Giat cipta nama, Indah Ruhaila mula susun strategi



SELEPAS Percayalah melonjakkan nama penyanyi kelahiran program Akademi Fantasia 2013 (AF2013), Indah Ruhaila komited meneruskan karier nyanyiannya.

Terus mengatur strategi mengekalkan nama dalam industri, Indah memberitahu dirinya bakal muncul dengan beberapa projek terbaharu.

“Selepas Percayalah, saya sudah merakamkan dua lagu baharu ciptaan penuh oleh komposer Edry Abdul Halim.

“Satu daripadanya masih belum diketahui judulnya dan ia akan dijadikan single ke dua saya. Manakala satu lagi adalah lagu duet bersama Ewal berjudul Cerita Cinta Kita yang turut dijadikan sebagai lagu tema program Pelamin Fantasia,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Mengulas lanjut mengenai produk terbaharunya itu, Indah memberitahu single keduanya itu masih mengekalkan genre balada namun dari segi penghayatannya ia lebih mendalam.

“Kalau kita dengar Percayalah, ia lebih menonjolkan muzik yang lebih ringan berbeza dengan single ke dua saya yang boleh dikatakan lebih mendalam.

“Bekerja dengan Edry adalah satu pengalaman yang berharga buat saya memandangkan kebolehan yang dimilikinya sangat luar biasa.

“Walaupun ini pertama kali bekerja dengan Edry, tapi dia tahu apa yang saya inginkan. Sebagai penyanyi yang masih mentah, banyak ilmu yang saya belajar daripadanya,” ujarnya teruja.


Biarpun sibuk menjalani nyanyian solonya, Indah akui tidak mengetepikan peranannya sebagai anggota kumpulan The Lomas yang turut dianggotai tiga finalis wanita AF2013 iaitu Nabila, Amira dan Aisyah Aziz.

“The Lomas masih lagi aktif cuma buat ketika ini kami masing-masing beri fokus pada karier solo terlebih dahulu.

“Sekarang juga kami sedang mencari masa yang sesuai untuk menghasilkan muzik video single Rindu,” jelasnya.


Tempias kontroversi

Semenjak namanya menginjak popular, Indah juga salah seorang anak seni yang tidak mampu lari dari tempias kontroversi.

Bukan dengan kisah peribadi, tapi dengan gaya penampilannya berambut pendek juga telah mengheret penyanyi ini dengan cerita kurang enak.

“Sebenarnya ia bukan satu isu yang besar pun. Kalau nak cakap fasal potong rambut sebenarnya memang sudah lama saya simpan hasrat itu.

“Tapi atas beberapa faktor saya perlu tangguh sehinggalah tamatnya Anugerah Juara Lagu 29 (AJL29) lalu saya dibenarkan untuk berambut pendek.

“Saya terima dan bersedia dengan segala kemungkinan kerana inilah ragam dunia hiburan,” katanya.

Ditanya mengenai statusnya sebagai tunangan orang, Indah bersyukur kerana jejaka pilihan hatinya itu sangat memahami kariernya.

“Buat masa ini kami jalani kehidupan seperti biasa dan tidak terburu-buru untuk ke peringkat seterusnya.

“Lagi pun tiada paksaan daripada keluarga kerana mereka sangat memahami begitu juga dengan tunang saya.

“Lagi pun, rezeki yang datang ini bukan perancangan saya, jadi kita cuba buat yang terbaik. Lagi pun kalau boleh sebelum berkahwin saya mahu kumpul aset terlebih dahulu,” katanya sambil tertawa kecil.

Previous Post Next Post