Lana Nordin serik dengan lelaki Melayu?



KISAH cintanya sebelum ini bersama pelakon terkenal, Johan As'ari, menimbulkan kontroversi hebat apabila ia hanya bertahan sebulan selepas hubungan itu kecundang di tengah jalan.

Tidak menganggap ianya sebagai penamat untuk menikmati cinta lagi, hubungan mesra Lana Nodin atau nama sebenarnya, Mazlina Hadan Nodin, 36, bersama bekas atlet bola tampar Amerika Syarikat (AS), mula dihidu apabila foto-foto mereka mula bertebaran.

Apatah lagi, menerusi sidang media yang diadakan pada Rabu lalu, Lana memilih tanggal 15 Mei 2015, untuk disatukan bersama David McKienzie atau nama Islamnya, Daud McKienzie.

Bakal melangsungkan perkahwinan kurang dua bulan lagi, Lana turut menepis dakwaan kononnya dia sudah serik bercinta dengan lelaki Melayu sehingga memilih pemuda Inggeris sebagai pasangan hidup.

"Tidak pernah timbul isu serik dengan lelaki Melayu kerana ia adalah soal jodoh. Saya sendiri tak tahu bila dan siapa jodoh saya. Semuanya adalah ketentuan dari-Nya.

"Saya juga tidak pernah meletakkan apa-apa syarat kepada lelaki yang ingin berkawan dengan saya sebelum ini. Begitu juga dengan bakal suami," katanya ketika ditemui pada sidang media yang berlangsung di Hotel Istana, minggu lalu.


Tambah Lana, walaupun David berasal dari luar negara, namun cara hidup bakal suaminya itu tidak terlalu kebaratan.

"Saya mula mengenali David ketika berada di Singapura pada 26 Oktober tahun lalu. Ketika itu, ada majlis yang mengumpulkan atlet di seluruh dunia dan bermula daripada situ kami mula berkenalan secara rapat.

"Sepanjang mengenali David, saya selesa dengan sikapnya apatah lagi dia amat mementingkan kesihatan dan tidak merokok. Setahu saya, lelaki 'mat saleh' suka berparti, minum dan merokok.

"Malah, selera dia juga lebih kepada makanan Asia dan suka makan nasi kandar. Mungkin kerana ibu dia orang Filipina dan memiliki darah serta ciri-ciri orang Asia," kata pelakon yang menerima jolokan Pamela Anderson Malaysia ini.

Terima lamaran di New York

Bercerita mengenai persetujuan David untuk memeluk Islam, Lana memberitahu bahawa bakal suaminya itu terlebih dahulu mempelajari agama Islam sebelum membuat keputusan tersebut.

Malah, Lana akui terkejut kerana David mengetahui serba sedikit mengenai Islam dan cara hidup masyarakat kita.

"Sepanjang mengenali David, saya banyak menguji dia. Apabila saya tanya Islam itu apa, dia tahu. Malah, dia juga boleh membaca Al-Fatihah dengan lancar.

"Pemilihan nama Daud juga adalah daripada dia sendiri. Saya sendiri tak tahu Daud itu nama Islam kepada David. Sebelum ini dia pernah menetap di Abu Dhabi dan ada kenalan Melayu. Apa yang membuatkan saya terharu, dia nekad untuk memeluk Islam.

"Sikapnya yang membuatkan saya tertarik adalah David seorang lelaki yang berani, jujur namun lurus bendul," katanya yang mengakui menerima lamaran daripada David ketika berada di New York pada Januari lalu.

Akui Lana, dia dan David tidak merancang untuk bertunang kerana faktor usia dan juga kekangan masa yang ada.

"Sebenarnya, ibu saya selalu bising dan bertanya bila mahu kahwin. Melihat kepada faktor usia dan kekangan masa, saya dan David mempercepatkan tarikh kahwin.

"Kami memilih Mei kerana pada bulan Jun nanti, kami akan berangkat ke AS atas urusan kerja. Walaupun masa yang ada itu amat mencemburui kami, namun saya berharap agar ianya berjalan dengan lancar.

"Untuk karier seni pula, saya mungkin akan terus berlakon, namun keutamaan itu lebih kepada suami kerana saya perlu mengikutnya selepas ini," katanya yang mengakui pada awalnya tidak memberitahu kerjaya seninya kepada David.

Bertanya kepada David pula, dia berharap agar perkahwinan bersama wanita pilihannya itu berkekalan dan dikurniakan cahaya mata.

"Kalau boleh, saya nak anak paling kurang dua orang," katanya sambil tersenyum.

Previous Post Next Post