Nora Danish tetap kongsi gambar di Instagram



MENDAHULUI sebagai aktres paling ramai pengikut di laman Instagram buat masa kini, Nora Danish kerap menerima pelbagai ancaman dan komen berbaur lucah daripada peminatnya.

SABAN hari, ada sahaja kisah mengenai aktres cantik dan sensasi, Nora Danish yang memenuhi ruang dunia hiburan. Mempunyai pengikut lebih daripada angka sejuta di laman Instagramnya, Nora acap kali mudah terdedah dengan pelbagai ancaman bahaya atau nakal.

Pernah mencetuskan kontroversi apabila menerima ugutan rogol beramai-ramai dalam laman perkongsian gambar itu, namun kredibiliti pemilik nama Nora Danish Mohd. Hanif sebagai seorang anak seni yang profesional membolehkan dia mampu menangani isu tersebut dengan tenang.

Alah bisa tegal biasa, kalau sudah namanya popular pasti setiap kelakuan Nora, 33, terbuka kepada pelbagai ancaman yang sukar dikawal. Terkini, ibu tunggal kepada seorang anak lelaki itu diseret kembali dengan kontroversi di Instagram apabila mendapat pelbagai komen berbaur lucah daripada golongan kanak-kanak.


Teguran

Simpati, terkesan, kesal atau sedih, mungkin itu antara perasaan Nora apabila berhadapan sikap liar anak kecil yang sudah tercemar pemikiran mereka akibat terdedah teknologi canggih yang mampu membunuh jiwa mereka.

Tampil memuat naik sekeping gambar bertulis luahan hati baru-baru ini, Nora memberi komen terhadap segala perbuatan tersebut dengan teguran halus kepada ibu bapa yang bertanggungjawab supaya lebih peka dengan tindak tanduk anak-anak mereka.

Meski hidupnya sering diasak dengan perincian negatif saban hari, bagaimanapun perkara sebegitu tidak langsung menuntut pelakon filem Pengantin Malam itu mengambil langkah untuk menutup akaun Instagramnya.

Mula mengorak langkah dengan menerokai bidang perniagaan pula, aktres kelahiran Kuala Terengganu, Terengganu itu sedang mengusahakan sebuah kafe butik yang dibuka secara rasmi pada 27 Mac bertempat di Bangsar.

Kafe butik Kopi & Xoxo yang terletak dalam Butik Rumoda itu merupakan perniagaan yang dikongsi bersama empat lagi rakannya dengan menyediakan kemudahan membeli-belah sambil bersantai menikmati pelbagai menu menarik.

Namun, dalam pada keghairahan aktres itu menanti hari pembukaan rasmi butik tersebut, satu kejadian tidak terduga berlaku pada tarikh 17 Mac lalu apabila butik tersebut dirompak.

Bernasib baik terselamat daripada sebarang kerugian, Nora pantas menepis dakwaan kejadian itu berlaku kerana kekerapannya memuat naik segala persiapan menghiasi butik tersebut ke dalam Instagramnya secara total.

“Alhamdulillah saya tidak mengalami sebarang kerugian kerana pakaian jenama saya serta perabot di dalam butik itu tidak diusik. Sebaliknya perompak hanya mengambil beberapa pakaian berjenama luar negara yang terdapat di butik itu.

“Semua kejadian yang berlaku tempoh hari langsung tiada kena mengena dengan perbuatan saya memuat naik persiapan pembukaan butik itu di Instagram saya.

“Saya berkongsi semua itu kerana begitu teruja dan tidak sabar kerana akhirnya berjaya membuka sebuah kafe butik idaman,” jelas Nora.

Filem

Berbicara soal karier, Nora, antara wajah pelaris berprofil tinggi yang sering menghiasi filem-filem hebat di layar perak. Terbaharu, aktres genit itu bakal muncul dengan filem Isteri Untuk Dijual yang merupakan gandingan pertama kalinya dengan aktor kacak, Kamal Adli.

Karya ke-111 terbitan Metrowealth International Group (MIG) dengan genre romantik komedi itu mendapat sentuhan daripada pengarah berkaliber, Eira Rahman dan sudah pun memulakan penggambarannya sejak 21 Mac lalu di sekitar Lembah Klang.

“Dalam filem ini, saya memegang watak sebagai Anabella seorang model sambilan yang menjadi terkenal selepas bekerja di bawah syarikat pengurusan Kamal Reza (Kamal Adli). Sejak itu, mereka jatuh cinta dan mengambil keputusan mendirikan rumah tangga.

“Tidak lama selepas itu, perkahwinan mereka dilanda masalah kerana Anabella mula berubah sikap. Perkara tersebut mendorong Reza untuk membuat keputusan di luar jangkaan. Mahu tahu apa kesudahannya? Tunggu sehingga filem ini di pawagam nanti,” tutur Nora ceria.

Selain Isteri Untuk Dijual, beberapa lagi filem lakonan Nora bakal menjengah ke pawagam dalam masa terdekat, antaranya Hantu Bungkus Ikat Tepi yang akan ditayangkan pada 9 April depan dan Suamiku Jatuh Dari Langit.

Previous Post Next Post