Avengers: Age of Ultron


Babak yang menunjukkan pasukan Avengers dalam keadaan kebingungan selepas dimanipulasi oleh Scarlet Witch.

Banyak sebab kenapa filem Avengers: Age of Ultron termasuk dalam filem yang ditunggu-tunggu peminat. Selain ia merupakan sekuel pada The Avengers, filem itu juga mengumpulkan adiwira yang paling banyak.

Pastinya juga, pencinta komik keluaran Marvel tidak sabar menonton filem tersebut kerana ingin mengetahui sejauh mana persamaan yang terdapat dalam siri komik yang dibaca mereka.

Terdapat Iron Man, Thor, Hulk, Captain America, Black Widow, Hawkeye dan karakter baharu seperti Ultron, The Vision serta kembar Quicksilver dan Scarlet Witch dalam Avengers: Age of Ultron.

Sememangnya bukan hal mudah untuk menyeimbangkan karakter ikonik yang mempunyai peminat tersendiri dalam Avengers: Age of Ultron, namun pengarahnya, Joss Whedon sudah melakukan yang terbaik.



Filem itu membawa persoalan tentang evolusi. Ia merupakan persoalan terbesar dalam naskhah terbaharu ini.

Cerita bermula dengan aksi lawan Avengers dan pasukan Baron Wolfgang von Strucker demi mendapatkan semula cokmar Loki. Di sini penonton diperkenalkan dengan watak adik-beradik kembar yang memiliki kuasa hebat iaitu Scarlet Witch (lakonan Elizabeth Olsen) dan Quicksilver (Aaron Taylor-Johnson).

Aksi pertarungan melibatkan Avengers dengan adik-beradik kembar itu telah membuatkan Hawkeye mengalami kecederaan. Scarlet Witch berjaya memanipulasi pemikiran Tony Stark atau Iron Man dengan menunjukkan kemusnahan bumi termasuk Avengers.

Tersentak dengan apa yang dilihat, Tony merancang untuk menghasilkan Ultron secara senyap tanpa pengetahuan ahli Avengers lain kecuali doktor Bruce Banner (Mark Ruffalo).

Ultron ciptaan Tony mempunyai kebijaksanaan tersendiri untuk berfikir dan merasa, selain mampu berpindah dari satu objek ke satu objek lain tanpa dapat dimusnahkan.Pada firasat Tony, Ultron mampu mempertahankan bumi daripada kemusnahan.

Ironinya, Ultron tidak berfikir seperti Tony. Baginya, manusia adalah makhluk yang lemah. Maka, dia mahu mencipta evolusi yang mana bumi hanya dihuni oleh robot-robot sahaja.

Selepas itu, bermula aksi pertarungan antara Ultron dan Avengers. Pada masa sama, Avenger turut diserang adik-beradik kembar yang jahat itu. Scarlet Witch cuba memanipulasi Captain America, Thor, Black Widow dan Hulk untuk memecah-belahkan Avengers.

Penambahan elemen lelucon, konflik dalaman serta penekanan terhadap emosi dan latar belakang ahli Avengers membuatkan filem ini sebuah naskhah menarik dan tidak klise.

Antara babak-babak menarik yang terdapat dalam filem itu adalah aksi pertarungan berskala besar antara Iron Man dan Hulk yang telah dimanipulasi oleh Scarlet Witch. Beberapa babak pertembungan antara kumpulan Avengers dan tentera Ultron juga mampu membuatkan audiens terpegun.


BARISAN adiwira yang ada kelebihan masing-masing bergabung menjadi Avengers untuk menentang musuh.

Filem itu juga dibuat secara kreatif kerana memainkan watak yang pelbagai seperti menambahkan watak adik-beradik kembar (yang diangkat menerusi filem X-Men).

Sejujurnya, jika mahu dibandingkan dengan The Avengers, filem Avengers: Age of Ultron tidak banyak mempamerkan babak-babak aksi yang banyak tetapi lebih kepada menonjolkan sisi keperibadian dan kemanusiaan setiap adiwira.

Paling jelas watak Hawkeye (Jeremy Renner) yang dimainkan secara terperinci dalam filem itu.

Kita dapat menelusuri karakter Hawkeye yang penyayang terhadap keluarga. Tiada seorang pun yang tahu mengenai keluarga Hawkeye ini kecuali Black Widow (Scarlett Johansson). Bagaimanapun, atas dasar ingin bersiap sedia bertempur dengan Ultron, kesemua Avengers diajak oleh Hawkeye berlindung di rumahnya.

Black Widow yang jatuh cinta dengan salah seorang daripada adiwira Avengers juga menjadi rencah menarik filem ini.

Biar tidak sarat dengan aksi pertarungan tetapi pengarahnya ‘membayarnya’ dengan menyajikan beberapa adengan menakjubkan termasuk efek visual yang mengagumkan.

Cuma, dalam Avengers: Age of Ultron terdapat beberapa babak yang ‘lari’ atau diolah daripada komik asalnya dan barangkali ia sedikit menghampakan pencinta siri komik keluar Marvel.

Filem Avengers: Age of Ultron telah ditayangkan sejak 23 April lalu. Ia dibintangi oleh Robert Downey Jr., Chris Evans, Mark Ruffalo, Chris Hemsworth, Scarlett Johansson, Jeremy Renner, Cobie Smulders, Samuel L. Jackson, James Spader, Elizabeth Olsen dan Aaron Taylor-Johnson.

Previous Post Next Post