Riezman Terpaksa Tutup Restoran Selepas Kehancuran Rumah Tangga


Riezman masih bersahabat dengan bekas isteri.

Pelakon Riezman Khuzaimi terpaksa menutup sebuah restoran miliknya iaitu RK Recipe Cafe yang terletak di Jalan Persiaran Stonor, dekat sini, selepas bercerai dengan isterinya Kartina Ayub.

Riezman, 45, berkata, ia berikutan masalah kekurangan kakitangan dan tukang masak yang mana sebelum ini diuruskan oleh bekas isterinya itu.

"Saya terpaksa tutup satu restoran iaitu pada akhir bulan ini kerana masalah kekurangan pekerja dan tiada siapa yang menguruskannya.

"Kalau dulu bekas isteri yang buat dan dia juga yang menjadi tukang masak di restoran itu, manakala saya menguruskan sebuah lagi restoran di Taman Melawati.

"Sekarang, keadaan jadi kelam kabut kerana saya terpaksa berkejar ke dua tempat sekali gus," ujarnya kepada Artis Meletop.


Riezman dan Kartina bercerai selepas 14 tahun bersama.

Riezman sah bercerai talak satu dengan isterinya, pelakon Kartina Ayub di Mahkamah Rendah Syariah Daerah Gombak Timur pada 13 Januari lalu.

Pasangan itu berkahwin pada 24 Februari 2001 dan dikurniakan dua orang anak iaitu Afiq Kiraman, 12, dan Ruzain Nars, 7.

Dalam pada itu, Riezman berkata, dia akan menumpukan perhatian sepenuhnya kepada sebuah lagi restorannya di Taman Melawati (Kuala Lumpur) dan merancang untuk menukar konsep restoran tersebut.


"RK Recipe Cafe di Taman Melawati lebih besar dan sambutan disana lebih baik, jadi saya fikir untuk kekalkan yang di sana.

"Saya juga merancang akan buat sedikit perubahan dan menukar konsep restoran tersebut kepada yang lebih santai," ujarnya.

Dalam pada itu, ditanya tentang kehidupannya selepas berpisah, Riezman berkata, dia masih mempunyai hubungan rapat dengan bekas isterinya.

Katanya, mereka tetap menjadi kawan baik biarpun kedua-duanya membuat keputusan memutuskan hubungan suami isteri tersebut.

"Kami masih berkawan baik dan dia masih menjadi tempat saya bercakap serta berbual-bual.

"Kalau tiada perkara kami akan makan dan minum bersama untuk berkongsi cerita. Pada saya, tidak semestinya pasangan berpisah itu perlu bergaduh atau bermasam muka," ujarnya.

Previous Post Next Post