Judika, Cakra, Marcell hiburkan setiausaha



SABAN tahun, sambutan Minggu Setiausaha merupakan acara yang paling dinantikan umum. Selain meraikan tanggungjawab setiausaha secara tahunan, sambutan yang biasanya dianjurkan oleh hotel-hotel ternama di ibu kota turut menampilkan persembahan daripada artis-artis ternama.

Bersempena dengan kedatangan Minggu Setiausaha pada 1 April depan, Hotel Istana, Kuala Lumpur dengan kerjasama perunding majlis, Billbora bakal mengadakan majlis makan tengah hari dan persembahan yang diberi nama Mutiara Hatiku Rafflesia. Menariknya, persembahan itu akan menyaksikan penyatuan tiga penyanyi popular dari Indonesia iaitu Judika, Cakra Khan dan Marcell.

Menurut Billbora, pemilihan ketiga-tiga penyanyi itu dibuat berdasarkan kredibiliti dan pengaruh kuat mereka sebagai pemilik vokal handalan.

Pada majlis tersebut, setiausaha yang diraikan bakal dihiburkan dengan rangkaian lagu-lagu hits penyanyi-penyanyi berkenaan.


“Pihak kami bersepakat memilih Judika, Cakra Khan dan Marcell kerana populariti mereka di sini.

“Kebanyakan lagu mereka sangat popular dan mendapat sambutan yang sangat menggalakkan daripada peminat,” katanya pada sidang akhbar yang berlangsung di ibu negara baru-baru ini.

Selain dihiburkan dengan trio dari seberang itu, pelbagai aktiviti menarik bakal diadakan sepanjang majlis.

Menariknya, aktiviti tersebut turut melibatkan selebriti popular tanah air, antaranya Kamal Adli, Hisyam Hamid dan Syarul Ridzwan.

Majlis makan tengah hari itu bakal dikendalikan oleh pelakon Fathia Latiff.

Sementara itu, Perunding Komunikasi pemasaran Hotel Istana, Hasma Ahmad berkata, selain menikmati dan berinteraksi bersama artis secara langsung, tetamu yang hadir juga dihidangkan dengan pelbagai juadah istimewa.

“Tetamu yang diraikan bakal merasai sensasi luar biasa daripada menu menarik kami.

“Antaranya ialah daging panggang dan udang pedas yang akan dihidangkan bersama nasi beriani istimewa,” katanya.

Bagi yang berminat untuk menyaksikan persembahan Judika, Cakra Khan dan Marcell sambil menikmati sajian makan tengah hari istimewa, tiket-tiket berharga RM300 hingga RM1000 boleh didapati menerusi talian 03-2141 9988 sambungan 3670.

Previous Post Next Post