Nora Danish tolak seksi demi anak



AKTRES cantik ini mengakui lebih berhati-hati untuk menerima sebarang tawaran sesi fotografi yang diberikan kepadanya sejak terpalit dengan kontroversi berpakaian seksi bagi penghias kulit sebuah majalah kira-kira tiga tahun lalu.

Menurutnya, bukan takut menjadi mangsa kritikan peminat, sebaliknya demi menjaga maruah diri dan hati anaknya juga.

Akui Nora Danish, sebagai ibu, dia perlu menjaga penampilan supaya tidak memberikan kesan buruk kepada anaknya, Rayqal, 6.

"Meskipun perkara itu berlaku ketika Rayqal masih kecil, tetapi ia boleh meninggalkan persepsi kurang baik apabila dia dewasa nanti.

"Kerana itu, saya tidak pernah mengambil sebarang tawaran seumpama itu lagi selepas kejadian tersebut," katanya ketika diminta mengulas mengenai selebriti yang tampil seksi sebagai penghias kulit majalah.

Berkongsi lanjut, pelakon berusia 33 tahun ini memberitahu, pengalaman itu mengajarnya supaya menjadi lebih matang membuat keputusan.

"Sejak dari awal pembabitan saya dalam bidang lakonan, saya sudah biasa mendengar dan menurut arahan daripada pengarah.

"Malah, saya bukan jenis yang akan membantah kerana itu cara saya menghormati orang yang berkerja dengan saya," katanya.


Jelas Nora, perkara sama berlaku dalam situasi sesi fotografi itu apabila dia diminta untuk mengenakan pakaian yang disediakan oleh pihak majalah tersebut.

"Kalau boleh saya tidak mahu kecewakan mereka, jadi saya tetap pakai pakaian tersebut walaupun tidak diberitahu terlebih dahulu mengenai baju berkenaan yang seksi.

"Malah saya telah memberitahu mereka saya tidak memakai pakaian sedemikian. Kerana itu, mereka memberitahu akan membuat suntingan pada gambar tersebut supaya tidak kelihatan bahagian yang sepatutnya.

"Bagaimanapun, mereka hanya memberikan janji kosong dan ketika gambar tersebut disiarkan, saya sangat terkejut," katanya masih belum melupakan perkara tersebut.

Selain Nora, selebriti lain yang turut terpalit isu berkenaan termasuklah Diana Danielle dan Sharifah Sakinah.

Berkongsi pendapat mengenai apa yang dilalui teman seperjuangannya itu, kata bintang filem Gudang Kubur ini, selagi bergelar artis, apa sahaja yang mereka lakukan akan terus menjadi perhatian.

"Sama ada perkara baik atau buruk, kita pastinya menjadi tumpuan banyak pihak. Bagi saya, kalau kita rasa tidak selesa dengan apa yang dilakukan, lebih baik kita menolaknya dan tidak mengikut kehendak mereka.

"Lagipun, yang terkena tempiasnya diri kita," katanya tidak sanggup lagi menjadi mangsa pihak yang tidak bertanggungjawab.

Teruja bersama Kamal Adli


Nora ketika ketika ditemui di majlis doa selamat dan pelancaran filem Isteri Untuk Dijual baru-baru ini memberitahu, filem tersebut merupakan gandingan kali pertamanya bersama pelakon Kamal Adli.

"Saya sendiri teruja untuk berlakon dengan Kamal, lagipun ini kali pertama kali digandingkan bersama.

"Apapun, penggambaran akan dilakukan tidak lama lagi dan kita nantikannya sahaja," katanya yang memengang watak sebagai Anabella, seorang model biasa yang akhirnya menjadi model terkenal.

Dalam perkembangan lain, Nora yang bakal muncul dengan filem Hantu Bungkus Ikat Tepi dan Suami Jatuh Dari Langit ini juga sedang sibuk membuat persiapan bagi pembukaan kafenye, Kopi & Xoxo pada 27 Mac ini.

Cerita Nora, dia sebenarnya sudah lama merancang membuka sebuah kafe.

"Kebetulan ketika saya mencari butik untuk menjual jubah jenama saya sendiri, saya mendapat tahu mengenai ruang kosong yang terletak di atas butik tersebut.

"Jadi saya pun meminta pandangan rakan terlibat dan mereka semua bersetuju.

"Paling seronok apabila kami sendiri memilih dekorasi dan menu untuk kafe tersebut. Bagi saya ia satu pengalaman yang sangat menarik," katanya yang mengeluarkan model lebih RM100,000 bagi kafenye itu.

Jelas Nora, dia juga menggabungkan hidangan barat dan tradisional untuk menu utama di kafe tersebut.

"Saya mahu memberikan kelainan kepada pelanggan, jadi inilah ekperimen yang saya lakukan," katanya terdapat menu istimewa seperti spagetti daging salai.

Previous Post Next Post