Faizal Tahir pukau London dengan Assalamualaikum



BINTANG sensasi rock Malaysia, Faizal Tahir menghangatkan pentas Festival Malaysia Brighton 2015, festival julung kali diadakan di Komedia, Brighton, venue paling popular bagi persembahan komedi dan muzik.

Penyanyi rock dan komposer terkenal yang sering dikenali dengan gimik hebatnya di atas pentas, memukau penonton dengan single terbaharu berjudul 'Assalamualaikum' dan barisan lagu popularnya seperti Selamat Malam, Gemuruh dan Mahakarya Cinta.

"Saya telah beberapa kali membuat persembahan di United Kingdom (UK) seperti di London dan Sheffield tetapi ia (persembahan) pertama saya di Brighton. Ia hebat kerana penonton kebanyakannya golongan muda dan matlamat saya sentiasa menyebarkan aura semangat untuk mereka," katanya kepada Bernama selepas festival itu pada Ahad.

Komedia yang terletak di North Laine, di tengah-tengah Brighton, satu daripada bandar budaya di Eropah, terletak 130 kilometer di selatan London, menawarkan festival, galeri, muzium, filem, komedi, teater dan hiburan malam.

Festival Malaysia Brighton diadakan seminggu sebelum berlangsungnya 'Brighton Fringe' merupakan festival seni tahunan terbesar di England yang mempunyai 760 acara berasingan, 175 acara bebas dan 3,516 persembahan di 176 venue. Festival anjuran Kelab UMNO Brighton itu bertemakan bunga sempena ketibaan musim bunga di UK.


"Lebih 200 pengunjung dari London, Kent, Southampton, Portsmouth, Leeds, Manchester dan bahagian lain di UK menyertai kami dalam medan perjumpaan
komuniti Malaysia ini.

"Ia juga sesuatu yang menyeronokkan dapat bertemu pelajar dari negara lain yang menyertai festival kami," kata Pengerusi Kelab UMNO Brighton Azad Ashraf
Muhammad Sani.

Azad Ashraf, 22, yang mengikuti pengajian Ijazah Sarjana Muda Ekonomi dan Politik dari Universiti of Sussex itu berkata tahun depan mereka merancang untuk mengadakan acara yang lebih besar.

"Kami berharap dapat melakukan sesuatu pada skala lebih besar dan terbuka untuk membolehkan orang ramai mengetahui lebih lanjut mengenai Malaysia," katanya dan menambah ia sudah pasti mengetengahkan konsep hiburan dan seni, iaitu sinonim dengan bandar itu.

Selain persembahan Faizal Tahir, pengunjung juga dihiburkan dengan beberapa permainan, pertandingan dan menikmati pelbagai juadah makanan Malaysia di gerai jualan yang dibuka.

Previous Post Next Post