Syafiq Kyle Terkejut Dituduh Pukul Uqasha Senrose



Syafiq menyangkal dakwaan kononnya dia pernah memukul teman wanitanya, Uqasha dan menyifatkan gosip berkenaan mengarut.

Pelakon Syafiq Kyle terkejut selepas dituduh memukul kekasihnya iaitu Uqasha Senrose kononnya sehingga wanita berkenaan mengalami kecederaan pada wajah.

Syafiq atau nama sebenarnya Mohd Syafiq Shamim Abdul Razak, 23, berkata, dia tidak takut dengan dakwaan tersebut kerana ia sama sekali tidak benar dan menganggap ia sebagai mengarut.

"Tidak ada gunanya saya menghabiskan tenaga dengan melayan gosip murahan seperti itu kerana saya sendiri pun tidak tahu dari mana datangnya asas cerita berkenaan.

"Banyak benda yang tidak benar dilaporkan tentang saya dan yang terbaharu ini tiada bezanya kerana ia remah dan mengarut," katanya kepada Artis Meletop ketika dihubungi pada Isnin.



Komen peminat yang mendakwa Syafiq seorang kaki pukul dan pernah bertindak memukul Uqasha.

Syafiq mengulas tuduhan dalam ruangan komen peminat menerusi artikel di portal Rotikaya yang mendakwa pasangan itu sudah berpisah dan kini Uqasha sedang berkawan rapat dengan seorang lelaki dikenali sebagai Ben Ali.

Menerusi komen itu, peminat berkenaan melabel Syafiq sebagai lelaki dayus kerana memukul Uqasha dan mereka patut berpisah.


Dalam pada itu, Syafiq berkata, dia tidak pasti apakah motif sebenar disebalik dakwaan tersebut namun ia sama sekali tidak memberi kesan kepadanya.

Malah kata Syafiq, sepanjang bergelar artis dia tidak pernah memberi perhatian atau membaca ruangan gosip.



Syafiq menjelaskan hubungan Uqasha dengan Ben hanya sekadar kawan baik.

"Pihak yang buat dakwaan itu nampaknya tidak mengenali saya secara peribadi dan atas dasar apa dia buat dakwaan seperti itu?" soalnya.

Sementara itu, Syafiq berkata, hubungannya dengan Uqasha masih berjalan seperti biasa dan dakwaan kononnya mereka sudah berpisah tidak benar.

Malah kata Syafiq, dakwaan kononnya Uqasha kini sudah menemui pengganti dengan seorang pelakon baru yang dikenali sebagai Ben Ali adalah tidak benar dan lelaki berkenaan adalah sahabat baik Uqasha.


Hubungan Uqasha dan Syafiq masih berjalan seperti biasa.

"Uqasha dan Ben sudah berkawan baik sebelum kami kenal lagi malah saya sendiri rapat dengan pemuda itu.

"Dakwaan mereka bercinta adalah tidak benar dan gosip itu saya anggap bersifat kebudak-budakkan kerana ia hanya berdasarkan telahan tanpa sebarang bukti kukuh," ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Syafiq berkata, dia kini sedang menjalani penggambaran drama istimewa bersempena sambutan Hari Guru berjudul Kerana Dia Juga Cikgu untuk siaran slot Cerekarama di TV3.

Drama terbitan Langkah Karya Production Sdn Bhd itu, diarahkan oleh Keoi Khalid dan turut membariskan barisan pelakon seperti Rita Rudaini, Azhan Rani, Izzuan Fikri dan Mak Wan Latah.

Previous Post Next Post