Tanpa SPM Nurul Wahab tetap berjaya



Bertemu dengan penyanyi berkulit hitam manis, Nurul Wahab Depp pada majlis sidang akhbar Nurul Celebrates Mother’s Day di Hotel Putra, Kuala Lumpur baru-baru ini, dia kelihatan sedikit berisi.

Meskipun masih berusaha untuk mengurangkan berat badan yang naik sehingga 76 kilogram sewaktu hamil anak ketiganya, Raphael Depp, dua bulan, Nurul tetap optimis merencanakan kerjayanya yang bakal memasuki angka 20 tahun pada bulan Mei nanti.

Apabila mengimbas kembali saat mula menjejakkan kaki ke dunia seni pada usia 17 tahun dan melihat apa yang dimiliki hari ini, hanya ucapan syukur terkeluar dari mulutnya.

“Syukur kerana mengecapi bahagia dalam kehidupan dan tidak menyangka boleh berjaya dalam karier,” katanya yang mengaku tidak pernah memiliki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Tambah Nurul yang mula menyanyi pada usia 17 tahun itu: “Sebenarnya saya malu untuk mengaku tidak pernah ambil SPM. Sijil yang saya ada hanyalah Sijil Rendah Pelajaran (SRP). Ini kali pertama saya mengaku tentang tahap pendidikan. Disebabkan kekurangan itu, saya sentiasa kurang keyakinan diri apabila berhadapan dengan orang sekeliling.


“Bagaimanapun, tahap pendidikan tidak menjadi ukuran kepada kejayaan pada masa hadapan, apa yang penting ialah usaha berterusan. Sepanjang 20 tahun, banyak benda yang saya telah lalui. Saya tiada kelulusan tinggi, tetapi menerusi pengalaman, bidang seni menjadikan saya seorang yang bijak berkomunikasi dan memasarkan diri sebagai penyanyi.”

Disebabkan tidak memiliki segulung ijazah, ibu kepada tiga orang anak, Zachary Depp, setahun lima bulan, Raphael Depp dan Ayu Nazirah, 17, (anak bersama bekas suami, komposer Ajai) itu terpaksa bekerja kuat demi kelangsungan hidup.

“Sebab tidak ada SPM, saya rasa tidak selamat dan sentiasa ingatkan diri untuk kerja kuat dalam bidang seni. Jika kerjaya nyanyian tidak menjadi, saya tidak ada sijil yang boleh diusung untuk minta kerja dalam bidang lain.

“Walaupun tahap pendidikan tidak menjanjikan kejayaan pada masa hadapan, tetapi selepas apa yang telah dilalui, saya lihat pendidikan amat penting. Saya mahu ketiga-tiga anak menamatkan pelajaran pada peringkat tertinggi terlebih dahulu sebelum mereka bekerja atau ceburi bidang yang diminati,” balasnya.


KELUARGA bahagia Nurul. Nurul bersama suaminya, Eric serta dua anak mereka, Zachary dan Raphael (kanan).

Bahagia Nurul

Menyentuh tentang kehidupan peribadi, wanita berusia 38 tahun itu memberitahu, dia kini berada pada fasa paling bahagia selepas bergelar ibu tunggal selama lima tahun sebelum menikahi lelaki berasal dari Perancis, Eric Daniel Depp pada Jun 2012.

Diakui kehidupannya bertambah sibuk apabila mempunyai dua anak kecil, tetapi itulah doa yang dipinta ketika hidup sendirian.

“Saya tidak kisah penat kerana memang saya berdoa untuk memiliki sebuah keluarga. Saya sudah tiada ibu bapa, status sebagai ibu tunggal dengan kerjaya sebagai penyanyi telah mengundang banyak fitnah. Saya faham apa yang ibu tunggal lain rasa kerana sudah melalui fasa tersebut selama lima tahun.

“Apabila berkeluarga dan mempunyai suami, saya lebih kuat kerana ada orang yang berdiri di belakang dan orang lain tidak berani untuk membuat fitnah. Saya juga rasa diperlukan dan mempunyai tanggungjawab terhadap keluarga. Perkara itu yang menjadikan hidup lebih bermakna,” ujarnya.

Oleh sebab itu, Nurul tidak kisah apabila terpaksa merehatkan kerjaya nyanyian selama dua tahun demi memberi fokus membina keluarga. Kini, sebaik sahaja tamat tempoh berpantang selepas melahirkan Raphael, Nurul sudah mula mengatur strategi untuk kembali aktif dalam bidang seni.

“Alhamdulillah, bermula bulan April ini, saya sudah mempunyai tawaran nyanyian. Buat masa sekarang, saya sedang sibuk bersenam untuk meningkatkan stamina. Saya bersalin secara pembedahan, jadi proses pemulihan agak lambat berbanding wanita orang yang bersalin normal,” terangnya.

Konsert 20 tahun

Bercakap tentang usia 20 tahun penglibatannya dalam bidang seni, kata wanita berusia 38 tahun itu, sepanjang tempoh tersebut, dia sudah melalui fasa cemerlang dan paling suram dalam kerjaya dan kehidupan peribadi.

Banyak perkara telah dipelajari, antaranya, kesilapan strategi yang mengakibatkan Nurul menanggung kerugian akibat lagu tidak menjadi.

“Bidang seni dan muzik ialah perniagaan. Adat orang berniaga ada rugi dan untung. Begitu juga dengan saya, ada masanya bangun dan ada ketikanya jatuh.

“Saya pernah salah pilih lagu dan strategi pemasaran sehingga lagu yang dikeluarkan tidak popular. Contoh terbaik ialah album Mari.

“Disebabkan saya terlampau mencari kelainan, orang sukar menerima album tersebut. Akibatnya, saya menanggung kerugian kerana keluarkan wang sendiri untuk album tersebut,” kata Nurul yang bakal merakam single terbaharu dalam bahasa Melayu dan Perancis.


SEPANJANG 20 tahun bergelar anak seni, Nurul telah menghasilkan enam album solo dan empat album duet.

Apabila ditanya apakah resipi kejayaannya untuk kekal bertahan selama 20 tahun dalam industri seni, penyanyi yang popular dengan lagu Kerana Terluka itu hanya tertawa. Dia sendiri tidak menyangka akan melangkah sejauh ini sejak hari pertama membulatkan hati menjadi penyanyi.

“Jujurnya, saya sendiri tidak sangka akan bertahan selama 20 tahun dalam dunia seni. Bidang ini cukup bahaya kerana boleh menjadikan seseorang lupa diri disebabkan pujian melambung yang diterima. Nasihat saya kepada artis baharu, sentiasa jadi diri sendiri, jangan cepat melatah dan sentiasa merendah diri. Itu resipi yang saya amalkan untuk kekal sehingga hari ini,” kata isteri kepada Eric Daniel Depp itu.

Sehubungan itu, Nurul sempat berkongsi tentang rancangannya untuk mengadakan sebuah konsert solo sempena ulang tahun ke-20 kerjayanya sebagai penyanyi pada bulan Mei nanti.

Tutur penyanyi yang pernah menghasilkan enam album solo itu, konsert pertamanya, masih dalam peringkat perbincangan.

Jika tiada aral dan mendapat sokongan penuh daripada pihak penaja, ia bakal menjadi hadiah paling bermakna buat dirinya dan peminat.

“Album pertama saya berjudul Nurul dikeluarkan pada Mei 1995, jadi bulan Mei ini genap 20 tahun saya menjadi penyanyi. Mengikut perancangan, konsert itu diadakan secara sederhana untuk meraikan 20 tahun perjalanan saya sebagai anak seni.

“Semua lagu lama dan baharu akan dinyanyikan. Setakat hari ini, sudah ada beberapa pihak yang berminat untuk menjadi penaja bersama tersebut. Saya berharap semuanya akan berjalan lancar kerana ia akan menjadi konsert solo pertama saya sepanjang 20 tahun bergelar penyanyi,” luah Nurul.

Selain itu, Nurul bakal membawa peminatnya meraikan Hari Ibu di Singapura pada 8 dan 10 Mei ini. Program dengan kerjasama syarikat IGNS Holidays itu bukan sahaja menampilkan persembahan istimewa Nurul dan pelawak Dee di Hotel Royal Plaza On Scotts pada 9 Mei depan, tetapi peserta rombongan tiga hari dua malam berharga RM3288 untuk seorang itu juga akan dibawa melancong sekitar kota Singa bersama penyanyi tersebut.

“Kali terakhir saya membuat persembahan di Singapura sekitar tiga tahun lalu. Ini hadiah buat peminat yang sudah lama menantikan kemunculan saya di Singapura.

“Peminat di Malaysia juga boleh menyertai pakej tersebut dan peminat di Singapura pula boleh membeli tiket hanya untuk menyaksikan persembahan saya pada harga RM401 (SG$150),” katanya.

Previous Post Next Post