Pengalaman mematangkan Sarimah Ibrahim



DALAM tempoh lebih kurang seminggu, pengacara, pelakon dan penyanyi, Sarimah Ibrahim bakal melangsungkan majlis pernikahannya bersama cucu kepada Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tunku Nadrzimuddin Tunku Mudzaffar atau lebih mesra disapa Tunku Jamie.

Sepanjang tempoh itu juga, jiwa wanita yang berusia 37 tahun itu bagaikan diselubungi seribu satu rasa, memutikkan perasaan gementar sementara menanti ketibaan hari bersejarah itu.

Gementar yang singgah dalam hati Sarimah hadir bersebab. Figura kelahiran Dublin, Ireland itu menjelaskan, perkahwinan pertamanya bersama bekas suami, Amir Andrew Abdullah memberi kesan yang sangat mendalam terhadap keputusan untuk berumah tangga buat kali kedua.

Ujar Sarimah, ikatan yang terbina pada tahun 2006 dan berakhir tiga tahun berikutnya itu telah memberi banyak pengajaran buatnya tentang makna sebenar alam berumah tangga.

“Terlalu banyak perkara positif yang saya belajar selepas kegagalan perkahwinan pertama bersama Amir. Saya dapat memperbetulkan kesilapan lalu dan cuba untuk tidak mengulanginya bersama bakal suami kelak.

“Bagaimanapun, masih ada elemen negatif yang muncul daripada perpisahan tersebut. Antaranya adalah rasa berhati-hati yang datang singgah berubi-tubi.

“Mungkin ia merupakan satu rasa yang bagus. Bagaimanapun, jika rasa itu semakin menebal, ia menyebabkan pasangan kita sukar untuk memahami serta menyelami situasi sebenar yang kita hadapi,” jelas Sarimah sewaktu ditemui pada majlis memperkenalkannya sebagai pengacara baharu rancangan bual bicara Bella baru-baru ini.



Tidak suka berahsia

Bercerita mengenai kegagalan perkahwinan pertamanya, Sarimah berkata, perpisahan tersebut terjadi kerana sikapnya yang sering berada di luar kawalan.

Bagaimanapun, pelakon filem Janji Diana itu menegaskan, persefahaman antara dua belah pihak merupakan perkara yang sangat penting bagi menyemai rasa harmoni sepanjang menjalani kehidupan sebagai pasangan suami dan isteri.

“Saya akui, perkahwinan pertama gagal kerana sikap saya yang sering berada di luar kawalan (tidak mampu untuk mengawal perkahwinan dengan baik). Namun, saya ambil perkara tersebut sebagai iktibar dan cuba sehabis baik untuk menjalani kehidupan baharu sebagai seorang isteri.

“Perkahwinan merupakan sebuah komitmen yang sangat besar dan ia boleh diibaratkan seperti sebuah pekerjaan. Kita perlu berusaha keras untuk memastikan perkahwinan itu berjaya,” katanya yang begitu yakin dengan pilihan hatinya itu.


SARIMAH dan Tunku Jamie gemar berterus terang antara satu dengan lain.

Satu hal mengenai hubungannya dengan Tunku Jamie adalah kedua-duanya enggan menyimpan rahsia antara satu dengan lain.

Ujar Sarimah, sikap suka berahsia merupakan perkara yang perlu dielakkan lebih-lebih lagi dalam berkongsi hidup sebagai suami dan isteri.

“Saya tidak akan mengahwini seseorang yang penuh dengan rahsia. Ia merupakan perkara paling besar yang saya belajar daripada perkahwinan pertama.

“Jika kita berahsia dan tidak bercerita tentang masalah yang dihadapi dengan pasangan, perkara itu akan menjadi lebih besar. Lama- kelamaan, ia akan melarat dan seterusnya mengganggu hubungan.

“Saya percaya bahawa komunikasi itu penting. Jadi, saya dan Tunku Jamie akan sentiasa bercakap dan bertanya bagi meluahkan apa yang terbuku dalam jiwa masing-masing,” katanya yang percaya terhadap hubungan psikologi antara suami dan isteri.

Protokol

Melanjutkan bicara mengenai majlis perkahwinannya bersama Tunku Jamie yang bakal diadakan di sebuah hotel di ibu kota pada 2 April depan, Sarimah ternyata sudah bersedia untuk naik pelamin buat kali yang kedua.

Sedar bahawa majlis tersebut bakal disulam dengan protokol dan adat istana, Sarimah memberitahu, tidak sukar untuk menyesuaikan diri terhadap beberapa aturan wajib yang perlu diikutinya kelak.

“Sepanjang 18 tahun bergelar pengacara, saya telah didedahkan dengan pelbagai jenis majlis. Antaranya adalah majlis yang melibatkan kerabat-kerabat diraja.

“Saya belajar tentang protokol istana sebelum mengenali Tunku Jamie. Jadi, pada pendapat saya, ia bukan satu masalah yang besar,” jelasnya positif.

Ditanya adakah sudah bersedia untuk menjalani rutin harian yang penuh protokol bersama keluarga serta kerabat diraja, Sarimah menjelaskan, garis panduan istana hanya diaplikasikan pada majlis-majlis rasmi sahaja.

Tuturnya, jika tidak terlibat dengan sebarang majlis, tiada sebarang protokol diperlukan.

“Apabila berada dalam keadaan santai, kami tidak menggunakan protokol rasmi seperti berada di majlis-majlis besar.

“Boleh dikatakan, rutin harian di rumah sama sahaja dengan individu lain. Cuma, ada beberapa perkara yang perlu saya belajar.

“Sebagai contoh, Tunku Jamie akan memberitahu saya terlebih dulu mengenai sapaan yang betul untuk setiap ahli keluarga sebelum berjumpa dengan mereka,” katanya.


SEBAGAI pengacara baharu Bella, Sarimah berharap dapat berkongsi dengan penonton mengenai perkara-perkara menarik dunia wanita.

Karier

Jika diimbas perjalanan seninya, bekas pengacara Carta RIM itu pernah popular dengan lagu Kini Kau Tiada. Lagu yang diterbitkan pada tahun 2001 itu merupakan satu-satunya lagu yang mempopularkan Sarimah sebagai seorang penyanyi.

Bagaimanapun, selepas muncul dengan lagu tersebut, Sarimah lebih dikenali sebagai pengendali acara serta pelakon.

Namun, 14 tahun berlalu, Sarimah kembali dengan sebuah single berjudul Sleeping With The Enemy. Bagaimanapun, selepas single berbahasa Inggeris itu diterbitkan penghujung tahun lalu, ia tidak mendapat sambutan seperti yang diharapkan.

Berkongsi tentang perkembangan terbaharunya sebagai penyanyi, Sarimah memberitahu, dia bakal merakamkan dua buah lagu Melayu yang dicipta sepenuhnya oleh Damien VE.

Katanya, setelah gagal menempatkan kembali namanya sebagai penyanyi menerusi lagu Sleeping With The Enemy, dia berusaha untuk memenangi hati pendengar dengan lagu bahasa Melayu.

“Pasaran lagu-lagu Inggeris di Malaysia tidak semeriah sewaktu saya mula-mula merakamkan album. Pada waktu itu, kebanyakan stesen radio di sini kerap memainkan lagu-lagu bahasa Inggeris tempatan.

“Namun, sejak kebelakangan ini, stesen radio hanya akan memainkan lagu-lagu bahasa Inggeris dari luar negara. Jadi, dengan single yang bakal dipasarkan tidak lama lagi, saya berharap agar dapat kembali dikenali sebagai penyanyi,” katanya.

Dalam pada itu, Sarimah turut teruja dengan pelantikannya sebagai pengacara baharu program Bella.

Bakal bergandingan dengan Elaine Daly, Belinda Chee dan Lisa Wong, Sarimah berhasrat menjadikan rancangan tersebut sebagai platform untuknya berkongsi hal-hal yang berkaitan dengan golongan wanita.

“Banyak perkara menarik yang ingin saya bincangkan dalam program berkenaan.

“Sebagai wanita yang telah melalui pelbagai pengalaman sebagai pengacara, saya yakin dapat berkongsi topik-topik berguna bersama penonton.

“Pada masa yang sama, status saya sebagai isteri kelak sedikit sebanyak dapat membantu untuk merealisasikan harapan saya itu,” katanya.

Sarimah bakal memulakan tugasnya bersama Bella bermula 15 April setiap Isnin hingga Jumaat pada pukul 11 pagi di saluran ntv7 (Astro 107).

Previous Post Next Post