Nelydia Senrose kunci mulut soal kahwin



HUBUNGAN cinta Nelydia dan Qi sering mendapat perhatian peminat memandangkan Qi kini sudah berusia 40 tahun.

kisah cinta pasangan sensasi pelakon Nelydia Senrose dan Qi Razali bagai tiada penghujungnya walaupun sudah hampir tiga tahun menyulam kasih. Sepanjang tempoh tersebut, mereka itu masih tidak menunjukkan tanda-tanda bakal meng­akhiri hubungan dengan ikatan yang sah.

Terkini, Nelydia, 21, menjadi buruan media apabi­la terdapat khabar angin mengatakan dia dan Qi, 38, bakal mengikat tali pertunangan dalam tempoh terdekat.

Selain itu, desas-desus bahawa Qi akan menghantar rombongan peminangan terhadapnya turut memberi tekanan kepada anak kelahiran Kota Bharu, Kelantan itu. Menafikan khabar angin tersebut, Nelydia menyifatkan perkhabaran itu tidak lebih sebagai gosip dan sekadar asam garam dunia hiburan.

Kepada Artis Meletop!, heroin drama Setitis Kasih Dharmia itu bercakap tentang kisah cintanya dengan Qi yang belum berganjak fasa.

Ditemui pada majlis Drama Festival Kuala Lumpur, pemenang kategori Hero & Heroin Pilihan di samping Sharnaaz Ahmad itu berkata, biarpun berjarak usia 17 tahun dan belum disatukan dengan ikatan pertunangan, dia tetap optimis bahawa hubungan itu tetap mampu dipertahankan.



Artis Meletop!: Hubungan cinta Nelydia dan Qi sering menjadi tumpuan peminat dan disifatkan sebagai pasangan romantis. Baru-baru ini terdapat ura-ura mengata­kan Qi bakal menghantar rombongan me­minang dalam tempoh waktu terdekat. Sejauh manakah kebenaran cerita tersebut?

NELYDIA: Cerita itu sama sekali tidak benar kerana sehingga ke saat ini, saya masih tidak mendapat sebarang kepastian berkaitan hal tersebut. Seharusnya, hal itu diajukan kepada Qi sendiri memandangkan saya berada di sebelah pi­hak perempuan. Bagi saya, lebih baik berdiam diri daripada banyak bersuara.

Memandangkan persoalan itu sering ditimbulkan, adakah anda tidak mem­punyai sebarang perancangan untuk mendirikan rumah tangga bersama Qi kerana usianya menghampiri 40 tahun?

Semua itu bergantung kepada takdir. Seperti yang saya katakan, perkara ini agak sensitif sekiranya sering dibangkitkan daripada pihak saya. Sebagai perempuan, rasanya isu perkahwinan wajar ditanyakan kepada pihak lelaki selain dipandang tidak manis oleh masyarakat jika saya terus bersuara.

Adakah keluarga anda berasa terkesan dengan perkhabaran ini termasuk memberi desakan agar kalian berdua melangsungkan perkahwinan secepat mungkin?

Persoalan sama ada keluarga ada memberi desakan itu tidak timbul kerana mereka sangat memahami. Kedua orang tua saya tidak pernah mendesak mahupun berasa tertekan dengan keadaan sekarang. Bahkan seluruh ahli keluarga turut memberi sokongan kepada saya sepanjang berdepan isu ini.

Sekiranya benar anda akan berkahwin dalam tempoh terdekat, adakah anda te­lah bersedia untuk menggalas tanggungjawab sebagai isteri?

Jika perkara itu menjadi kenyataan pada waktu terdekat ini, saya memang berasa amat terkejut dan tidak bersedia. Sekiranya perkara itu dirancang lebih awal, saya pasti akan melakukan persiapan untuk menjadi isteri yang solehah.

Melihat kepada perubahan kakak an­da, Uqasha Senrose yang telah mula berhijab sejak akhir tahun lalu, tidak timbulkah perasaan untuk mengikut jejak langkah­nya juga?

Saya berasa gembira melihat perubahan dia (Uqasha). Sudah pasti perasaan untuk berhijab itu ada tetapi berilah saya ruang. Insya-Allah perkara yang baik sebegitu akan tiba pada waktu yang tepat.

Beralih kepada soal kerjaya, bagaima­na­kah perkembangan kerjaya lakonan dan apakah perkara lain yang dilakukan selain daripada aktiviti seni?

Dalam tempoh empat bulan ini, jadual kerja saya memang padat. Namun, setiap kali ada masa, saya pasti akan ke gim untuk melakukan senaman. Tidak lama lagi, saya akan memulakan semula sambungan penggambaran drama bersiri Strawberry Karipap. Kali ini produksi memilih Hong Kong dan Australia sebagai lokasi penggambaran.

Selain itu, saya sibuk mengendalikan perniagaan produk kecantikan berasaskan kolagen Secret Of Senrose yang kini tampil dengan produk baharu iaitu kanta lekap.

Previous Post Next Post