Fiza Halim kongsi luahan



PELAKON Fiza Halim atau nama sebenarnya, Siti Zaidatul Fiza Abd Halim terkejut apabila dikatakan sudah berhenti berlakon sejak tampil berhijab, hampir dua tahun lalu.

Ekoran itu, bekas anggota kumpulan Elite ini mengakui tawaran berlakon yang diterimanya daripada syarikat produksi sangat perlahan.

"Selepas saya bertudung, ramai yang ingat saya memang dah tak nak berlakon. Padahal, saya tak pernah pun mengisytiharkan yang saya dah pun berhenti berlakon.

"Tanggapan orang itu benar-benar salah. Sebelum itu, memang saya agak sepi sekejap kerana menjaga ayah yang sakit. Hampir separuh tahun, saya menjaganya sehinggalah ayah menghembuskan nafasnya yang terakhir.

"Jadi, saya mengharapkan di tahun 2015 ini, tawaran berlakon akan kembali rancak semula. Lakonan adalah jiwa saya. Lagipun, kini duit bukanlah menjadi keutamaannya, saya lebih rindu dengan suasana penggambaran itu sendiri di samping dapat bertemu rakan-rakan yang lain," katanya kepada Zass.


Ketika ditanya adakah dia memilih watak ekoran penampilannya kini yang berhijab, Fiza memberitahu, dia bukanlah jenis memilih watak tetapi masalah utamanya adalah kesesuaian karakter yang ditawarkan.

Ini kerana, pelakon berusia 34 tahun ini masih lagi kelihatan muda biarpun memegang gelaran ibu kepada dua anak.

"Ramai penerbit serba salah apabila menawarkan saya berlakon.

"Mereka (penerbit) tak tahu nak bagi watak apa, sama ada watak emak, kakak mahupun makcik semuanya serba tak kena.

"Kesannya, ia jadi agak susah dan watak saya terhad. Tapi, saya faham itu semua adalah rezeki ALLAH SWT," katanya yang tidak kisah ditawarkan dengan watak antagonis lagi.

Dalam perkembangan lain, Fiza bakal bergandingan dengan suaminya yang juga penyanyi dan pelakon, Adam menerusi telefilem Penjaga Hati yang bakal bersiaran di TV AlHijrah melalui slot Tele Jumaat pada 10 April depan.

Kata Fiza, telefilem ini adalah yang pertama gandingannya bersama-sama suaminya sejak bernikah pada September 2013.

"Kerana pasangannya adalah suami sendiri, jadi karakter suami-isteri itu senang dibawa.

"Lagi pula, terdapat banyak adegan yang memerlukan kami saling bersentuhan di antara satu sama lain," katanya yang sudah bersedia untuk menimang zuriat lagi.

Previous Post Next Post