Cita Citata Tuah lagu Sakitnya Tuh Disini



SECARA tiba-tiba, lagu Sakitnya Tuh Di sini bagaikan menjadi fenomena dalam kalangan peminat industri muzik ketika ini.

Masakan tidak, baik kanak-kanak mahupun orang dewasa pasti saja akan menyanyikan lagu yang berkisarkan kepada kekecewaan terhadap pasangannya itu.

Bahkan sejak dimuat naik pada 12 Oktober 2014, ia telah ditonton lebih 50 juta pelayar dan mendapat ‘like’ hampir 97,000 seterusnya mencetuskan viral di laman-laman sosial.

Namun pada sisi lain, getusan fenomena Sakitnya Tuh Di sini tidak boleh dipandang enteng lantaran ia menjadi promosi yang menjana populariti kepada si penyanyi, Cita Citata.

Bukan itu saja lebih menggembirakan, ekoran keupayaan lagu itu menarik peminat, album Cita di Malaysia turut mencatatkan jualan sehingga 40,000 unit.


“Saya tidak sangka lagu ini sangat digemari masyarakat di sini. Alhamdulillah. Terima kasih kepada peminat yang sentiasa memberikan sokongan kepada saya.

“Malah, kedatangan saya ke sini juga adalah kerana peminat,” katanya kepada Zass ketika ditemui di pelancaran single Sakitnya Tuh Di sini, kelmarin.

Sedikit berbeza, Cita bagaimanapun tampil dengan irama dangdut sekali gus lari daripada kebiasaan yang dibawa oleh semua penyanyi dari Indonesia.

Baginya, muzik dangdut punya keistimewaan tersendiri kerana ia dapat menarik minat semua golongan.

“Sejak mula menyanyi pada usia 11 tahun, saya banyak membawa muzik Jazz. Tapi, semuanya berubah selepas saya bernaung dibawah Sani Music pada 2014.

“Mulanya, memang agak sukar sesuaikan diri. Namun lama-kelamaan, ia sesuatu yang sangat seronok. Bukan hanya saya menikmatinya tetapi juga masyarakat sekeliling.

“Apabila saya menyanyikan lagu dangdut, orang ramai akan turut sama-sama menyanyi dan bergoyang (menari). Ia satu kondisi yang sangat istimewa. Berbeza ketika saya membawakan muzik Jazz,” katanya.

Selain itu, tambah Cita, irama dangdut bagaikan sebati dengan masyarakat di Indonesia sekali gus membantunya dalam mengekalkan populariti.

Bagaimanapun, pemilik nama sebenar Cita Rahayu ini menolak untuk kelihatan lebih seksi dan sensual seperti penyanyi dangdut sebelum ini di Indonesia.

“Pada awalnya, saya akui takut menceburi muzik ini kerana bimbang dicop dengan imej sedemikian. Tidak dapat dinafikan, muzik ini lebih digemari lantaran tariannya yang agak sensasi dan liar namun semakin menginjak masa ia juga berubah.

“Saya ingin tampil dengan imej dangdut yang lebih bersih, lebih berkelas dan moden. Saya mahu tunjukkan kepada dunia, dangdut bukanlah seburuk yang disangka.

“Perihal seksi, saya tidak rasakan saya seorang yang seksi. Bagi saya, seksi itu tak perlu untuk terbuka atau terdedah apa yang tidak sepatutnya.

"Seksi itu adalah apabila kita menjaga penampilan dan tahu apa kekurangan badan kita. Cukuplah dengan hati yang seksi,” katanya sambil tergelak.

Dalam pada itu, Cita yang kini sedang menyiapkan album sulungnya yang dijangka diedarkan pada hujung tahun ini memberitahu setiap lagu nyanyiannya, berkaitan dengan kisah cintanya sendiri.

"Hampir semua lagu ada perkaitannya. Tetapi, saya harus positif menerimanya,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Cita bakal mengadakan mini konsertnya di Plaza Angsana, Johor Bahru dan Menara Kuala Lumpur pada 9 dan 10 Mei depan.

Mini konsert itu dianjurkan dengan kerjasama Indigital Sdn Bhd dan Music Space Sdn Bhd khas buat peminat di tanah air.

Tiket berharga RM40 boleh didapati di pintu masuk konsert pada hari berkenaan.

“Saya cukup teruja mengadakan persembahan sulung di sini apatah lagi ia pastinya membuatkan peminat di sini ternanti-nanti. Saya berjanji untuk membuat sehabis baik buat peminat di Malaysia,” katanya.



Kembali hidup solo

Lumrah bergelar selebriti, pasti tidak dapat lari daripada terpalit dengan kontroversi yang tercipta.

Perkara sama turut dihadapi oleh Cita sementelahan lagi penyanyi berusia 21 tahun ini sebenarnya adalah seorang janda setelah sah bercerai dengan suaminya, Galih Purnama atau lebih mesra disapa Ijonk pada Mac lalu.

“Saya terima setiap kontroversi itu dengan hati yang terbuka kerana sebagai seseorang yang dikenali masyarakat pasti kita tidak akan dapat lari darinya.

“Apa yang penting, kita jaga peminat dan imej selain terus menghasilkan karya berkualiti tinggi. Kadang-kadang, hasil karya bermutu dapat menutup kontroversi yang ada,” katanya.

Berbicara mengenai statusnya itu, pelantun lagu Goyang Dumang ini mengakui perkara itu membantu mendewasakan dirinya.

“Kami berkahwin ketika saya berusia 18 tahun dan rumah tangga yang dibina hanya sempat bertahan dalam tempoh sebulan sebelum ditinggalkan suami.

“Sepanjang tiga tahun, dia menghilangkan diri, dia tidak pernah berjumpa dengan saya untuk membincangkan proses penceraian kami.

“Akhirnya dia sendiri datang berjumpa saya semata-mata menceritakan status dirinya sebagai suami tetapi kedatangannya itu membawa rahmat kepada saya kerana proses penceraian kami dapat dilakukan.

“Setiap pengalaman hidup ini yang saya hadapi ini benar-benar mematangkan saya. Kerana ditinggalkan juga, saya akhirnya membentuk hidup dan berpindah ke Jakarta seterusnya mencipta nama sebagai penyanyi.

“Saya percaya, setiap kegagalan itu pasti ada kejayaannya. Apa yang penting, jangan pernah mengalah dan saya sendiri tidak pernah menyesal berkahwin pada usia muda,” katanya yang kini memberi fokus kepada karier seninya sahaja.

Previous Post Next Post