Jenama baharu Cat Farish


CAT FARISH bakal menjayakan Propaganda Fest yang akan berlangsung pada 4 dan 5 April ini.

MULA terasa sukar untuk menguruskan kerjaya seni sendirian dan selalu ditipu akibat terlalu percayakan kawan-kawan, Cat Farish, 40, mengambil keputusan bernaung di bawah syarikat pengurusan Paranormal Talent milik kenalan lamanya, Melaka Boy.

Sebelum ini, Cat yang memiliki syarikat, Godzilla Boombox, menguruskan segala operasi syarikat termasuklah penciptaan lagu, penerbitan album, promosi dan pengedaran album artis bawah labelnya

“Disebabkan itu, ada kerja yang tergendala kerana terpaksa menunggu kelapangan masa dan sibuk mencari bajet. Kerana terlalu percayakan kawan-kawan juga, saya kena tipu ketika menandatangani kontrak dan banyak hal yang menyulitkan.

“Saya mahu buat sendiri semua perkara kerana tidak percayakan orang lain menguruskan kerjaya saya, tetapi akhirnya membebankan diri sendiri. Sekarang saya masih mencipta lagu dan menerbitkan album, tetapi promosi serta pengedaran album di bawah tanggungjawab Paranormal Talent.

“Selain kumpulan Tiga Swagger, ada lagi beberapa artis baharu di bawah Godzilla Boombox, tetapi dengan keadaan pasaran album yang masih tidak memberangsangkan, saya ‘simpan’ dulu mereka,” katanya.


Dalam perkembangan lain, selepas lima tahun tanpa produk baharu, tahun ini, Cat bakal tampil dengan tiga buah lagu iaitu Kicik Kicik nyanyian bersama Mia Sara dan Tiga Swagger, Mahu (Cat, Ronnie Hyperact & Tiga Swagger) dan Sayang Pulanglah Sayang (Cat, Elizabeth Tan & Tiga Swagger).

Menurut Cat, dia mempunyai banyak lagu yang dinyanyikan dengan ramai artis undangan. Cat juga bercadang melakukan projek khas dengan kumpulan Ruffedge dan berganding bahu dengan Pekin Ibrahim untuk sebuah projek filem.

“Saya merancang membuat penjenamaan terhadap Ruffedge, namun saya kena berbincang dengan semua anggota. Semua projek terbaru Godzilla Boombox akan saya umumkan pada satu majlis nanti,” katanya.

Pada masa yang sama, Cat kini dalam proses penjenamaan semula kariernya sebagai artis solo kerana selama ini dikaitkan dengan Fabolous Cat. Dia juga mahu aktif semula berlakon filem.

Sementara itu pada 4 dan 5 April ini, Cat bakal menjayakan program pesta jualan Propanda Fest 5.0 anjuran syarikat Propanda Fest milik usahawan muda, Ashraf Amir. Edisi kelima acara itu akan diadakan di Restoran Rasta, Taman Tun Dr. Ismail iaitu lokasi mula-mula Propaganda Fest dimulakan pada 2012. Acara jualan dua hari itu bermula dari pukul 10 pagi hingga 7 malam.

Menurut Ashraf, Propanda Fest kali ini kembali mengumpul peniaga-peniaga yang pernah menyertai Propaganda Fest edisi terdahulu.

“Ia ibarat reunion apabila pihak penganjur dan peniaga berhimpun semula di Rasta. Sebanyak 70 vendor mengambil bahagian pada pesta jualan nanti,” Ashraf.

Antara jenama yang akan memeriahkan pesta jualan tersebut ialah Mumu Scarves, Fashion Republic KL, The Geroboc, All About Casing, The BLB Store, Dewi Diari, Marv, Kaleerful dan Neddy Blossom. Selain Cat, artis-artis yang akan tampil berniaga dan menghiburkan pengunjung pesta itu ialah Sheira Ayoub, Zahiril Hadzim, Epul Drama Band, Adzrin Adzhar dan Tiga Swagger.

Previous Post Next Post