Nana Mahazan kini penulis



WALAUPUN hanya dijual melalui dalam talian termasuk di laman Instagramnya, bekas penyampai radio Era FM, Nana Mahazan tidak menyangka buku nukilan pertamanya, Life's A Na..Na..Na.. mendapat sambutan yang sangat menggalakkan.

Malah, kata Nana, sebanyak 1000 cetakan pertama berjaya dijual dalam tempoh tiga minggu, sejak dilancarkan pada hujung Januari lalu.

Sehubungan itu, sebagai usaha mencetak semula bukunya itu, bintang Akademi Fantasia musim pertama ini berhasrat untuk menjalinkan kerjasama dengan Kumpulan Media Karangkraf (Karangkraf) supaya ia dapat dijual secara menyeluruh.

"Saya berminat untuk bekerjasama dengan Karangkraf. Tambahan pula, ramai yang mahukan buku tersebut malangnya ia telah habis.

"Saya ada berbincang dengan Karangkraf. Insya-ALLAH jalinan kerjasama itu akan dibuat dalam tahun ini juga.

"Cuma, buat masa ini saya sedikit sibuk menguruskan keluarga dan anak-anak," katanya kepada Zass ketika ditemui di pelancaran Dettol Healthy Fresh Body Wash, baru-baru ini.


Menjelaskan lebih lanjut, Nana memberitahu, bukunya itu lebih kepada perkongsian dari hati ke hati khas buat peminat terutamanya mengenai fasa kehidupannya selepas mendirikan rumah tangga dengan Mohamed Raqeem Brian Abdullah sehingga kini yang sudah punya dua anak, Althea dan Aaqib.

"Selama ini ramai yang selalu bertanyakan bagaimana saya berpantang, melalui fasa hamil, bagaimana nak kurus selepas melahirkan anak dan macam-macam lagi persoalan mengenai ilmu keibuan, jadi kenapa tidak saya merangkumkan saja dalam sebuah penulisan. Maka terhasillah projek buku ini.

"Bahasa yang saya guna dalam buku ini juga senang difahami. Tak ada bunga-bunga… macam cakap seharian. Ia lebih dekat dengan siapa saja yang membacanya. Malah, ada yang sudah membeli serta membacanya mengakui apa yang ditulis seolah-olah saya membebel di tepi telinga mereka," katanya yang teringin mempunyai lapan anak.

Pemilik nama penuh Nurul Hana Che Mahazan ini memberitahu, buku ini dihasilkan bukanlah berpaksikan kepada keuntungan semata-mata.

"Ia lebih kepada memberi sedikit input serta pengalaman saya kepada mereka yang bakal bergelar isteri dan ibu.

"Malah, sebahagian kutipan jualan buku ini saya salurkan kepada badan yang memerlukan. Jadi sambil membeli, kita sama-sama beramal.

"Ia satu kepuasan kepada saya kerana dapat memberi manfaat dan berkongsi apa yang ada dengan yang lain," katanya.

Dalam perkembangan lain, Nana kini menjadi jurucakap kepada kempen Dettol Healthy Fresh Body Wash.

"Kami sekeluarga sangat sukakan dengan aktiviti luar demi mengamalkan gaya hidup yang aktif.

"Saya sememangnya sentiasa menggalakkan anak-anak keluar bermain daripada terperap di rumah dengan pelbagai gajet.

"Jadi, saya akan memastikan keluarga saya sentiasa dilindungi dan berbau harum ," katanya.

Previous Post Next Post