Jamal takut sumbang beraksi di DFP


KONSERT The MPO With Jamal Abdillah akan menyaksikan Jamal beraksi selama dua jam dengan untaian lagu malar segar miliknya.

Setelah melewati 30 tahun berkecimpung dalam dunia seni, Raja Pop, Datuk Jamal Abdillah akhirnya menemui satu pelengkap perjalanannya sebagai seorang penyanyi tersohor negara.

Kolaborasi bersama Orkestra Filharmonik Malaysia (MPO) di Dewan Filharmonik Petronas (DFP) pada 28 dan 29 Mac depan disifatkan menjadi salah satu kemuncak karier beliau sebagai penghibur ternama.

Menjadi penyanyi Melayu kelima yang diberi penghormatan melakukan persembahan solo di DFP, Jamal berjanji akan memberikan satu pengalaman konsert yang akan memukau peminatnya.

Sewaktu ditanya mengenai perasaan beliau mengenai sejarah yang bakal diciptanya itu, Jamal mengakui mengadakan konsert solo di DFP merupakan impiannya sebagai seorang penggiat seni.


“Bukan calang-calang orang yang dijemput untuk membuat persembahan di pentas berprestij seperti DFP dengan iringan alunan muzik MPO.

“Walaupun pernah melakukan konsert seperti ini di Istana Budaya, suasana di DFP mempunyai satu kelainan kerana hanya mereka yang terpilih sahaja diberi peluang keemasan begini.

“Berbeza dengan konsert-konsert sebelum ini, buat pertama kali saya akan menyanyi tanpa iringan drum dan diganti alunan string yang menambahkan tahap kesukaran untuk membaca tempo dengan tepat,” jelas Jamal mengenai Konsert The MPO With Jamal Abdillah.

Menyebut tentang konsert tersebut pula, Jamal, 55, mengakui perasaan ngeri timbul untuk membuat persembahan bersama MPO kerana hanya dengan satu kesilapan tempo yang kecil bakal mengucar-kacirkan seluruh nyanyian.

Ujarnya, orkestra filharmonik berbeza dengan orkestra biasa. Setiap sudut muzik ada jarak serta bunyi tersendiri dan sebagai penyanyi, beliau perlu memastikan nyanyiannya beralun serentak seperti yang telah ditetapkan.

“Walaupun kelihatan sangat kompleks dan terperinci tapi itulah keistimewaan MPO. Bukan semua artis atau penyanyi yang boleh memikul tanggungjawab ini dengan sempurna.

“Oleh kerana itu, saya berasa bangga dan terharu kerana diberikan amanah oleh DFP untuk membuat kolaborasi bersama MPO. Namun kepayahan ini bukan alasan untuk saya tidak membalas kepercayaan yang diberikan dengan sebuah persembahan yang mantap,” tuturnya penuh teruja.


DATUK Jamal Abdillah menjadi penghibur kelima selepas Tan Sri SM Salim, Datuk Sheila Majid, Datuk M.Nasir dan Datuk Siti Nurhaliza diberi pernghormatan bekerjasama dengan MPO di Dewan Filharmonik Petronas.

Berbicara tentang lagu-lagu yang bakal dipersembahkan sepanjang dua jam untuk dua hari persembahan, penyanyi itu akan merangkumkan susunan lagu menjadi untaian cerita kisah hidupnya.

Menyifatkan dirinya sebagai seorang individu yang tidak petah berkata-kata, Jamal menjadikan sususan lagu pilihannya sebagai peranan untuk menghiburkan khalayak. Sudah disusun beberapa hit malar segarnya seperti Penghujung Rindu, Di Sudut Kamar Hatiku serta Kekasih Awal Dan Akhir yang akan digubah menjadi muzik simfoni.

Beberapa lagu lain pula dipilih menjadi medley selain Jamal akan mengalunkan lagu-lagu milik seniman Allahyarham P. Ramlee sebagai bonus.

“Pada konsert itu juga, saya akan mendendangkan beberapa buah lagu daripada album lama yang tidak pernah dinyanyikan seperti Bicara Cinta dan Hatiku Luka Kembali,” ujarnya.

Mengakui persediaan yang dilakukan untuk konsert tersebut berbeza dengan konsert-konsert sebelum ini kerana cabaran yang berbeza katanya, kekangan yang perlu diperbaiki ialah menyesuaikan tempo nyanyian dengan pergerakan muzik.

Sebarang kesilapan di atas pentas akan dapat dikesan, justeru katanya, beliau perlu berhati-hati supaya tidak masuk ke bahagian nyanyian terlalu awal atau terlalu lambat. Jika perkara itu berlaku, susunan muzik jadi tidak serasi dan kedengaran sumbang.

“Sejak awal tahun ini, fokus saya memang tertumpu pada persembahan bersama MPO. Saya tidak mengambil tawaran persembahan yang padat supaya masa terluang boleh ditumpukan untuk menyiapkan diri secara fizikal dan mental. Saya harap semua akan berjalan lancar nanti,” ujarnya yang bakal tampil dengan single terbaharu.

Tiket-tiket bagi menyaksikan The MPO With Jamal Abdillah boleh dibeli menerusi laman web rasmi MPO iaitu mpo.com.my atau hubungi talian 03 2331 7007 dengan harga bermula RM180 sehingga RM480.

Previous Post Next Post