Emelda Rosemila berjinak-jinak dengan dunia fesyen


EMELDA terpaksa melupakan karier sebagai pelakon buat sementara waktu bagi mengejar impiannya sebagai pereka fesyen.

LAMA juga tidak mendengar cerita mengenai aktres jelita, Emelda Rosemila yang seakan-akan menyepi daripada bidang lakonan sejak kebelakangan ini.

Setelah dirisik, rupa-rupanya isteri Adlin Aman Ramlie ini mula berjinak-jinak dengan dunia fesyen apabila menjadi pereka pakaian menggunakan label Emelda Rose.

“Sebenarnya, saya bermula secara kecil-kecilan melalui online sekitar tiga tahun lepas sebelum membuat keputusan untuk lebih serius dalam bidang fesyen. Bukan apa, saya tidak pernah bercadang untuk mencari kerja di pejabat sebaik sahaja menamatkan pengajian dalam bidang Ijazah Komunikasi di Universiti Utara Malaysia sebelum ini.

“Wanita dan fesyen sememangnya tidak dapat dipisahkan, jadi saya nekad untuk mencuba angin baharu sebagai pereka fesyen selepas ini,” katanya kepada Sensasi Bintang.


Mengulas lanjut, Emelda yang mesra disapa Mel memberitahu, dia juga dalam perancangan untuk terlibat dalam pertunjukan fesyen terkemuka yang dijangka diadakan pada tahun ini.

“Saya juga gembira apabila pernah berkongsi pentas peragaan bersama pereka fesyen terkenal, Zang Toi selain menyediakan pakaian untuk rakan-rakan artis semasa menghadiri anugerah tertentu.

“Antara rakan-rakan yang pernah mencuba pakaian saya sebelum ini termasuk Nad Zainal, Izreen Azminda, Sarah Lian dan Tanuja,” ceritanya lagi.

Ini bukan bermakna Emelda, 35, atau nama sebenarnya Emelda Rosemila Abdul Hamid sudah ‘mengibarkan bendera putih’ untuk meneruskan perjuangan sebagai pelakon.



“Keterujaan sebagai pelakon masih ada, cuma apabila sudah melewati usia sebegini, saya perlu memikirkan sesuatu yang lebih konkrit terutamanya dengan kehadiran pelakon baharu yang bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan.

“Jika ada tawaran berlakon yang sesuai, pastinya saya akan terima asalkan tidak bertembung dengan jadual yang padat.

“Apa yang pasti, saya cukup gembira dengan dunia baharu ini kerana ia sesuatu yang ingin dilakukan sejak dahulu,” ujarnya.

Ungkap Emelda, kali terakhir dia terlibat dengan set penggambaran telefilem Oh My English! sekitar tahun lepas.

“Saya sepatutnya terlibat dengan penggambaran Pontimau arahan Khabir Bhatia awal bulan ini, namun ia terpaksa ditolak gara-gara faktor masa.

“Sejujurnya, saya sedikit kecewa kerana cukup teruja untuk kembali bekerjasama dengan Khabir,” katanya yang pernah menerima tunjuk ajar sutradara terkenal itu menerusi beberapa filem dan drama seperti Sembunyi, 7 Lagu, Manjalara dan Waris sebelum ini.

Selain bergiat aktif sebagai pereka fesyen, Emelda juga sebenarnya telah dilantik sebagai duta produk pelangsing badan iaitu L’arome Apple Stem Cell kira-kira dua bulan lepas.

“Sebenarnya, saya telah menggunakan produk ini sebelum dilantik sebagai duta lagi. Alhamdulillah, saya telah mengalami penurunan berat badan lebih empat kilogram sejak menggunakannya kira-kira dua bulan lepas sebelum membuat promosi secara suka-suka serta rekomen produk berkenaan di Instagram.

“Siapa sangka, saya kemudian ditawarkan menjadi duta produk berkenaan dan menganggapnya sebagai rezeki,” katanya.


ISTERI Adlin Aman Ramlie ini teruja menjadi wanita terbahagia di dunia meskipun belum bergelar ibu.

Dalam pada itu, ketika ditebak ada sebarang perkhabaran gembira sebagai seorang ibu, ini jawapan Emelda.

“Belum lagi, cerita sebelum ini (mengandung) tidak betul. Mana tahu ada rezeki selepas ini, Insya-Allah.

“Jika ada, pasti saya akan ceritakan kepada semua. Benda baik, mana mungkin saya mahu sorokkan,” ujarnya yang telah diijabkabulkan bersama Adlin di kampung halamannya di Chemor, Ipoh, Perak pada 22 Mei 2009.

Bagi mengetahui perkembangan lanjut perkembangan karier Emelda sebagai pereka fesyen bolehlah mengikutinya di laman Instagram di @emeldarosekl

Previous Post Next Post