Amar Baharin tidak serik lakonkan watak aksi



MALANG tidak berbau. Begitulah ungkapan yang cocok diberikan buat pelakon Amar Baharin yang berdepan kecederaan pada bahagian atas kelopak mata kanannya sewaktu menjalani penggambaran telefilem berjudul Jalan Singkat Ke Syurga baru-baru ini.

Menerusi beberapa keping gambar yang tersebar di internet, lelaki berusia 30 tahun itu dilihat mengalami kecederaan yang agak serius sehingga terpaksa mendapatkan rawatan di hospital.

Ketika dihubungi Artis Meletop!, Amar atau nama sebenarnya, Amar Mohd. Baharin berkata, luka yang dialaminya itu tidak terlalu parah. Bahkan, dia masih berupaya untuk menyambung semula sesi penggambaran telefilem yang diarahkan oleh Rashid Sibir itu.

Tidak terlalu memikirkan luka yang dialami, namun apa yang merisaukan Amar ialah komitmennya untuk sebuah drama lakonannya bersama sebuah lagi produksi lain.

Penggambaran drama bertajuk Cik Bunga dan Encik Sombong yang akan dimulakan dalam waktu terdekat, mungkin terpaksa ditangguhkan akibat kecederaan tersebut.


Artis Meletop!: Amar, bagaimanakah keadaan kecederaan anda ?

AMAR: Alhamdulillah, saya berada dalam keadaan baik. Bengkak pada bahagian luka masih belum surut tetapi sakitnya telah beransur hilang.

Boleh terangkan bagaimana anda boleh mengalami kecederaan seperti itu?

Semasa kejadian, saya bersama pelakon Faizal Hussein dan Redza Rosli sedang menjalani penggambaran babak pergaduhan untuk telefilem Jalan Singkat Ke Syurga di sebuah bangunan tinggal di Rawang, Selangor. Sedang asyik bergelut, Redza yang sepatutnya menumbuk saya dengan kadar perlahan telah terlebih sasaran lalu menyebabkan kulit pada bahagian kelopak mata terkoyak.

Adakah anda meneruskan sesi penggambaran setelah mengalami kecederaan tersebut?

Ya, saya kuatkan semangat dan meneruskan penggambaran. Lagipun, babak pergelutan itu tinggal sedikit sahaja dan saya mengambil keputusan untuk menghabiskannya pada hari itu juga.

Bilakah anda sedar bahawa kecederaan itu serius?

Selepas tamat penggambaran, baru saya mula rasa sakit. Kru di lokasi juga memaklumkan kepada saya bahawa luka tersebut kelihatan agak dalam sehingga menampakkan permukaan tulang. Kemudian, saya mengambil keputusan untuk mendapatkan rawatan di Hospital Pakar KPJ Rawang, Selangor. Selepas diperiksa, doktor memberitahu luka tersebut tidak terlalu parah. Jadi, dia menggunakan teknik ‘glue’ untuk menutup luka tersebut.


Kecederaan pada bahagian atas kelopak mata Amar akibat tumbukan Redza ketika menjayakan babak pergaduhan dalam drama Jalan Singkat ke Syurga.

Bagaimana pula reaksi Redza apabila mendapat tahu anda cedera teruk akibat tumbukannya?

Dia begitu runsing dan berasa sangat bersalah apabila melihat luka yang saya alami, sehingga Redza mengambil keputusan untuk menjaga saya sepanjang mendapatkan rawatan di hospital. Secara peribadi, saya tidak kisah dan hubungan antara kami baik-baik sahaja.

Adakah luka pada bahagian mata anda menjejaskan jadual penggambaran telefilem tersebut?

Tidak kerana telefilem tersebut sudah selesai penggambarannya semalam (Ahad).

Namun, saya risau jika luka ini mengganggu penggambaran drama baharu lakonan saya, Cik Bunga dan Encik Sombong yang dijadualkan bermula hari ini (Isnin).

Sudahkah anda maklumkan kepada pihak produksi tentang kemalangan yang dialami?

Saya sudah maklumkan dan masih menunggu kata putus daripada mereka. Bagaimanapun, saya tidak kisah jika nama saya digugurkan daripada drama tersebut jika keadaan saya tidak mengizinkan untuk meneruskan penggambaran.

Adakah anda sudah serik untuk melakonkan babak aksi?

Sejujurnya, saya tidak serik dan jika diberikan peluang, saya masih mahu menjayakan watak sedemikian.

Pada pendapat saya, seseorang pelakon itu perlu berhati-hati apabila melakonkan babak aksi.

Pada masa yang sama, mereka perlu menjalani latihan sebelum melakukan sebarang aksi lasak.

Previous Post Next Post