Dafi belum sedia kahwin



PENYANYI, Dafi atau nama sebenarnya Gadaffi Ismail Sabri mengakui belum bersedia untuk menamatkan zaman bujangnya dalam tempoh terdekat.

Bagaimanapun bekas pelajar Akademi Fantasia musim kelima ini meletakkan sasaran umur sehingga 35 tahun untuk berkahwin.

"Saya tak nak terlalu terburu-buru untuk berkahwin. Saya mahu menikmati hidup dengan sepuas-puasnya dulu.

"Kahwin nantilah dulu. Lagipun, saya tak bersedia lagi untuk punya komitmen. "Insya-ALLAH, sebelum umur 35 tahun, saya akan kahwin. Tak naklah terlalu lewat, nanti anak-anak saya kecil lagi walaupun saya dah berumur," katanya ketika ditemui pada Majlis Ulang Tahun Ke-30 Media Hiburan.

Tambahnya, antara sebab mengapa dia membuat keputusan seperti itu kerana belum mendapat kepuasan dalam perjalanan seni kariernya.

"Zaman sekarang ini, kahwin lambat tu dah menjadi normal. Saya bahagia dengan hidup kini, tapi ia masih belum mencapai ke tahap membanggakan lagi. "Jadi, biar saya dapatkan apa yang saya inginkan," katanya.


Dalam pada itu, Dafi yang sebelum ini pernah terlibat dalam aktiviti lakonan mengakui akan lebih fokus kepada nyanyian.

"Tahun ini, tiada berlakon. Saya suka berlakon tapi tumpuan utama saya adalah kepada menyanyi. Lebih-lebih lagi saya akan ke Jakarta, Indonesia pada Mei nanti," katanya.

Kata pelantun lagu Bila Terasa Rindu ini, aktiviti nyanyiannya itu termasuklah kerjasama yang terjalin di antaranya dengan komposer popular, Ahmad Dhani. "Kami menandatangani kontrak bagi menghasilkan 10 album bermula pada 2016.

"Apabila saya di sana, saya akan bernaung di bawah pengurusan Dhani," katanya.

Dafi juga bakal muncul dengan single terbaharu ciptaan komposer Akid, berjudul Sementara.

"Semasa dalam proses perbincangan dengan Dhani, saya akan muncul dengan lagu baharu. Saya harap peminat akan menyukai lagu itu kerana dia pernah menghasilkan lagu Nomad iaitu Tetap Menantimu," katanya.

xxxxxxxxxxxxxxxxxxxx
Previous Post Next Post