi apabila di rumah, Reen selalu bermain lompat tali (skipping) untuk menjaga stamina. Ada ketikanya, Reen akan turun naik tangga atau buat apa-apa aktiviti di rumah asalkan yang dapat mengeluarkan peluh. Kalau ada teman, baru Reen akan keluar berjoging sekitar kawasan rumah.

Selain senaman, adakah anda amalkan diet?

Tidak secara ketat, kerana Reen seorang yang suka makan. Tapi Reen tidak suka makanan manis. Bagaimanapun Reen akan pastikan pengambilan makanan seimbang. Selain itu, katakanlah minggu ini Reen banyak makan, Reen akan kurangkan makan minggu hadapan.

Sejak kebelakangan ini, anda kelihatan semakin cantik dan berseri-seri. Boleh kongsi rahsianya?

Untuk pengetahuan semua, Reen sebenarnya cepat rasa khuatir, terutamanya mengenai bentuk badan. Jadi Reen akan pastikan berat Reen tidak melebihi 50kg. Selain itu, Reen ada mengambil suplemen dan penjagaan harian biasa untuk kulit muka.

Adakan anda percaya pada suntikan wajah? Pernah mengambilnya?

Secara jujur, Reen pernah mengambil suntikan vitamin pada wajah, tapi Reen pastikan ia halal dan selamat. Tapi oleh kerana Reen jenis takut dengan jarum suntikan, jadi agak jarang Reen mengambil suntikan vitamin. Sekarang Reen lebih suka ambil suplemen dan lebih memilih mengamalkan pengambilan suplemen dari suntikan.

Namun ia bukan bermakna Reen percaya pada suntikan botox dan Reen memang minta dijauhkan untuk mengambil suntikan yang akan mengubah wajah asal kita.

Adakah anda selalu mengunjungi spa dan salon?

Ya, boleh dikatakan Reen selalu mengunjungi spa, salon dan pusat rawatan kecantikan untuk kuku kaki dan tangan. Malah Reen tak kisah untuk habiskan masa satu hari untuk manjakan diri. Biasanya Reen akan bermula membuat rawatan kuku kaki dan tangan, kemudian ke spa. Selepas itu luangkan lagi masa di salon untuk rambut.

Jadi berapa yang anda dihabiskan sebulan untuk penjagaan diri?

Alamak, berapa jumlah itu rahsia (ketawa). Tapi pada Reen mudah, kalau kita ada bajet yang kecil, kita pergi sahajalah ke spa yang murah. Janganlah berangan untuk mendapatkan khidmat spa, salon di hotel atau di pusat membeli-belah seperti di Pavilion.

Macam Reen, rumah dekat dengan Ampang Point, jadi Reen suka ke sana kerana ketiga-tiga tempat berada dalam satu pusat membeli-belah.

Bagaimana pula cara anda tangani stres?

Reen bukan seorang yang suka membiarkan masalah membelenggu diri dan pilih untuk tidur, makan atau berjalan dalam menyelesaikan masalah atau stres. Biasanya Reen akan selesaikan punca stres dan tangani stres dengan cara yang betul.

Apa perkembangan anda kini?

Saya akan memasuki set penggambaran filem Rempit Sampai Langit dan baru sahaja selesai menjalani dua penggambaran drama iaitu Pergilah Air Mata dan Imam Muda Dari Cairo. Manakala drama lakonan Reen yang sedang ditayangkan kini adalah Terlanjur Mencintaimu di RTM1, setiap Ahad jam 7 malam.

Previous Post Next Post