Zaman peralihan Ungku Ismail


UNGKU ISMAIL mendapat perhatian khalayak sejak drama bersiri Teman Lelaki Upahan disiarkan di kaca televisyen.

SEPERTI suhu alam yang berubah mengikut musim, bahang kehangatan dan ledakan populariti seseorang anak seni juga ada putaran. Memuncak atau mendatar, kencang atau sekadar ada, namun tidak dirasai, itu antara turun naik yang barangkali sudah menjadi kebiasaan dalam dunia hiburan.

Lantas, lonjakan momentum Ungku Ismail Aziz yang sedang menjadi sebutan menerusi drama rantaian Teman Lelaki Upahan itu boleh dikatakan sesuatu yang normal. Ia berlaku kepada ramai pelakon lelaki lain, seperti Zul Ariffin menerusi Rindu Awak 200% atau Azlee Khairi dalam Love You Mr. Arrogant.

Sepintas lalu, kehangatan yang ditempa Ungku Ismail menerusi Teman Lelaki Upahan seperti sebuah peralihan. Ironinya, pelakon yang juga pengarah itu sudah mula berjinak-jinak dengan lakonan sejak lebih 10 tahun lalu. Lakonan Ungku Ismail dalam Seligar (2014) pernah menyerlah, begitu juga dengan drama bersiri Syurgamu Ramadan beberapa tahun lalu dan telemovie Antara Garisan (2009) menjadi rujukan terbaik.

Cuma, impak kehadirannya benar-benar menerpa ke setiap mata umum sejak drama rantaian adaptasi novel, Teman Lelaki Upahan disiarkan sekitar lebih 20 minggu lalu.

Dipuji mencairkan hati banyak audiens dengan lakonan bersahaja, lelaki berkulit putih melepak itu ditanya tentang formulasi kerjanya yang diam-diam, membenihkan isi.

Mudah tersasul memanggilnya sebagai El, aktor yang mahu dibahasakan sebagai Ungku atau UIA itu bagaimanapun mempunyai definisi sendiri.

Seraya tersengih sebagaimana lagaknya sebagai El, si teman lelaki upahan, kata Ungku, kebangkitan itu bukan kelahiran mahupun penjenamaan semula. Baginya, pencapaian meraih penerimaan penonton itu boleh diibaratkan sebagai arus revolusi yang membawa dirinya ke sebuah dimensi lain.

“Kalau hendak dikatakan kelahiran semula, kerja lakonan saya tidak pernah mati. Sepanjang beberapa tahun sebelum ini, kerja saya hanya berlakon. Saya juga tidak merasakan impak penerimaan peminat dalam drama Teman Lelaki Upahan sebagai penjenamaan semula kerana istilah itu berbunyi semacam berniat dan ada strategi.

“Ini satu rahmat, kejutan atau fenomena yang datang secara tiba-tiba dan mengalirkan saya ke satu tempat lain. Saya mengikut arus bersama karya, barisan produksi dan pelakon yang semuanya memberi persembahan terbaik. Lebih tepat lagi, ini sebuah peralihan, harap peralihan yang lebih baik,” takrif Ungku terhadap angin kencang yang melintasi kariernya.

Dikenali, namun graf popularitinya mendatar dan kurang disedari peminat secara menyeluruh, hari ini, kelibat Ungku pasti diekori lirikan mata dan jeritan halus yang menyapanya sebagai El. Mengakui sedang menyesuaikan diri dengan suhu popular sebagaimana yang diketahui menjadi resam kehidupan selebriti, Ungku berkongsi pengalaman yang tidak pernah dirasai sebelum ini.

“Sewaktu Pesta Buku Antarabangsa Putrajaya di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya baru-baru ini, saya dan Siti Elizad dijemput untuk sesi bertemu peminat. Saya langsung tidak menyangka sambutan yang diterima sangat mengejutkan.

“Untuk mengelakkan suasana jadi tidak terkawal, sewaktu hendak balik, kami dibawa melalui pintu belakang sebuah kafe di situ untuk ke parkir di tingkat bawah. Saya tertanya-tanya, inikah populariti, tetapi saya percaya perkara itu berlaku kerana kuasa Tuhan dan hasil kerja yang membuka mata ramai, saya bersyukur,” katanya.


Makanan jiwa

Menggali rasa yang tertanam di jiwanya, aktor yang selama ini memilih jalan menjauhi arus glamor itu mengakui, hatinya pernah tertutup untuk mempedulikan hubungan dengan media. Publisiti dan populariti tidak menjadi sebahagian daripada tuntutan seseorang pelakon atau pengkarya sepertinya.

“Rasanya, saya boleh kira berapa kali sahaja menghadiri sesi temuramah dengan media. Kalau ada pun, hanya sesekali. Bagi saya, habis berlakon, kerja sudah selesai. Kalau bagus, baguslah. Selama lima tahun juga terbawa-bawa dengan pemikiran sebegitu. Lama-kelamaan, Tuhan tunjuk jalan, bahawa cara itu sedikit tersasar,” tegasnya sambil merasakan ledakan sokongan yang diterima menerusi Teman Lelaki Upahan setakat ini sebagai satu petunjuk.

Tambah Ungku: “Saya pernah fikir bahawa populariti selebriti itu boleh dijual beli. Pelakon sangat terikat dengan dunia selebriti tetapi kecenderungan saya tidak ke arah itu.

Bukan namanya anak seni sekiranya tidak memiliki kehalusan jiwa. Rajuk dan teruja pula dua perkara berbeza yang boleh menjatuhkan dan menaikkan semangat seseorang.

Bercerita tentang situasi itu, Ungku mengakui, pernah merajuk dan hilang semangat terhadap industri.

“Dahulu saya banyak sifat ‘keakuan’, cepat marah dan tolak apa sahaja yang tidak serasi dengan jiwa. Saya pernah merajuk dengan bidang pengarahan. Saya tercari-cari dan akhirnya bertemu dengan seseorang yang berikan saya makanan jiwa. Orang itu ialah pengarah dan pelakon bernama Khir Rahman.

“Saya anggap Khir seperti sebuah lori yang menumpahkan pasir ketika memberikan pandangan. Dalam pasir itu ada emas yang boleh dikutip. Daripada situ, perlahan-lahan jiwa saya terisi dan jumpa apa yang tiada dalam diri selama ini,” bongkar Ungku tentang pencariannya.

Ekspektasi

Berdasarkan komen-komen peminat di laman sosial, tidak keterlaluan jika pemilik nama sebenar Ungku Ismail Ungku Abd. Aziz, 30, dikatakan sedang menikmati zaman kebangkitan.

Perlahan-lahan membiak pengaruh bersandarkan karakter El, dia mempunyai kelab peminat fanatik, @ungkuismailnaticsfc yang aktif di Instagram dan Twitter khususnya sejak tersiar drama Teman Lelaki Upahan di kaca televisyen.

Selain itu, sebuah lagi drama bersiri lakonannya, Terlanjur Mencintaimu juga menambah pengaruh Ungku pada mata penonton.

Terbit juga satu persoalan, bagaimana sekiranya ketaksuban itu merudum jika kemunculannya selepas ini, hilang pesona.

“Jika perkara itu berlaku, saya tidak terkejut dan harap peminat boleh terima,” ujar Ungku yang percaya, persefahaman antara pelakon dan pengarah juga menyumbang impak kepada penerimaan penonton.

Katanya, drama Melayu tidak boleh lari daripada emosi, tetapi bagaimana ia diterjemah, dikembangkan dengan lebih rasa (bukan di takuk lama) untuk kelainan dan memikat penonton.

Masuk ke topik yang lebih serius, mencakupi pengarahan, adaptasi novel, skrip drama dan lakon televisyen, lulusan kejuruteraan mekanikal itu tidak kosong ilmu seni.

Bagi Ungku, teori seni dan amalan di lokasi penggambaran ada jurang yang membezakan.

“Pengalaman bekerja dengan pelbagai kelompok karyawan, sama ada indie, arus perdana, seni dan pop banyak mengajar saya.

“Buat masa sekarang, saya mahu berada dalam arus ini. Dahulu saya memilih, memilih pengarah dan skrip, tetapi sekarang saya sedar sikap itu bahaya. Memilih boleh membuatkan seseorang jadi merungut dan akhirnya boleh membunuh.

“Sekarang, populariti mengajar tentang silaturahim dengan orang dalam industri, media dan peminat. Walaupun jiwa lebih ke arah indie dan mencari naskhah seni, jika benar ini jalannya untuk berdiri sebagai pelakon yang berjaya, aliran pop sedang membuka hati pintu saya,” katanya yang sedang berkompromi dan ‘menghadam secara senyap’ sekiranya terjebak dalam persekitaran kurang selesa.

Masih dalam emosi drama yang melonjakkan namanya, Ungku berkongsi tentang episod final drama berkenaan yang akan ditonton bersama peminat petang ini.

Jika diberi pilihan secara peribadi, dia mahu watak Kyra (Siti Elizad) berdiri teguh dengan prinsip yang dikembangkan sejak awal.

Penyudah kisah El dan Kyra sudah berpenghujung, namun ia bukanlah penamat. Sebaliknya, itu petanda, cabaran besar sedang menanti. Pendakian Ungku Ismail sedang bermula.

Previous Post Next Post