Shukri Yahaya pentingkan maruah


SHUKRI Yahya mengelak untuk memuat naik gambar yang boleh mencetuskan kontroversi di laman sosialnya.

Pelakon yang sering dikaitkan memiliki rupa paras persis aktor terkenal Filipina, Jericho Gonzales, Shukri Yahaya baru-baru ini dikatakan bakal menamatkan zaman bujang dengan kekasihnya, Tya Adnan pada hujung tahun ini. Berita tersebut mula tersebar di internet.

Seiring usia kerjaya seni yang menghampiri tempoh empat tahun, Shukri, 27, mengakui, mula menjalin hubungan dengan wanita berasal dari Pulau Pinang itu sejak awal menceburi bidang lakonan.

Terkejut dengan laporan tersebut, pelakon yang sedang hangat dengan drama Asam Pedas Untuk Dia itu menafikan laporan berkenaan. Bagaimanapun, dia tidak menafikan mempunyai niat untuk menyunting kekasihnya itu sebagai isteri.

Ikuti temu bual Kosmo! bersama aktor itu yang ditemui baru-baru ini.


Artis Meletop!: Minggu lalu tersebar di internet mengenai berita Shukri bakal berkahwin pada hujung tahun ini dengan kekasih anda, Tya Adnan. Sejauh manakah kebenaran berita itu?

SHUKRI: Saya agak terperanjat apabila khabar angin itu mula tersebar. Ceritanya bermula apabila saya ditanya mengenai perancangan untuk mengakhiri zaman bujang. Masa itu, saya hanya menjawab memang ada perancangan tetapi masih tidak mempunyai tarikh yang sebenar.

Jika perkara itu hanya gosip, adakah anda masih mempunyai perancangan untuk berkahwin dalam tempoh masa terdekat?

Semua itu bergantung kepada jodoh. Memang saya dan dia menyimpan hasrat untuk mengakhiri hubungan ini ke jenjang pelamin namun masanya masih tidak dapat ditetapkan lagi. Buat masa ini, kami berdua fokus dengan kerjaya masing-masing terutamanya, Tya yang sibuk dengan perniagaan atas talian yang diusahakannya.

Anda sering diberikan watak romantis. Tidakkah Tya berasa cemburu apabila menonton adegan mesra anda bersama pelakon wanita lain dalam drama?

Dia seorang yang profesional dan memahami. Saya pasti dia tidak akan berasa cemburu ataupun marah kerana sebelum menceburi bidang perniagaan, Tya juga pernah bergelar anak seni. Jadi pada pendapat saya, itu semua lumrah dunia lakonan dan apa yang dilakukan itu hanya berdasarkan urusan kerja.


SHUKRI memasang hasrat untuk mendirikan rumah tangga dengan kekasihnya, Tya Adnan namun masih tidak mempunyai tarikh yang sebenar.

Sebelum ini nama anda tidak pernah dikaitkan dengan sebarang kontroversi. Adakah anda bersetuju bahawa kontroversi mampu menaikkan nama artis?

Kontroversi mungkin membantu pada sesetengah pelakon namun, perkara itu tidak menjadi ke atas diri saya. Barangkali ada pelakon yang cuba meraih populariti dengan memuat naik gambar lakonan adegan mesra ke laman sosial misalnya untuk menimbulkan kontroversi. Bagi saya, untuk berjaya dalam bidang seni dan menjadi pelakon versatil, seseorang itu perlu mempunyai bakat.

Melihat kepada trend sekarang, ramai pelakon sering memuat naik gambar lakonan babak mesra di laman sosial untuk tujuan promosi. Adakah anda juga mengambil pendekatan yang sama?

Semua itu bergantung kepada keadaan. Saya hanya akan memuat naik gambar yang sesuai. Gambar yang kelihatan agak keterlaluan sehingga mampu mengundang fitnah akan saya elakkan daripada dimuat naik ke laman sosial. Bagi saya, maruah sangat penting. Cara ini dapat mengelakkan daripada timbulnya perasaan kurang senang kepada sesetengah pihak.

Beralih kepada soal kerjaya, apakah perkembangan karier anda sekarang?

Sekarang saya agak sibuk menjayakan drama bersiri 28 episod berjudul Dia Isteri Luar Biasa. Menerusi drama tersebut saya digandingkan dengan Fathia Latiff.

Previous Post Next Post